November 25, 2010

Potato spring dan budaya "pak ikut"

"Bagaikan sepasang absorber kereta yang dilumuri minyak pelincir, itulah apa yang aku faham mengenai 'Potato Spring'.." - Susu Sejat

Pernahkah anda melihat potato spring di pasar-pasar malam, atau di kaki-kaki lima berdekatan rumah anda? Ketika cuti Aidiladha yang lalu, aku berkesempatan pulang ke Taiping untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga. Pada suatu ketika, aku mengajak adik-adik aku berkunjung ke pasar malam Changkat Jering untuk mencari sesuatu yang boleh dijadikan sajian makan malam.

Aku berasa aneh apabila melihat terdapat banyak gerai yang menjual selingkaran kentang yang digoreng membentuk seakan-akan sebuah absorber kereta atau motosikal. Maka aku bertanya kepada adik-adik aku akan makanan yang seolah-olah berasal dari 'outer space' tu.

"Dik, apa mende tu?" aku bertanya.

"Itu lah 'Potato Spring'. Dia macam kentang rasanya (padahal memang kentang pun)," balas salah seorang adik aku.

"Sedap ke?"

"Sedap, aku dengan akak selalu beli. Hang try la rasa"

"Berminyak.."

Oleh kerana aku belum pernah merasa makanan ini, aku pun cubalah beli secucuk. Terdapat beberapa saiz, jika yang kecil harganya dalam RM1, dan yang besar sedikit berharga RM2. Aku ambil yang RM2.

Sudah menjadi lumrah, sebelum aku menjamah sesuatu makanan, aku akan memicit terlebih dahulu makanan tersebut untuk mengenal pasti tahap "minyak yang diserap" oleh makanan tersebut setelah digoreng. Ternyata sangkaan aku tepat, terlalu banyak minyak yang diserap oleh potato spring!


Apa tu Potato spring?

Potato spring merupakan kentang yang telah dipotong melingkar dengan mesin khas, lalu di cucuk dengan sebatang lidi yang tebal ditengahnya (membentuk seakan-akan spring absorber). Potato spring akan digoreng sehingga garing, dan diletakkan mayonis dan sos cili di atasnya sebelum dijual kepada pembeli.

Pada masa kini terdapat pelbagai syarikat tempatan yang menghasilkan pakej-pakej potato spring ini, dan kesemuanya tumbuh seakan-akan kulat selepas hujan. Setiap syarikat juga berlumba-lumba untuk mempromosikan pakej potato spring masing-masing yang hadir dalam pelbagai perisa. Ada yang B.B.Q, Cheese, Tom yam, dan banyak lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan pakej potato spring ini? Teruskan bacaan anda.


Potato spring bakal menjadi makanan tradisi kita 100 tahun lagi

Apabila terdapat banyak syarikat yang wujud untuk satu-satu kumpulan produk, maka itu akan disusuli pula dengan kewujudan 'orang tengah' yang menghubungkannya di antara pengguna dan pengeluar, iaitu peniaga/pembekal. Itulah sebabnya aku dapat melihat sekurang-kurangnya 4 gerai yang menjual potato spring HANYA dalam sebuah pasar malam, seperti yang aku ceritakan awal-awal tadi.

Kemudian persoalan kedua mula timbul, kenapa begitu banyak syarikat yang menawarkan pakej potato spring ini (menawarkan peluang perniagaan kepada peniaga/pembekal tadi)? Jawapannya terletak pada permintaan pasaran. Atau dalam bahasa mudahnya "Rakyat Malaysia Suka/Mula Menyukai Makan Potato Spring".

Mungkin sesetengah pihak berpendapat gelombang potato spring yang tiba-tiba meningkat naik ini hanyalah bermusim. Mungkin selepas ini masyarakat akan berasa jemu dan jelak melantak snek yang sama berulang kali. Namun aku berasa sebaliknya. Mengapa aku berkata demikian?

Ambil contoh beberapa lagi makanan ringan yang sudah bertapak di Malaysia. Kentang goreng, nugget, dan bebebola ikan/ketam yang suatu ketika dahulu muncul secara tiba-tiba, dan popularitinya mula mendapat tempat di hati masyarakat sehinggalah ke hari ini. Maka potato spring juga akan mengikuti jejak langkah yang sama. Mungkin kesan kewujudannya yang mendadak itu akan berkurangan saban hari, namun percayalah, potato spring tidak akan pupus di Malaysia selagi rakyat suka menikmatinya.


Bila seorang nak jual potato spring, semua pun nak jual

Aku juga tidak berapa suka dengan sikap masyarakat kita, terutamanya Melayu, yang suka "mengikut" dalam segala hal. Seorang nak jual produk ini, semua pun nak jual produk yang sama. Seorang nak jual pil kurus, yang tu pun nak jual pil kurus (nama sahaja tukar, formula mungkin lebih kurang sama). Seorang nak jual nasi lemak, nah, tak sampai 100 meter seorang lagi tengah menjual nasi lemak. Apa kes ni? Alasannya, pengguna suka, ada market. Nak wujudkan banyak pilihan buat pengguna? Untung kepada si pengguna, bukan kepada si penjual. Si penjual yang tak dapat bersaing akan mengalami kerugian.

Bukan aku tak menggalakkan orang melayu berniaga, tetapi nak berniaga biarlah berstrategi. Jika dalam satu pasar malam terdapat sampai 4-5 orang menjual potato spring, aku jamin separuh daripada penjual tu tak akan kekal lama di tapak pasar malam yang sama. Gulung tikar lah jawabnya pak cik Me'on!

Situasi yang sama juga merujuk kepada mereka yang menjual pil/produk untuk menguruskan badan. Kalau dalam satu page (facebook) pun semua berlumba-lumba menumpang jual produk yang lebih kurang sama, maka anda (sekelompok peniaga produk) akan kelihatan "menjengkelkan". Mereka (pembeli berpotensi) akan hanya ada 2 impresi sahaja terhadap produk anda, sama ada dibeli atau dicaci. Tak percaya? Anda boleh lihat sendiri, masuklah mana-mana page facebook yang bertemakan "Aku nak kurus", "Aku nak slim", "Kecantikan", dan berbagai lagi.

Manusia ni tak suka benda yang menjengkelkan, apatah lagi jika anda memegang status sebagai peniaga. Contoh paling mudah, jika anda masuk ke supermarket dan secara tiba-tiba terdapat 3-4 orang promoter produk yang berbeza bersaing mengelilingi anda secara gopoh dan gelabah, anda pasti tidak akan berasa selesa bukan? Bukan diri anda sebagai penjual sahaja yang mendapat bad impression sebagai peniaga "gelabah", tetapi produk anda sendiri mendapat tempias yang sama.

Lagi satu ciri-ciri peniaga yang menjengkelkan ialah, 'suka cakap besar'. Jangan sesekali terlalu yakin yang hasil kerja anda akan mendapat kejayaan yang tak masuk dek akal (box office RM40 juta, contohnya lah kan), meskipun niat anda untuk menghasilkan persekitaran dan minda yang positif. Jangan sesekali buat macam tu. Kerana apa? Kerana manusia tidak suka perkara yang menjengkelkan!

P/S: Nak berniaga, kena pandai cari peluang, kena pandai cari Nic yang sesuai, tak perlu ikut jejak orang, sebaliknya, biarlah orang yang mengikut jejak kita. Be a pioneer, not an imitator. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Potato spring? Jangan diambil selalu, merasa untuk pertama kali boleh. Kuasa terletak di tangan anda sebagai pengguna. Fikir-fikirkanlah.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

5 comments:

norazziah said...

1st. hehe.. da lama tak g pasar malam. tak tau pun potato spring tu ape. 1st time dengar. tade rase pn nak cuba bile dengar bagaikan absober dilumuri minyak pelincir. haha

Baby said...

potato spring ni pernah nampak tapi tak pernah try

Kumang Kenyalang88 said...

potato spring yang perisa cheese kat pasar malam tu nampak sedap je..tiap kali mak cik potato spring tu berniaga, mesti jln sesak.pasal ramai sangat nak mkn potato spring dia..Tapi setakat ni tak pernah lagi cuba. (niat nak cuba jugak,tapi tak kesampaian,pasal malas bersesak-sesak.) n bila sususejat cakap pasal banyak minyak kat potato spring tu..emmm...malas nak cuba nih...haha..

enni_amat said...

huhuhu ,
potato spring mmg dh difrancaiskan melalui pasar2 malam .
Aritu ak de dgr presentation keusahawanan , ade group wat psl potato spring ni . Die bg tau , pengasas potato spring ni amek idea dr Korea . So lpas tu , die try la wat bisnes ni kt malaysia dan bisnes ni mmg difrancaiskan . Ak pn pnh rase , mmg sdap dan berminyak !

Bert said...

1st time aku makan potato spring ni masa tgk konsert wings search dulu..benda ni sedap bila panas2, kalau dah sejuk, pakat buang jer la..t[ serius, mmg berminyakkk

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails