Showing posts with label petua. Show all posts
Showing posts with label petua. Show all posts

December 2, 2010

Kisah 2 Askar: "Strive for a better body and health..."


Battalion O.T.O.T (Protagonist / Hero)

Jeneral: Wahai battalion O.T.O.T sekalian! "Dunia" kini sudah tidak selamat lagi. Saban hari, askar-askar musuh kian ramai. Puak Visceral dan puak Subcutaneous kini bekerjasama untuk mengusai "dunia", dan ini tidak boleh dibiarkan!

Kapten: Kata Tuan ada benarnya. Populasi askar-askar musuh sememangnya bertambah ramai dan jika dibiarkan, "dunia" kita akan "hancur" dalam masa tidak sampai separuh abad, meskipun "dunia" kita masih muda usianya. Kehancuran ini bakal berpusat daripada tindak-tanduk puak Visceral yang bakal mengganggu jantung kepada "dunia" ini daripada bekerja.

Leftenen: Kalau begitu, apa yang harus kami lakukan Tuan?

Jeneral: Adakan mesyuarat tergempar pihak atasan dengan seberapa segera. Kita mesti merancang suatu plan drastik agar askar musuh tidak mara dengan lebih jauh.


Gerilla F.A.T, Puak Visceral (Antagonist / Musuh)

Panglima Agung 1: Syabas askar-askar ku! Hari demi hari pengikut kita bertambah ramai nampaknya. Ini kalau buka Facebook Fan Page confirm dapat 100 juta "like", Lady Gaga pun boleh kalah, hehe!

Panglima Agung 2: Betul tu Tuan. Nanti bolehlah kita berdua jadi admin untuk Page tu, ye tak? Apa-apa pun kita kena ucapkan terima kasih kepada "penjaga dunia" ini, kerana dia lah, puak kita semakin ramai.

Laksamana: Mana tidaknya, hari-hari dah diberi duit kopi, terpedaya lah dia. Cakap sahaja, Teh Tarik? Sirap? Air manis-manis? Potato Spring? Kudapan? Kek Lapis? Asalkan ada semua ni, tak menjadi masalah, small matter lah!

Panglima Agung 2: Puak Subcutaneous pun tidak kurang hebatnya, mereka berjaya memanipulasikan "penjaga dunia" ini supaya menjadi malas (untuk bersenam). Dan lebih menggembirakan, mereka sedia bekerjasama dengan puak kita untuk menguasai "dunia" ini.

Panglima Agung 1: Suka benar aku mendengar khabar ini, hahahahahaha...!!!

Persoalannya di sini, berjayakah Battalion O.T.O.T menyelamatkan "dunia" daripada kehancuran? Mampukah mereka menyekat kemaraan Gerilla-gerilla F.A.T daripada mengusai sekaligus melakukan onar di "dunia" ini? Adakah kejayaan berada di pihak yang benar suatu hari nanti, andaikata Battalion O.T.O.T tidak mendapat sokongan "penjaga dunia" itu sendiri? Apakah cara paling berkesan untuk memastikan kedua-dua puak yang dibenci ini pupus/hampir pupus daripada "dunia" ini?

Strive for a better body and health. Frasa ini jika kita terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu akan berbunyi, "Sedaya upaya untuk (mendapatkan) tubuh dan kesihatan yang lebih sempurna". Tetapi berapa ramai yang benar-benar faham akan maksud ini, andaikata misi untuk "kurus" telah mengaburi suatu misi yang lebih utama, iaitu untuk "sihat"?

Secara matematik, proses penurunan berat badan tidak memerlukan senaman, asalkan kuantiti pengambilan makanan dalam sehari (kalori) adalah rendah daripada kalori yang diperlukan badan. Tetapi penurunan berat lemak (body fat) mungkin tidak turun secara total dan anda mungkin masih memiliki banyak Subcutaneous Fat! Persoalan timbul sekali lagi, berapa ramai yang benar-benar nampak akan hal ini?

Diet + Senaman = Penurunan berat lemak secara total + SIHAT


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

November 19, 2010

Al-kisah si Telur Lalat

Agak-agakkan kalau ditanya anak-anak kita, atau generasi sebaya aku yang jarang masuk dapur untuk memasak, rasa-rasanya tahukah mereka akan rupa telur lalat?

Pada Hari Raya Haji kedua (semalam), aku yang sedang membuka tudung kuali (kari ayam) dikejutkan dengan seekor lalat yang keluar secara tiba-tiba. Barangkali tudung kuali tersebut tidak ditutup rapat sebelumnya. Dan berdasarkan pengalaman di dapur aku yang tak seberapa, aku mengesyaki lalat tersebut sudah pasti meninggalkan 'jejak' kepada kari ayam tersebut dan telahan aku sama sekali benar.

Saiz potongan ayam sebelah kiri di atas adalah kira-kira 1/4 tapak tangan lelaki dewasa.

Telur lalat rupanya tidak ubah seperti nasi pulut! Berbutir-butir. Cuma saiznya berkali-kali ganda lebih kecil. Kalau gambar ni kita tunjukkan pada anak-anak kecil, confirm mereka ingat yang ini adalah nasi pulut dan bercakap,
"Nak mamam!"


Apa yang harus dilakukan jika anda mengalami situasi sedemikian? Usah berasa panik. Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan (belajar dari mak).

1 - Jika anda dari kategori yang tak berapa kisah, apa yang boleh anda lakukan ialah, buangkan telur lalat yang kelihatan. Pastikan teliti betul-betul setiap pelosok makanan kerana telur lalat ini sangat kecil. Kemudian panaskan balik sehingga makanan itu benar-benar mendidih untuk beberapa minit. Ini memastikan saki-baki protein (telur lalat) yang ada betul-betul terurai.

2 - Jika anda dari kategori neutral (perasan yang diri tu sedikit hygienic, tetapi nak buang terasa sayang, lauk tu boleh dimakan lagi), apa yang boleh anda lakukan ialah basuh kembali isi-isi lauk tersebut. Buang segala kuah, basuhkan/bilas 2-3 kali dengan air masak. Isi-isi (protein) yang berjaya diselamatkan itu boleh dijadikan lauk untuk hidangan anda seterusnya. Oh ya, memandangkan kuah yang berminyak itu sudah disingkirkan, anda sebenarnya baru menyingkirkan beberapa ratus kalori daripada lauk tersebut.

3 - Jika anda dari kategori yang cerewet seperti "No way! Apa yang tercemar, tetap tercemar", maka apa yang boleh anda lakukan ialah buangkan telur lalat yang kelihatan, kemudian berikan makanan tersebut kepada kucing-kucing yang bermastautin di belakang/laman rumah anda. Dengan cara ini, anda sebenarnya tidak membazir, tetapi bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Kan?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

October 24, 2010

Tandoori oh Tandoori.. (Bahagian 2)

Entri ini merupakan entri sambungan "Tandoori oh Tandoori.. (Bahagian 1)"

Roti ditempek di atas seketul batu. Sama juga seperti roti canai, bukan calang-calang orang yang boleh membikin roti naan dan ayam tandoori. Perlukan skill tu kawan..


Sesi panas-memanas oleh pakcik tandoori ke atas ayam tandoori dan roti naan.


Cara menikmati ayam tandoori dengan cara yang sihat

1 - Pastikan ayam tandoori tersebut dipesan berserta dengan sumber karbohidrat, iaitu roti naan biasa (Plain Naan Bread). Jangan nak menggatal pilih yang cheese, garlic buttered, dan sebagainya. Selain menyihatkan (rendah kalori daripada lemak), roti naan biasa juga jauh lebih murah berbanding jenis-jenis roti naan yang lain.

Contoh harga, Roti Naan Biasa = RM1.50, Roti Naan Garlic = RM2.50, Roti Naan Cheese = RM3.00. Lihatlah dunia betapa besar perbezaannya?

2 - Limau yang disajikan bersama ayam tersebut bukanlah perhiasan hidangan, atau untuk anda bawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan daripada mamak. Perahkan limau yang diberikan ke atas ayam tandoori tersebut, terutama pada bahagian yang kelihatan berkilat-kilat (lemak sapi).

3 - Sama seperti limau tadi, bawang dan timun yang disertakan bersama ayam tandoori ini bukanlah bertujuan untuk mencantikkan sajian tersebut (ingat, ini bukan rancangan Iron Chef, mereka, yakni tukang masak ayam tandoori, tiada masa untuk itu). Ini sumber alkaline anda untuk ayam tandoori dan roti naan yang bersifat acidic. Sila makan dan habiskan bawang dan timun ini dengan segala hormatnya.

4 - Jangan memilih untuk cicah roti naan dan ayam tandoori tu dengan kuah dhal sahaja. Ini tabiat budak-budak kecil. Kuah yoghurt masam (berwarna kehijau-hijauan) tu juga bukannya hiasan semata-mata. Ini juga sumber alkaline anda. Maka sila habiskannya ya, tetapi tidak perlulah sehingga menjilat dulang tersebut sehingga licin. Ini juga merupakan sikap kebudak-budakan anak-anak kecil.

5 - Pilih Air kosong, dan bukannya teh tarik atau milo ais. Jangan sesekali membunuh tip-tip makan ayam tandoori secara sihat ini dengan minuman yang manis-manis. Sia-sia sahaja mengamalkan tip 1 hingga 4, hanya kerana kehadiran air yang manis ni. Terlalu *sangap nakkan yang manis-manis? Pesan sahaja yang kurang manis, tetapi minum tak lebih daripada separuh, bersama dengan segelas air kosong.


Ayam Tandoori Pilihan Hati Susu Sejat

Ayam tandoori (dan roti naan) yang dihidangkan di Kayu Nasi Kandar (secara spesifik di Ampang, atau di Lot 10) adalah pilihan paling busuk dan terakhir aku setakat ini memandangkan harganya yang bukan sahaja mahal, tetapi rasanya yang kurang sedap. Roti Naannya juga nipis dan garing-garing keras, manakala kuah dhalnya juga terlalu berminyak. Jika anda peminat roti naan yang sejati, sila fikir dua kali sebelum memesan roti naan dan ayam tandoori di sini.

Buat masa ni, aku sangat suka roti naan yang dihidangkan di Restoran Al-Sarifa yang terletak di kawasan Pandan Jaya. Ayam tandoorinya cukup sempurna dengan adunan rempah, garing diluar, tetapi juicy di dalam. Begitu juga dengan roti naannya, cukup garing di luar, tetapi sangat lembut di dalam. Ditambah pula dengan aroma raginya yang cukup kuat berkobar-kobar di udara, hidangan ini sangat enak dimakan ketika masih panas.

Jika set ayam tandoori dan naan yang dihidangkan di Kayu berharga sekitar RM11, manakala di Restoran Al-Sarifa pula berharga RM7, bagaimana pula dengan pilihan ayam tandoori yang termurah pada hemat Susu Sejat? Jawapannya ialah ayam tandoori yang dijual di kedai makan bertentangan dengan Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh (KTAMS), UKM. Harganya, untuk satu set ayam tandoori dan roti naan biasa? Baru RM6, dan saiz ayamnya juga boleh tahan besar. Besar punya!

Made by Al-Sarifa, Pandan Jaya

Al-Sarifa's Plain Naan Bread

Nota Kaki: Bukan calang-calang orang yang boleh buat ayam tandoori dengan roti naan ni. Buktinya? Sampai sekarang ni, sebuah restoran mamak berhampiran tempat tinggal aku belum mampu menjalankan operasi "ayam tandoori" kerana ketiadaan tukang masaknya. Mana pergi tukang masak yang sebelumnya? Dia sudah berpindah ke sebuah lagi restoran mamak yang terletak di seberang jalan, mungkin majikan barunya membayarnya dengan harga yang lebih tinggi (dah macam jalan cerita Lagi-lagi Senario lah pulak).

Moral daripada kisah ini, sila pertimbangkan untuk mengikuti kursus memasak ayam tandoori dan roti naan di masa-masa akan datang.

*Sangap = ketagih

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

October 6, 2010

10 cara mudah untuk menjadi lebih bertenaga dan 0% lesu (Bahagian 2)

Entri ini merupakan entri sambungan 10 cara mudah untuk menjadi lebih bertenaga dan 0% lesu (Bahagian 1).

6 - Ambil sebiji pil multivitamin setiap hari
Kebanyakan pil multivitamin mengandungi komponen B-vitamins (atau B-complex). Komponen B-vitamins ini penting dalam meningkatkan metabolisma sel dalam menggunakan karbohidrat sebagai sumber tenaga (meningkatkan lagi kadar pembebasan tenaga).


7 - Rajin-rajinlah berjalan
Jika anda merasakan kejatuhan tenaga dan menghampiri lesu ketika di rumah mahupun di pejabat, berhentilah daripada tugas yang anda lakukan buat sementara waktu dan berjalanlah seketika. Berjalan-jalan selama 10 minit mampu meningkatkan kembali tenaga anda (memastikan darah kembali beredar dan mengangkut oksigen keserata sel-sel tubuh dengan lebih teratur) dan kecergasan dalam diri anda akan berkekalan sehingga 2 jam yang seterusnya.

8 - Bersenam
Selain daripada meningkatkan pengeluaran tenaga dan metabolisma, tahukah anda bahawa senaman juga merupakan anti-depressant yang berkesan dalam menangani stress? Ya, anda tidak perlukan coklat untuk menangani stress sebenarnya, kerana badan juga akan merembeskan serotonin (anti-depressant) menerusi senaman. Seimbangkan di antara senaman berasaskan kardio dan senaman berasaskan kekuatan. Selain lebih menyihatkan, anda juga akan berasa lebih ceria dan gembira selepas bersenam. Coklat? Tak perlu dah.

9 - Konstruk plan/perancangan
Bekerja sehari suntuk memang memenatkan, tambahan kerja-kerja yang bertimbun di pejabat mampu membuatkan anda stress (stress adalah amat sinonim dengan kelesuan). Maka dengan itu rancanglah sesuatu yang menghiburkan yang boleh dilakukan ketika pulang dari kerja atau ketika hujung minggu. Jadikanlah ia sebagai masa gembira anda. Sebagai contoh, aku jadikan blogging ini sebagai aktiviti yang menghiburkan untuk melepaskan tekanan selepas bekerja disamping menyampaikan sesuatu yang aku tahu berkenaan dieting, kesihatan dan gaya hidup.


10 - Power nap
Tahukah anda bahawa tidur sebentar ketika penat bekerja mampu mengembalikan tenaga yang diperlukan untuk menghabiskan saki baki kerja untuk hari tersebut? Ini kerana keletihan menghadap komputer sepanjang hari bukan sahaja memberi kesan kepada mata, tetapi juga kepada otak. Dengan power nap, anda sebenarnya merehatkan mata anda buat seketika disamping memastikan bekalan oksigen sampai ke otak. Waktu power nap yang sesuai adalah ketika selepas makan (waktu tengahari), dan dilakukan dalam tempoh tidak lebih dari 30 minit.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

October 4, 2010

10 cara mudah untuk menjadi lebih bertenaga dan 0% lesu (Bahagian 1)

Semua orang ingin menjadi lebih bertenaga dan kurang lesu setiap hari, minda 100% bersedia, dan mampu berlari ke sana ke mari tanpa perlu berasa mengah, semput, atau lesu selepasnya. Pendek kata semua mahu kesihatan fizikal mereka berada pada tahap optimum, namun mungkin tak ramai juga yang mengetahui cara-caranya. Berikut aku kongsikan 10 cara bagaimana aku mengekalkan kecergasan dan menjadi lebih bertenaga setiap hari.

1 - Kurangkan pengambilan gula
Ada tiga ketika sahaja dalam hidup yang dibolehkan makan/minum makanan/minuman yang mengandungi gula, iaitu ketika awal pagi, selepas bersenam, dan juga ketika berbuka puasa. Lain daripada tiga ketika ini, katakanlah tidak kepada gula. Ini kerana pengambilan gula yang berlebihan (G.I tinggi) akan menggalakkan insulin dirembes oleh sel-sel beta pankreas secara mendadak, proses yang dikenali sebagai insulin spike. Tugas insulin ialah untuk membawa gula ringkas tadi masuk ke dalam sel-sel untuk ditukarkan kepada glycogen, dan ini mengakibatkan para gula dalam darah jatuh dengan mendadak sekaligus diikuti dengan rasa mengantuk.


2 - Minum lebih banyak air
Air lebih mudah terhidrat dari badan, terutamanya jika anda tinggal di kawasan yang panas seperti Malaysia ini. Kekurangan air akan menyebabkan diri keletihan (kes paling mudah dapat dilihat ketika kita berpuasa). Justeru itu banyakkan meminum air setiap hari, disamping kurangkan juga pengambilan kopi dan apa sahaja minuman yang berasaskan caffein kerana caffein ini bersifat diuretic; badan akan lebih kerap menyingkirkan air menerusi air kencing. (Tahukah anda: Aku sudah lama berhenti dari minum kopi sejak beberapa bulan yang lalu. Mengantuk ketika awal pagi? Tak pernah pun..)


3 - Jangan sesekali mengelak makan
Dan ini amat penting, terutamanya sarapan pagi. Sarapan pagi merupakan mukadimah dan kunci metabolisma anda supaya tubuh lebih bertenaga untuk menempuh hari yang baru. Kajian juga menunjukkan mereka yang mengambil sarapan setiap pagi lebih mudah untuk turun berat badan berbanding mereka yang tidak mengambil sarapan pagi.

4 - Bernafas dengan betul
Kebanyakan individu bernafas dengan cara 'pendek' (chest/shallow breathing), dan cara ini sebenarnya kurang tepat meskipun hal ini (bernafas) dilakukan tanpa kita sedari dan di luar kawalan kita. Bernafas secara 'mendalam' (Diaphragmatic breathing) seperti yang kita belajar dalam kelas pendidikan jasmani masa di sekolah dahulu adalah cara bernafas yang betul, kerana dengan cara ini kita dapat memaksimumkan kemasukan oksigen ke dalam badan, sekaligus memastikan sel-sel badan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi untuk menjalankan tugas masing-masing.

5 - Dapatkan tidur yang mencukupi
Bunyinya seperti mudah, tetapi berapa ramai di antara kita yang mempraktikan tidur (malam) 8 jam sehari? Tidur yang mencukupi dan berterusan ini penting untuk memastikan otak mendapat 'makanan' dan rehat yang mencukupi, yakni menerusi tidur. Bila waktunya kita masuk tidur juga penting kerana HGH (Human Growth Hormone) yang mana penting untuk pertumbuhan otot dan fungsi imun lebih banyak dirembeskan sekitar jam 11pm dan 1am (berdasarkan jam biologi anda). Justeru itu, masuk tidur sebelum jam 11pm adalah amat digalakkan.


bersambung...


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

September 26, 2010

Tips mengelak perut buncit dan boroi

Entah mengapa ramai bebenor yang suka mengajukan aku dengan soalan seperti ni di email, mahupun di page fan facebook.

"Joy, perut I ni dah macam orang mengandung 5 bulan, tapi I belum kahwin lagi tau, huhuhu.. tolong bagi tips sikit macam mana nak surutkan perut I ni yea.. thank you darling =)" (darling? erkk..)

"ijoy.. seperti yang *ehem2* bgtau sebelum .. *ehem2* ada masalah dengan perut la.. berat badan dah kurang tapi masalahnya perut tetap maintain.. sit up dah segala macam exercise perut dah *ehem2* buat tapi seperti tak membantu.. boleh tak ijoy tolong bagi *ehem2* lebih byk tips.." (*ehem2* adalah nama pengirim yang dirahsiakan identitinya)

"Bro, badan aku dah ok, tapi tang perut tu, alahai.. jam bro, jam... tips please.." (yea, tahu.. nak bagilah ni)


Bagi aku, faktor utama yang mengakibatkan perut buncit ini adalah disebabkan oleh saiz perut - terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan perubahan saiz perut (perut kita ni sebenarnya ala-ala elastik), dan itu termasuklah angin dan kehadiran kuantiti makanan yang banyak dalam satu-satu masa. Jangan terkejut jikalau aku cakap, ada juga orang yang memiliki 'six-pack' (perut berketak-ketak) tetapi buncit!

Tanpa membuang masa, dijemput mereka yang mengalami masalah ini agar membaca tip-tip berikut agar risiko kebuncitan dapat dielakkan:

1 - Makan Dengan Perlahan
Elakkan makan secara berdiri dan cuba kunyah dengan perlahan kerana makanan yang tidak dihadam sempurna akan menimbulkan banyak gas. Ketika anda menelan terlalu gelojoh, udara tertahan dalam usus dan membentuk gas yang dapat mengakibatkan penggelembungan perut. Oleh yang demikian duduklah ketika makan dan kunyahlah (dan telan) makanan secara perlahan-lahan.

2 - Kurangkan Pengambilan Garam
Terlalu banyak garam hanya menambahkan lagi sodium dalam badan dan melambatkan pengeluaran air keluar dari sel. Akibatnya perut akan terase penuh dan buncit.

3 - Jangan Minum Arak
Aku tahu, sebagai umat Islam memanglah tidak boleh minum arak kerana agama sudah menegahnya, tapi peringatan ini ditujukan khas buat mereka yang bukan beragama Islam. Jangan minum arak jika anda tidak mahu perut anda buncit.

4 - Jangan Minum Teh
Daun Teh boleh mengakibatkan protein daripada makanan mengeras dan sukar dicerna.

5 - Jangan Tidur Selepas Makan
Makanan yang baru diambil pastinya tidak dapat dicerna dengan sempurna dan boleh mengakibatkan penghasilan gas dan ketidakselesaan perut. Beri masa kepada perut sekurang-kurangnya 2 jam sebelum melabuhkan kepala di atas bantal.

6 - Jangan Mandi Selepas Makan
Mandi selepas makan hanya akan mengurangkan kadar pengaliran darah ke kawasan perut. Ini akan melemahkan perjalanan sistem pencernaan anda. Seboleh-bolehnya mandilah dahulu sebelum makan.

7 - Minum Banyak Air
Jika perut penuh disebabkan oleh air, anda sebenarnya dapat mengurangi masalah ini dengan minum lebih banyak air. Ini akan mencairkan konsentrasi sodium dalam tubuh sekaligus meningkatkan jumlah air yang dikeluarkan dari sistem tubuh. Jangan kurangkan pengambilan air ketika berdiet, kerana banyak bahan yang sukar dicernakan hanya akan menyebabkan perut menggelembung jika kekurangan air.

8 - Hindari Sembelit, ambil lebih serat
Sembelit, atau bahasa pasarnya 'penyakit susah nak berak' hanya akan membuatkan stok tahi berkumpul-kumpul dalam usus. Akibatnya perut terasa bertambah besar. Untuk merangsang isi perut, tingkatkan pengambilan serat dari buah-buahan dan sayuran, amalkan secara berterusan untuk menghindari fermentasi dan pengeluaran gas yang berlebihan.

9 - Bersenam
Bersenam membantu menggerakkan cairan (fluid) dalam perut, disamping meningkatkan lagi kecekapan sistem pencernaan. Fokus kepada senaman berorientasikan aerobik (kardio).

10 - Rajin-rajinlah bersendawa
Namun tak bermaksud anda boleh bersendawa dihadapan rakan-rakan, teman lelaki/wanita yang baru dikenali, atau di tempat-tempat awam kerana amalan tersebut sungguh tidak senonoh. Cover cover lah sikit ok?

Nota Kaki: Beberapa tip-tip ini (tak semua) aku cedok dari Internet dan pada hemat aku logik dari sudut Sains.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

September 21, 2010

Tip 9: Keju yang mana pilihan hati?

Ada sesiapa di sini peggemar tegar keju selain aku? Keju, atau dalam bahasa Inggerisnya "Cheese" (bukan "cis!") merupakan makanan tradisi yang berasal dari Eropah dan menjadi penyedap makanan yang wajib di beberapa negara barat yang lain. Keju dihasilkan daripada susu menerusi proses pengentalan protein casein yang terkandung dalam susu (coagulation) dengan menggunakan asid.

Memandangkan keju dihasilkan daripada susu, maka ia secara umumnya mengandungi nutrien yang juga terdapat dalam susu (susu segar), antaranya Kalsium dan Vitamin D. Tidak keterlaluan jika aku menyebut keju merupakan 'susu versi pepejal', selain daripada rasanya yang sedikit masin. Namun kita semua mengetahui keju yang asal mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi berbanding protein (kecuali cottage cheese, yang akan aku review suatu hari nanti), dan kurang sesuai diambil kerap jika anda berniat untuk menurunkan berat badan.

Oleh yang demikian, beberapa bulan yang lalu aku telah membuat tinjauan di pasaraya Tesco dan Giant, dan produk keju rendah lemak ini telah menarik perhatian aku.


"Kraft Singles Hi-Calcium 60% Less Fat" nama diberi. Ia mengandungi hanya 1.7g lemak untuk setiap keping keju, sekaligus menyelamatkan hampir 30-40kcal kuota kalori (jika dibandingkan dengan sekeping keju yang biasa). Mungkin 30-40kcal ini dilihat sebagai jumlah yang kecil, namun bagaimana jika anda makan 2-3 keping keju sehari untuk 5 hari berturut-turut? Bukankah dah boleh jimat lebih 300kcal?


Namun, dari segi harga "Kraft Singles Hi-Calcium 60% Less Fat" yang berharga kira-kira RM10 sepaket (12 keping) ni mungkin mahal sedikit berbanding "Kraft Singles Hi-Calcium" yang biasa. Keju juga tidak sesuai untuk mereka yang senang mendapat hypertension (darah tinggi) kerana kandungan sodiumnya agak tinggi: sekeping keju "Kraft Singles Hi-Calcium 60% Less Fat" mengandungi 240mg sodium.

Nota Kaki: Semasa aku menetap di US dahulu, aku berkesempatan berkenalan dengan pasangan emas dari Malaysia yang sudah menetap di sana lebih 20 tahun, sejak mereka menuntut lagi sekitar tahun 1970an. Dalam masih menuntut mereka telah berkahwin lalu dikurniakan 2 putera lelaki, dan percaya atau tidak, anak-anak mereka kini jauh lebih tinggi dan sasa berbanding mereka ketika muda; berwajah melayu, tetapi fizikal dan cara percakapan tak tumpah seperti American. Rahsia mereka? Mereka dididik untuk makan keju sejak mereka kecil lagi. Ini membuktikan ketinggian tidak semestinya dipengaruhi oleh genetik. Aku fikir, kalaulah orang Asia, seperti kita ni diajar makan keju sejak kecil lagi, mesti ramai orang-orang kita yang tinggi-tinggi kan?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

September 6, 2010

Tips Ketika Berhari Raya 2010

Ketika bulan Ramadhan, kadar metabolisma seseorang adalah rendah berbanding hari-hari biasa, dan situasi ini berterusan sehinggalah tanggal 1 Syawal. Sekiranya makan secara tidak terkawal ketika Hari Raya, pasti akan menyebabkan kegemukan kerana kadar metabolisma yang rendah itu. Namun soalnya, wajarkah kita berdiet ketika 1 Syawal ini?

Pada pendapat aku, 1 Syawal merupakan 'hadiah' berharga buat seluruh umat Islam setelah mengharungi puasa selama sebulan, dan sewajarnya ia bukanlah hari yang sesuai untuk mengamalkan diet atau 'kurang makan'. It's a self reward day. Berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai adalah suatu kemestian, manakala merasai kesemua juadah yang dihidangkan pula menunjukkan rasa hormat dan penghargaan kepada tuan rumah yang telah bersusah-payah menyediakan makanan buat tetamunya.

Kita tidak dapat menolak hakikat yang ia bukanlah hari yang sesuai untuk diet, namun ramai juga yang risau kerana takut makan secara berlebihan lalu mengakibatkan kegemukkan. Oleh yang demikian, Susu Sejat telah menyenaraikan 10 tips emas untuk mengatasi dilema ini ketika Aidilfitri.

1 - Air putih itu kosong kalori
Ketika berkunjung ke rumah famili/rakan-rakan/jiran tetangga di hari raya, satu benda yang pasti kita semua perasan ialah, makanannya yang pelbagai, bergantung kepada negeri asal kelahiran si tuan rumah. Namun satu benda yang kalau anda semua perasan ialah, air yang dihidangkan mungkin tak jauh bezanya dengan air yang ada (dan dihidangkan) di rumah kita, atau ketika hari bukan raya. Kalau tak sirap, air kordial, kalau tak kordial, air Sunquick, kalau tak Sunquick, Rebina, kalau tak Rebina, air gas/soda botol. There is no uniqueness and special among the drinks!

Melainkan kalau si tuan rumah tu menghidangkan anda dengan minuman 'exotic' seperti manggo lassi, banana cream shake, atau air jus buah-buahan sebenar, itu barulah unik dan lain daripada yang lain, dan tak salah jika nak merasa. Ingat, SS bukan mengajar kalian untuk 'berlagak kaya' dalam memilih air minuman, tetapi ini adalah fakta. Kesimpulannya, usah membazirkan kuota kalori yang ada dengan air-air 'manis biasa' yang boleh kita rasa di luar hari raya. Pilihlah air putih, sky juice, air kosong, atau apa saja yang korang panggil (Tengok, siapa cakap SS ajar 'berlagak kaya' dalam memilih air minuman? Air kosong je tu).

Kuota kalori yang berjaya diselamatkan untuk satu rumah = 65kcal
Katakan anda berkunjung dalam 10 buah rumah hari itu, maka kuota kalori yang berjaya diselamatkan ialah = 650kcal!

2 - Berjalan kaki
Oh, rumah yang hendak dikunjungi tu terletak dalam taman kediaman yang sama, atau dalam kampung yang sama. Namun perlukah untuk kita menunggang motosikal atau menaiki kereta untuk ke rumah tu? Jawapannya, tak perlu. Rasionalnya? Anda akan menggunakan lebih kalori dengan berjalan kaki ke lokasi berkenaan. Disamping itu, anda juga mempunyai lebih peluang untuk beramah mesra dan bertukar-tukar duit raya dengan orang yang diselisih ketika berjalan.

Kuota kalori yang berjaya ditambah untuk satu rumah = 14kcal (5 minit berjalan)
Katakan anda berkunjung dalam 10 buah rumah hari itu, maka kuota kalori yang berjaya ditambah ialah = 140kcal!


3 - Sibukkan diri melayan tetamu
Perlukah kita berkunjung sakan kerumah famili/rakan-rakan/jiran tetangga untuk beraya sepanjang hari? Jawapannya tentulah tidak bukan? Anda juga perlu melayan tetamu yang hadir untuk beraya di rumah, dari menyediakan minuman, membasuh dulang-dulang dan pinggan-pinggan kotor, mengelap meja; semua itu menggunakan kalori. Lebih ramai tetamu yang hadir, maka lebih sibuklah anda pada hari itu, maka lebih banyak anda menggunakan kalori! Ya, tetamu itu adalah nikmat...

Kuota kalori yang berjaya ditambah untuk sekumpulan tetamu = 28kcal (15 minit satu sesi)
Katakan 10 kumpulan tetamu telah berkunjung ke rumah anda, maka kuota kalori yang berjaya ditambah ialah = 280kcal!

4 - Hindari perut kosong
Jangan sesekali meninggalkan perut anda dalam keadaan kosong sebelum pergi beraya kerana ini akan menggalakkan anda makan secara berlebihan. SS cadangkan agar minum segelas susu rendah lemak atau segelas minuman coklat panas sebelum meninggalkan rumah. Kenapa mesti susu atau minuman coklat? Jawapannya mudah. Segelas susu atau minuman coklat panas sebelum menikmati juadah makan berpotensi untuk mengurangkan selera makan anda.

5 - Niat hanya untuk merasa
Tidak bererti anda perlu melantak kesemua hidangan yang tersedia sehingga kenyang. Andaikan diri anda sebagai 'pengkritik makanan' yang cuma perlu menentukan sama ada makanan tersebut sedap atau tidak. Satu cucuk sate sudah memadai, seketul kuih juga sudah memadai. Ingat, 'merasa makanan' itu perkara yang mulia, namun 'makan kesemuanya' adalah sesuatu yang cela!

6 - Ketahui nilai kalori makanan
Sebelum 'bertemu' seseorang, adalah lebih baik jika anda kaji dahulu latar belakang individu tersebut agar pertemuan anda dengan individu tersebut berjalan lancar. Konsep ini juga sama dengan makanan. Sekiranya anda tahu berapa nilai kalori sesebuah makanan dalam sukatan tertentu, anda akan lebih berhati-hati dalam menentukan berapa banyak yang harus dimakan. Sebagai contoh, sebiji biskut Almond Landon (AL) mengandungi kira-kira 40kcal, bergantung kepada resepinya. Dengan mengetahui nilai kalori biskut AL, anda pastinya tidak akan makan melebihi 10 biji (10 biji bererti 400kcal) untuk setiap rumah. Sekali lagi, setkan niat hanya untuk merasa. Untuk senarai kalori makanan-makanan Malaysia, sila rujuk E-book "Food Calorie List" keluaran Susu Sejat.

7 - Fokus kepada protein, kurangkan karbohidrat
Tak bermaksud SS nak menggalakkan anda semua untuk berdiet ala-ala Atkins atau High-protein diet. Namun, rasionalnya disini terletak pada konsep dimana kehadiran protein akan membuatkan sesebuah hidangan itu lambat untuk dihadam dan memerlukan lebih tenaga untuk mencernakannya, sekaligus meningkatkan kadar metabolisma.

Selain itu, protein juga lebih lambat ditukar kepada glukosa berbanding karbohidrat, sekaligus risiko ia untuk ditukar kepada lemak badan rendah. Untuk memastikan ini, pastikan juadah yang anda ambil itu ada kandungan protein. Jika juadah tersebut tiada kandungan protein, sila kurangkan pengambilannya (hadkan untuk merasa sahaja). Contoh hidangan berprotein adalah rendang atau kari ayam/daging (tanpa kulit, boleh dimakan bersama rendang dan ketupat), laksa utara, sate, lontong (banyakkan mengambil tauhu didalamnya, udang), ayam percik, dan serunding.

Yang mana satukah makanan berprotein dalam gambar ini?

8 - Makan secara perlahan
Sedangkan Nabi sendiri pernah berpesan agar kunyah makanan dalam 40 kali terlebih dahulu sebelum telan, untuk memastikan makanan tersebut betul-betul hancur dan sebati dengan amilase liur (air liur). Ini akan membawa kepada proses pencernaan yang lebih teratur. Malah, otak juga mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mentafsir sama ada anda sudah kenyang atau pun sebaliknya. Maka dengan itu, makanlah secara perlahan dan teratur. Ingat, sekiranya anda menghabiskan 1 hidangan makanan kurang dari 10 minit, itu bererti anda seorang yang gelojoh.

9 - Chewing-gum sebagai pendamping
Selepas selesai mengunjungi satu-satu rumah, SS sarankan agar anda mengunyah sekeping gula-gula getah (sugarfree) sementara dalam perjalanan untuk mengunjungi ke rumah yang seterusnya. Kunyahlah dalam 5-10 minit dalam satu sesi. Selain daripada membersihkan mulut daripada bau-bau bawang sate, dan juga menanggalkan makanan dan cabai-cabai pada celah gigi, anda juga dapat membakar 'ekstra' kalori dengan membiarkan mulut anda mengunyah. Secara tidak langsung, anda juga sebenarnya membuatkan otot pipi anda sedikit letih, sekaligus mengurangkan risiko untuk mengunyah lebih makanan di rumah yang seterusnya.

10 - Pandai menolak tawaran
Pernah mengalami situasi dimana tuan rumah suruh anda tambah dan tambah lagi makanan? Dalam konteks ini anda kena pandai 'menawar' agar apa yang anda kata (menolak pelawaan) tidak akan mengecilkan hati si tuan rumah. Berikan alasan yang anda sudah kenyang, atau jika ditanya mengapa tidak minum minuman manis yang terhidang, beritahulah beliau bahawa anda ingin mengelak daripada mendapat penyakit kencing manis (kencing manis adalah contoh yang terbaik kerana ia penyakit yang common, semua rakyat Malaysia, walaupun yang duduk di ceruk kampung mana sekalipun pasti tahu). Lakukannya dengan cara baik, namun jangan sesekali memberi alasan diet kerana kebiasaannya, alasan itu tidak boleh dipakai sama sekali, malah anda akan dipaksa untuk makan dan minum dengan lebih lagi. Ok?

Siapa yang tengah bersalaman ni?

Itulah dia 10 tips yang boleh diamalkan ketika Aidilfitri ini dalam mengelakkan tabiat makan secara berlebihan. Di kesempatan ini juga, Aku, Ejoy, penulis dan pengarang rasmi Susu Sejat dot Com ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat seluruh pembaca setia (blog yang tidak seberapa ini) yang beragama Islam.

Ampunkan salah silap andai ada terkasar bahasa, terutamanya ketika aku menegur sikap masyarakat Malaysia, dan kritikan terbuka menerusi beberapa entri sebelumnya. Mungkin ada yang terasa, namun niat aku baik, tidak lebih daripada menegur yang mana salah sahaja. Semoga kita dapat berjumpa lagi selepas raya nanti, ok?

Susu Sejat penat, Susu Sejat nak rehat.... =,) *nangis terharu*



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

September 2, 2010

Tip 8: Supplemen Multivitamin yang mana pilihan hati? (Bahagian 3)

Sanggup turun Watsons petang tadi, walaupun tengah berpuasa.. :D

Setelah memahami apa yang dimaksudkan dengan Vitamin, Minerals, dan Multivitamin (MV): masing-masing diceritakan dalam Bahagian 1 dan Bahagian 2, kini tiba masanya pula kita mempelajari tip-tip dalam memilih produk MV yang sesuai untuk keperluan kita. Untuk itu, apa kata kita ikut Susu Sejat ke Watsons untuk mempelajari tip-tip berkenaan:

1 - Kategori anda
Adakah anda tergolong dalam kelompok kanak-kanak? Remaja? Dewasa, atau Veteren? Setiap golongan ini memerlukan jumlah micronutrient yang berbeza, dan kebiasaanya keperluan (jumlah sukatan) vitamin-vitamin ini bertambah mengikut umur. Individu yang berumur 60 tahun memerlukan lebih Vitamin D berbanding individu berumur 20 tahun memandangkan kadar penyerapan nutrient yang menurun ketika usia semakin meningkat. Produk-produk multivitamin telah direka unik, dan khas untuk satu-satu golongan.

Perbezaan di antara 2 produk Appeton Essentials. Perhatikan bahawa MsTeen mengandungi lebih kandungan iron nya berbanding Teengrow. Produk Appeton Essentials MsTeen diformulakan khas untuk gadis remaja yang banyak kehilangan zat besi (iron) menerusi haid.

2 - Jenis MV (pil/caplet/tablet/capsul/liquid)
Terdapat pelbagai jenis/bentuk multivitamin. Ada yang berbentuk pil, caplet, tablet, capsul dan liquid (cecair, selalunya untuk kanak-kanak). Antara banyak-banyak jenis ini, aku rasa yang paling menyenangkan dan mudah dibawa kemana sahaja ialah MV berbentuk pil, caplet, atau tablet. Berbanding dengan bentuk cecair, anda memerlukan sudu untuk setiap ambilan, dan amat melecehkan jika dibawa untuk tujuan bercuti atau bekerja luar. Buat yang muslim, capsul mungkin bukan pilihan terbaik kerana selaputnya diperbuat daripada gelatin, yang mana proses pembuatannya mungkin meragukan terutama jika MV (capsul) itu diimpot dari negara bukan Islam.

Caplet Centrum MV (kiri) dan caplet Appeton Essentials MV21 (kanan), kedua-duanya mudah dibawa kemana sahaja, dan yang lebih penting, bebas gelatin.

3 - Bekas penyimpanan
Bekas penyimpanan juga memainkan peranan yang penting, terutamanya jika anda ingin membeli stok MV untuk tempoh lebih daripada sebulan. Kebiasaannya MV adalah dalam bentuk botol, namun ini bukanlah cara penyimpanan yang baik untuk jangka masa panjang. Memandangkan kita kerap membuka penutup botol, ada kemungkinan pil-pil MV didalamnya akan teroksida. Jika boleh, pilih MV yang pilnya dipekkan sebiji-sebiji, atau asing (seperti Appeton Essentials MV21) kerana pek seperti ini akan memastikan pil-pil yang lain tidak terdedah kepada udara, sekaligus menurangkan risiko untuk teroksida. Selain itu, pek seperti ini juga kedap cahaya (Ingat, MV juga mudah 'rosak' jika terdedah kepada cahaya untuk tempoh yang terlalu lama!).

Setiap caplet Appeton Essentials MV21 dipek secara berasingan, dan cara ini memastikan bahawa caplet yang belum digunakan bebas daripada pendedahan udara dan cahaya. Berbeza dengan Centrum, yang dipekkan secara botol.

4 - Harga
Harga sesebuah produk MV bergantung kepada 3 faktor, iaitu tempat/negara ia dikeluarkan, kandungan nutrien, dan jumlah pil yang dibekalkan. Sila hayati fakta-fakta berikut:

i) MV yang diimpot, kemudian dipekkan semula dinegara kita (seperti Appeton Essentials MV21) adalah lebih murah harganya berbanding yang diimpot sepenuhnya (seperti Redoxon).
ii) Centrum Silver (30 tablets) harganya lebih mahal berbanding Centrum 'biasa' (30 tablets). Ini kerana kandungan beberapa nutrien dalam Centrum Silver adalah sedikit tinggi berbanding Centrum yang 'biasa', memandangkan Centrum Silver ini diformulakan khas untuk golongan veteran (tahap penyerapan nutrien rendah).
iii) Secara purata, harga sebiji "Blackmores MV (60 tablets)" adalah lebih murah berbanding sebiji "Blackmores MV (30 tablets)".

Berikut adalah harga-harga MV yang dipantau di Watson Pharmacy pada tarikh 2 Sept 2010:

*Seven Seas (30 capsules) RM21.90 (discount RM17.20)
Appeton Essentials MV21 (30 caplets) RM22.50 (discount RM18 @ Guardian)
Supradyn (Bayer) (30 tablets) RM27.88
Centrum (30 tablets) RM31.90
Blackmores MV (30 tablets) RM33.00 (discount RM26.40)
Pharmaton (30 tablets) RM35.80
Centrum Silver (30 tablets) RM36.80
Bion 3 (Merck) + 3 Probiotics (30 tablets) RM45.50
Redoxon (Bayer) (30 tablets) RM49.90
Blackmores MV (60 tablets) RM60.00 (discount RM48)

*Capsules Seven Seas MV mungkin diperbuat daripada unsur gelatin memandangkan ia rasa kenyal.


5 - Pilih yang ada %DV (Daily Value)/ % US RDA
Terdapat juga produk MV yang tidak menyertakan maklumat %DV ini. Berbeza dengan maklumat pemakanan untuk kalori, di mana %DV mungkin tidak berapa penting, produk MV harus ada info ini untuk memastikan pengguna tidak tertipu. Sila teliti label dan pastikan vitamin-vitamin berikut nilai %DV nya adalah 100: thiamin (B-1), riboflavin (B-2), niacin (B-3), vitamins B-6, B-12, D, E, dan folic acid (semua ni vitamin penting untuk metabolisma).

Appeton Essentials MV21 hampir menepati ciri-ciri ke-5 ini.

6 - Pastikan MV tersebut mengandungi minerals
Kebanyakan produk MV masa kini disertakan dengan minerals, namun terdapat juga produk yang hanya membekalkan Vitamin semata-mata, sedangkan harganya lebih kurang sama. Pastikan pilih produk MV yang disertakan dengan mineral agar anda boleh mengoptimumkan pembelanjaan wang anda. Sila teliti label dan pastikan MV tersebut mengandungi mineral-mineral penting ini: chromium, copper, magnesium, zinc, dan iron.

Sama ada ini...

...atau ini...

...kedua-duanya Susu Sejat pernah cuba. Walaubagaimanapun, yang menjadi pilihan hati Susu Sejat hanyalah satu. Rasa-rasanya yang mana satu ya? Cuba anda teka.


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

September 1, 2010

Tip 8: Supplemen Multivitamin yang mana pilihan hati? (Bahagian 2)

Rasa-rasanya, entri semalam tidak berapa mendapat sambutan pembaca: tak ramai yang komen (di Blogspot, Facebook), mahupun yang recommend. Apa, tak ramai yang baca? Tak juga, kerana 'page loads' dan 'unique visitors' masih konsisten, bererti entri tersebut memang ada pembacanya. Namun aku fikir, hanya terdapat satu sahaja sebab mengapa entri tersebut tidak mendapat sambutan:

Terlalu Banyak Fakta!

Persepsi sedemikian sudah menjadi lumrah, dan manusia, secara azalinya inginkan sesuatu yang 'mudah' dan menyenangkan. Perlukah setiap kali kita bertanya diri kita, "Untuk menjaga penglihatan, aku kena pastikan aku mengambil Vitamin A, dan untuk itu aku harus makan lobak merah..." atau "oh, aku kena makan tiram hari ini kerana aku memerlukan mineral zinc.." ("oh, kenapa aku sangat skema?") Terlalu banyak fakta, manusia tak suka ini!

Oleh yang demikian, wujudlah apa yang dikenali sebagai supplemen Multivitamin. Multivitamin adalah penyelesaian kepada masalah-masalah di atas. Sebiji pil multivitamin dah cukup untuk membekalkan lebih 20 jenis micronutrient yang diperlukan! Hakikatnya, ia bukan sahaja untuk mereka yang ingin menguruskan badan, malah perlu untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira matlamat berat badan, daripada yang kecil hinggalah yang veteren.

10 sebab mengapa anda harus mengambil 1 biji pil multivitamin sehari
?

1 - Nutrien yang mencukupi ketika menurunkan berat badan
Dalam entri bahagian 1, aku berulangkali menyebut istilah 'metabolik' (metabolisma) dan 'kuning telur'. Kuning telur, tak dinafikan merupakan makanan paling tinggi nutriennya, dan tak keterlaluan jika aku katakan kuning telur merupakan 'multivitamin' yang di ambil oleh orang zaman dahulu pada sebelah pagi. Namun sayangnya, kuning telur tinggi kandungan kolestrolnya, disamping nilai kalorinya juga tinggi memandangkan ia kaya dengan lemak.

Kebanyakan mereka yang mengamalkan diet untuk turun berat badan pasti akan mengelak makanan-makanan berkalori tinggi seperti ini. Itu baru aku ambil contoh satu jenis makanan, bagaimana pula dengan yang lain? Tubuh badan kita sememangnya memerlukan nutrien yang mencukupi untuk terus berfungsi. Kadar metabolisma pastinya terjejas apabila kekurangan nutrien tertentu, sekaligus ia menjadi rendah dan akhirnya progres untuk turun berat badan akan menjadi semakin perlahan!

Pernah dengar ungkapan ini, "ko ni aku tengok lemah lesu, macam tak cukup makan..". Salah satu faktornya adalah disebabkan kekurangan micronutrient dalam diet.

2 - Faktor sibuk
Faktor kesibukan di zaman moden menyebabkan corak pemakanan kadang-kadang tidak seimbang (dari segi kandungan micronutriennya), terutamanya jika anda sering bekerja di luar dan jarang memasak di rumah.


3 - Termusnah akibat dimasak
Haba merupakan faktor utama yang boleh menyebabkan satu-satu vitamin itu terurai. Vitamin boleh bekerja pada suhu optimum iaitu suhu badan manusia (dalam 35 darjah celcius), lebih daripada itu, ia mungkin akan musnah. Oleh sebab itu, belum terjamin 100% vitamin-vitamin yg terkandung dalam sesebuah makanan yang dimasak dapat digunakan oleh badan kita.

4 - Stress (tekanan perasaan, kerja)
Dalam dunia yang serba sibuk dan mencabar, tidak sah jika seseorang itu menghidap tekanan mental. Kehilangan magnesium dan beberapa nutrien penting adalah lumrah dek kerana tekanan perasaan, mental, dan sebagainya.

5 - Kualiti makanan yang semakin rendah
Kualiti sayur-sayuran (juga buah) yang ada kini mungkin tidak lagi setanding kualitinya berbanding sayur-sayuran yang ditanam (secara organik) beberapa dekad yang lalu. Sayur-sayuran zaman kini terlalu banyak 'dimanjakan' dengan bahan-bahan kimia, yang mungkin memusnahkan kualiti nutrien yang terkandung di dalamnya.

6 - Pencemaran Alam sekitar
Kemodenan dan kepesatan teknologi mengakibatkan alam sekitar kian tercemar berbanding beberapa dekad yang lalu. Saban hari, sistem ketahanan tubuh kita kian terancam, dan micronutrient yang hanya diperolehi daripada makanan sahaja (rujuk no.3 dan no.5) mungkin tidak mencukupi.

7 - Tabiat makan memilih
Terdapat individu yang tidak suka makan sayur, dan hanya bergantung kepada daging dan makanan laut sahaja untuk mendapatkan sumber micronutrient, dan ini tidak mencukupi kerana kebanyakan vitamin dan mineral wujud dalam tumbuh-tumbuhan. Terdapat pula individu yang mengamalkan diet vegetarian (tak makan daging, ayam, telur) dan individu sebegini mungkin tidak mendapat cukup vitamin B12, zinc dan calcium.


8 - Tahap penyerapan nutrien yang rendah
Tidak semua individu mampu menyerap nutrien dengan baik, terutamanya golongan yang sudah berumur. Supplemen multivitamin membantu dalam memastikan bekalan vitamin dan mineral kepada tubuh badan sentiasa mencukupi.

9 - Harganya yang murah
Secara purata, sebiji pil multivitamin yang diambil sebiji setiap hari, harganya tidak sampai RM1 pun. Jika anda boleh menghabiskan wang anda dengan sekotak rokok sehari, atau sebungkus Keropok Moni (hari-hari tengok iklan ni di TV), mengapa harus memberikan 1000 alasan untuk membeli multivitamin yang baik untuk kesihatan?

10 - Role Model kita
Salah satu rahsia mengapa Tun Dr. Mahathir berjaya mengekalkan kesihatan hingga ke usianya sekarang ialah beliau mengamalkan pengambilan 1 pil multivitamin setiap hari (kalau tak salah jenama yang beliau ambil ialah "Shaklee").


Itulah dia 10 sebab munasabah mengapa kita memerlukan supplemen multivitamin dalam dietary kita. Buat yang sudah memilikinya, bagus, teruskan amalan mengambil 1 pil multivitamin setiap hari. Buat mereka yang belum, apa yang ditunggu lagi? Setiap rakyat Malaysia seharusnya memiliki sebekalan multivitamin dalam beg tangan (buat yang wanita), beg bimbit (buat lelaki tampan dan maskulin), dan beg sekolah (buat adik-adik yang masih belajar). Semua orang harus memilikinya, dan ia tidak terhad untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan sahaja!

Mereka yang belum pernah membeli Multivitamin ini, pasti akan bertanya soalan-soalan lazim ini:

Terdapat banyak produk-produk multivitamin yang terdapat di pasaran, namun bagaimana untuk memilih produk yang sesuai untuk kita?

Faktor harga dan kualiti? Macam mana nak tahu?

Jenis pil, cair, atau kapsul? Yang kotak atau yang dibotolkan? Status Halal sesebuah pil multivitamin?

Semua itu akan aku ceritakan dalam bahagian 3, bahagian yang penghabisan "Tip 8: Supplemen Multivitamin yang mana pilihan hati?".

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

August 31, 2010

Tip 8: Supplemen Multivitamin yang mana pilihan hati? (Bahagian 1)

"Apakah kegunaan supplemen ini?? Appeton Multivitamin & Mineral? boleh x ijoy tlg jelaskan peranannya dlm menurunkan berat badan? TQ"

Soalan di atas pernah diajukan oleh seorang pembaca di page facebook Susu Sejat beberapa minggu yang lalu. Namun, sebelum aku menghuraikan dengan lebih lanjut apa itu supplemen multivitamin, dan peranannya ketika menurunkan/menaikkan berat badan, adalah lebih baik kita kenal terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan multivitamin, vitamin dan mineral.


Definisi

Vitamin - merupakan sebatian organik yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang sangat kecil (surih), juga dikenali sebagai 'micronutrien'. Micronutrien ini berbeza dengan 'macronutrien' (Karbohidrat, Lemak dan Protein) yang bertanggungjawab kepada distribusi kalori. Benar, Micronutrien tidak membantu dalam distribusi kalori, atau bahasa mudahnya 'kosong kalori'. Vitamin terbahagi kepada 2 jenis, iaitu vitamin larut lemak, dan vitamin larut air.

Mineral (Diet) - merupakan elemen kimia selain karbon, hidrogen, nitrogen dan oksigen yang terdapat dalam jadual berkala (Periodic Table) dan diperlukan oleh organisma hidup seperti manusia untuk terus hidup. Mineral, sama juga seperti vitamin, adalah merupakan kelompok elemen surih atau 'micronutrien', dan diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang sangat kecil.

Micronutrien - Vitamin dan mineral (seperti yang disebutkan di atas)

Multivitamin - merupakan istilah yang merujuk kepada supplemen diet yang mengandungi vitamin larut lemak (A, D, E, K), vitamin larut air (B1, B2, B6, B12, C, Folic Acid, Niacin, Pantothenic Acid, Biotin), dan mineral-mineral penting (calcium, phosphorus, iron, iodine, magnesium, manganese, copper, zinc, dan berbagai lagi).

Meskipun sodium merupakan sebahagian daripada elemen mineral yang penting dalam diet, ia tidak disertakan sekali dalam pakej multivitamin ini memandangkan sodium mudah didapati di dalam makanan, terutamanya dalam garam yang digunakan untuk memasak (terlebih sodium dalam diet boleh menyebabkan penyakit hypertension atau bahasa melayunya, Darah Tinggi).

Setelah memahami definisi-definisi di atas, apa kata kita selami pula jenis-jenis vitamin dan mineral, fungsinya serta sumber yang mengandunginya. Walaubagaimanapun, aku tidak akan menyentuh dengan mendalam berapa banyak (milligram) setiap micronutrien itu diperlukan memandangkan sukatan sebenarnya bergantung kepada umur, jantina, dan berat badan. Ini akan aku cerita dengan lebih lanjut dalam bahagian 2 kelak.

Berikut adalah vitamin-vitamin yang penting dalam membantu proses metabolik supaya berjalan lancar, mengawal fungsi sel, dan mengelak penyakit-penyakit malnutrisi seperti scurvy dan rickets.

1 - Vitamin Larut Lemak

Vitamin A (juga *perkusornya, iaitu Beta Carotene)
Diperlukan untuk: pertumbuhan normal, integriti kulit, penglihatan, dan perkembangan tulang.
Sumber: Lepa susu, kuning telur, buah-buahan tertentu (prunes, nanas, oranges, limau, and cantaloupe), tumbuhan berdaun hijau, dan lobak merah.

*bermaksud Beta Carotene akan ditukarkan kepada Vitamin A bila berada dalam badan manusia.

Vitamin D
Diperlukan untuk: Pertumbuhan tulang dan gigi, membantu penyerapan Calcium ke dalam tulang
Sumber: Cahaya matahari (kulit akan menghasilkan Vitamin D), susu, minyak ikan kod, salmon, kuning telur, mentega

Vitamin E
Diperlukan untuk: antioxidant, melindungi dinding sel, dan pembaikan luka
Sumber: Hampir dalam semua buah-buahan, sayur-sayuran dan minyak sayuran

Vitamin K
Diperlukan untuk: Pembekuan darah
Sumber: Lemak, oat, gandum, rye, alfalfa, juga dihasilkan oleh bakteria di usus


2 - Vitamin Larut Air

Vitamin B1 (thiamine)
Diperlukan untuk: pertumbuhan, selera makan, dan metabolisma karbohidrat (pembebasan tenaga).
Sumber: Gandum penuh, kekacang, kuning telur, buah-buahan, kebanyakan sayur-sayuran

Vitamin B2 (riboflavin)
Diperlukan untuk: pertumbuhan dan metabolisma sel (pembebasan tenaga).
Sumber: Hati, daging, ayam, telur, susu, dan sayuran hijau

Vitamin B3 (niacin)
Diperlukan untuk: fungsi neurological (saraf), sistem pencernaan, kesihatan kulit
Sumber: Hati, daging, ayam, sayuran hijau

Vitamin B6 (pyridoxine)
Diperlukan untuk: metabolisma protein, penghasilan sel darah merah
Sumber: Daging, ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan

Vitamin B12 (cobalamin)
Diperlukan untuk: fungsi neurological (saraf), pembentukan DNA dan sel baru, serta pencegahan anemia
Sumber: Sayuran hijau, makanan organ binatang, daging, dan makanan laut. Tidak terdapat dalam tumbuhan.

Vitamin C (ascorbic acid)
Diperlukan untuk: pembentukan tisu penghubung antara sel, mengekalkan protein untuk kestabilan sel kepada membran, mencegah skurvi atau rickets dikalangan kanak-kanak
Sumber: Kobis mentah, lobak merah, jus oren, betik, lettuce, celery, bawang besar, tomato, dan kebanyakan buah-buahan citrus.

Folic Acid
Diperlukan untuk: pembentukan DNA dan sel baru, terutamanya sel darah merah
Sumber: Sayuran hijau, legum, biji (kuaci, labu), jus oren, hati.
Pantothenic Acid
Diperlukan untuk: Metabolisma tenaga
Sumber: Wujud dalam hampir setiap makanan

Biotin
Diperlukan untuk: Metabolisma tenaga
Sumber: Wujud dalam hampir setiap makanan, juga dihasilkan oleh bakteria di usus.


3 - Minerals

Chromium
Diperlukan untuk: mengekalkan paras normal gula dalam darah
Sumber: Daging, makanan belum proses, lemak, dan minyak sayuran

Copper
Diperlukan untuk: pembentukan sel darah merah dan tisu-tisu penghubung
Sumber: Daging, makanan laut, kekacang

Fluorine
Diperlukan untuk: Struktur gigi
Sumber: Air paip (dikawasan tertentu), makanan laut, buah pinggang, hati, dan daging

Manganese
Diperlukan untuk: Sintesis DNA, RNA dan protein
Sumber: Bijirin, gandum, buah-buahan, sayur-sayuran

Selenium
Diperlukan untuk: melindungi lipid pada membran sel, protein, dan asid nukleik dalam mencegah proses oksidasi
Sumber: Brokoli, ayam, timun, kuning telur, bawang putih, hati, susu, cendawan, bawang besar, makanan laut, dan tuna

Zinc
Diperlukan untuk: Sintesis protein, DNA dan RNA
Sumber: Daging, tiram, makanan laut yang lain, susu, dan kuning telur

Mungkin senarai vitamin dan mineral di atas terlalu panjang, dan leceh untuk dihafal. Hakikatnya, tiada siapa yang sanggup untuk memantau setiap pengambilan micronutrien tersebut, maka oleh yang demikian, supplemen seperti Multivitamin amat membantu dalam memastikan kita mendapat setiap micronutrien penting yang diperlukan.

Jika diperhatikan betul-betul, kebanyakan micronutrien di atas berfungsi dalam meningkatkan lagi metabolisma tubuh badan. Dan seperti yang SS cerita sebelum ini, meningkatkan metabolisma tubuh badan bererti 'mempercepatkan lagi hasil penurunan berat badan'.

Namun mungkin ada segelintir yang bertanya, jika benar micronutrien seperti yang dinyatakan wujud dalam makanan-makanan di atas, mengapa kita masih memerlukan supplemen? Juga, produk supplemen multivitamin manakah yang bagus untuk diambil? Tips untuk membeli supplemen Multivitamin? Semua kemusykilan itu akan dijawab dalam bahagian 2 "Tip 8: Supplemen Multivitamin yang mana pilihan hati?".

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

August 27, 2010

Bagaimana hendak menurunkan berat badan paling pantas?

Nyah Auw Auw: Tolong saya Susu Sejat!! Minggu depan saya ada ujian fizikal PTD, tapi BMI saya masih pada tahap yang mengecewakan. Saya kena menurunkan berat dalam 5kg ni, kalau tak confirm tak lepas.. tolong saya ye Susu Sejat, I love you lah, muaaaaahhhhhhhh"

Susu Sejat: (sambil mengesat pipinya..) Okay...

Aku percaya pasti ramai yang pernah mengalami masalah di atas. Biasalah, orang kita, sesuatu perkara itu sering kali dilakukan pada saat-saat akhir. Namun, andaikata perkara di atas benar-benar terjadi kepada anda di masa akan datang, dan anda hanya mempunyai masa selama 7 hari sahaja untuk menurunkan jarum penunjuk di penimbang sekurang-kurangnya sebanyak 5kg, agak-agak bagaimana caranya ya?

Buat pertama kalinya di Malaysia, secara eksklusif, Susu Sejat ingin berkongsi rahsia bagaimana untuk menurunkan berat badan anda dengan banyak dan pantas selama 7 hari, supaya anda lulus ujian PTD/kelayakan fizikal di tempat kerja anda.

Amaran: Pastikan rahsia ini tidak terketahuan oleh majikan anda, atau..... (tak pa, teruskan membaca)


1 - Program Detox

Mungkin ramai yang kurang tahu akan peranan detox, tetapi siapa sangka, melalui detox (lebih mudah difahami sebagai pembersihan usus besar atau 'colon cleansing'), berat badan anda boleh turun sebanyak 5kg hanya dalam masa 7 hari, terima kasih lah kepada 'tahi-tahi' yang dah melekat di dinding usus besar (colon) anda selama berbulan-bulan, atau mungkin juga bertahun-tahun lamanya. Tidak ramai yang tahu bahawa beberapa peratus daripada berat badan mereka terdiri daripada 'tahi-tahi' ini, yang jumlahnya mungkin boleh mencecah setinggi 10kg! (bergantung kepada saiz badan individu tersebut)

Program detox mana yang bagus? Ini anda boleh rujuk kepada pusat-pusat kecantikan yang menawarkan perkhidmatan detox, atau boleh berkunjung ke farmasi-farmasi bertauliah untuk mendapatkan produk-produk detox yang bagus. Sila pilih perkhidmatan/produk yang menawarkan plan detox untuk 7 hari sahaja, ok?


2 - Berat air

Ini merupakan cara menipu paling mudah, iaitu dengan mengurangkan kandungan air dalam badan anda. Buat mereka yang tidak tahu, teknik ini digunakan oleh ahli bina badan 1-2 hari sebelum pertandingan (ala, yang memperagakan tubuh badan yang berketul-ketul dan berurat-urat tu). Rasionalnya? Mereka tidak mahu air itu terkumpul di bawah lapisan kulit sekaligus menutup kesemua definisi-definisi otot yang ada (setiap definisi otot membawa kepada beberapa mata (points) ketika pertandingan, rugi kalau definisi tu pengadil tak nampak).

Sehari sebelum ujian, pastikan anda minum air pada jumlah yang minima, atau dalam bahasa mudahnya, minum air jika anda benar-benar haus sahaja. Jika mampu, berpuasa daripada makan dan minum kira-kira 12 jam sebelum ujian juga membantu, kerana melalui pengalaman, menerusi berpuasa juga boleh turun berat badan sehingga 2kg banyaknya! (1 liter air bersamaan 1kg).


3 - Pakaian

Dengan segala hormatnya, silalah memakai hanya pakaian yang ringan-ringan ketika temuduga dijalankan. Janganlah pada ketika ini, anda mengada-ngada hendak memakai seluar jeans dan baju panas atau sweater (meskipun temuduga tersebut diadakan di kaki bukit atau ketika awal pagi.. ya, memang sejuk!). Sepasang seluar Levi's dan sepasang baju panas (sweater) adalah bersamaan 1kg beratnya.


Apabila dijumlahkan, anda boleh menipu berat badan anda sebanyak...

5kg + 2kg + 1kg = 8kg!!

Selamat berjaya!


P/S: Susu Sejat tidak bertanggungjawab terhadap kesan sampingan yang terjadi kepada anda dek kerana mengamalkan tips di atas (terutamanya yang no.2). Tips ini untuk mereka yang suka melakukan perkara 'last minute' dan jika boleh lakukan persedian lebih awal (turunkan berat badan cara betul menerusi diet dan senaman) dengan cara yang normal dan sah.

P/P/S: Penurunan berat badan di atas tidak melibatkan sebarang penurunan lemak atau penurunan otot.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails