June 30, 2010

Raja Metabolisma

Mesti ramai di antara korang yang tertanya-tanya siapa mamat di atas ni. Pemain bola sepak piala dunia Jepun? Salah. Jepun dah terkeluar pun daripada saingan, kalah dengan Paraguay semalam.

Hmm..

Kalau korang nak tahu, dialah Takeru Kobayashi, warga Jepun yang kerjanya hanyalah 'melantak untuk hidup'. Ya, tak salah lagi, beliau adalah pemegang rekod dunia acara makan hot dog terbanyak dan terpantas (professional) untuk hampir 6 tahun (antara tahun 2001 hingga 2006), sebelum rekod itu dipecahkan oleh Joey Chestnut pada tahun 2007.

Bayangkan, Takeru Kobayashi mampu menghabiskan lebih 50 biji hot dog dalam masa tidak sampai 15 minit! Tak percaya? Tengok video di bawah ni (gerak perlahan).


Takeru pernah memberitahu yang dia mengambil kira-kira 6000kcal sehari, yakni bersamaan 3 KALI GANDA jumlah pengambilan kalori kita sehari! Adakah Takeru seorang yang obese? Tidak. Malah badannya lebih hebat berbanding Christiano Ronaldo, dari segi padatnya jumlah otot. Dan peratusan lemak badannya (body fat) boleh tahan juga, sentiasa di bawah 10%.


Apa rahsia Takeru Kobayashi?

Weight Training (senaman pemberat). Namun beliau tidak pernah 'membocorkan' rahsia terperinci bagaimana dan apa jenis 'weight training' yang beliau amalkan untuk mengekalkan bentuk badan seperti gambar di bawah ni.


Namun tujuan utama aku mengarang entri ini bukan untuk highlight insan bernama Takeru Kobayashi ni. Sebenarnya, aku cuba nak menunjukkan kepada pembaca sekalian bagaimana senaman seperti weight training mampu untuk meningkatkan metabolisma seseorang kepada tahap SUPER - tahap yang mana kalau makan apa-apa pun takkan naik 'lemak' (mungkin akan naik berat, tetapi otot).

Moral dari kisah ini:
Jika ingin turun berat badan (lemak) dengan cepat, pastikan strategi utama ialah untuk tingkatkan kadar metabolisma tubuh badan. Bagaimana untuk tingkatkan metabolisma? Rujuk entri berikut, dan ya, weight training adalah katalisnya yang paling utama.

Kisah Metabolisma (Bahagian 1)
Kisah Metabolisma (Bahagian 2)
Kisah Metabolisma (Bahagian 3)

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 28, 2010

Mister Potato Rice Crisps: Review

"Haa.. mari kita mula membandingkan harga maklumat pemakanan.."

"Hah?? Biar betul kandungan Mister Potato Rice Crisps ni!"

Sebentar tadi aku ke Tesco untuk membeli bekalan multivitamin yang sudah kehabisan. Sambil-sambil tu, aku berjalan-jalan juga menuju ke ruangan snek, kerana tiba-tiba aku teringat iklan Mister Potato Rice Crisps yang aku lihat di Nuffnang ads dan juga terdengar di radio arus perdana baru-baru ini.

No added MSG, 20% Less Fat, Cholestrol & Trans Fat Free, No Artificial Colouring.

Itulah yang didakwa oleh Mamee. Namun, setelah aku meneliti maklumat pemakanan pada beberapa perisa Mister Potato Rice Crisps, aku dapati kandungan lemaknya (beserta kalori) adalah lebih kurang sama sahaja dengan Mister Potato Chips (biasa) yang lain.

Untuk lebih adil, aku buat perbandingan berikut di antara Mister Potato Rice Crisps Flame grilled BBQ dengan Mister Potato Barbecue (kedua-duanya dilabel dengan warna biru pada peknya), berdasasarkan jumlah hidangan yang dicadangkan.


Anda lihat perbezaannya? Besarkah perbezaannya?

Satu-satunya perkara signifikan yang selari dengan apa yang didakwa ialah kandungan sodium (Natrium) produk ini hampir 50% kurang daripada Mister Potato yang biasa, mungkin disebabkan tiada penggunaan MSG (highlight warna torquise). Malahan, aku sudah merasa sendiri produk ini dan ternyata, ianya kurang 'perasa', kurang 'masin' dan manisnya juga terasa sungguh jauh berbanding Mister Potato biasa. Mungkin produk ini sesuai buat mereka yang inginkan sesuatu yang kurang masin. Malah, teksturnya juga sedikit keras berbanding produk Mister Potato yang biasa, mungkin kerana bahan asasnya adalah nasi (rice).

Walaubagaimanapun, secara keseluruhan aku beranggapan produk ini sama sahaja seperti makanan-makanan ringan lain yang terdapat di luar sana. Boleh diambil, tetapi haruslah berpada-pada. Aku petik kata-kata seorang penulis daripada majalah Men's Fitness, iaitu (aku dah translate) "sekiranya ingin memilih produk makanan yang telah diproses, elakkan memilih produk yang terdiri lebih daripada 5 ramuan".


P/S: Kredit kepada Mr. Conteng Conteng yang bertindak sebagai jurugambar di Tesco.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 27, 2010

Kisah si Samsul: Sesuatu yang harus anda renungkan..

Samsul meneliti satu persatu fail yang dipinta oleh setiausahanya untuk disemak. Sejak dinaikkan pangkat oleh majikannya, Samsul berpuas hati dengan keadaan hidupnya yang jauh lebih selesa berbanding beberapa tahun yang lalu. Namun, sesekali Samsul merasakan terdapat sesuatu yang kurang dalam hidupnya. Sesuatu yang sukar untuk dijawab oleh dirinya sendiri.

"Banyak ni.. mana boleh siap sekali gus dalam petang ni," keluh Samsul, diikuti satu lelah yang panjang.

Sambil bersandar pada kerusi malas 'leather' hitam, beliau memandang tepat ke arah siling, kaku buat beberapa ketika, diam seribu bahasa.

"Dimana aku suatu ketika dahulu?" soalan ini tiba-tiba muncul dalam kotak fikirannya.

10 tahun yang lalu..

"Samsul! Tolong mak jap, beli kicap dengan telur. Mak nak masak nasi goreng ni, buat kamu dan adik-adik kamu makan. Abah tak balik, dia kerja lebih masa malam ni," tempik Mak Kiah dari dapur.


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 26, 2010

Gula diet?

Sebentar tadi aku browse beberapa laman web yang bercerita mengenai Artificial Sweetener/ Sugar Substitute, atau dalam bahasa melayunya, "Gula Tiruan". Rata-rata 90% daripada laman-laman web tersebut bersetuju bahawa gula tiruan ini memudaratkan kesihatan, terutamanya aspartame. Namun benarkah begitu?

Buat mereka yang belum mengetahui apa itu gula tiruan, sebenarnya gula tiruan ini dicipta untuk meniru rasa gula sebenar sambil tidak memberi sebarang kesan dalam distribusi tenaga, atau bahasa mudahnya 'kosong kalori'. Antara produk makanan yang mengandungi gula tiruan ini termasuklah Diet Pepsi, Diet Coke dan gula-gula bebas gula (sugarfree).

Terdapat beberapa jenis/kategori gula tiruan, termasuklah saccharin, aspartame, sucralose, neotame, acesulfame potassium, dan stevia. Namun tujuan aku mengarang entri berkenaan gula tiruan ini bukanlah untuk menceritakan bagaiman 'gula' ini berfungsi dalam tubuh badan, dan bagaimana ia dicernakan, kerana aku percaya, di saat aku membuka sahaja bicara ayat pertama, anda semua pasti akan menguap!

Di Malaysia, terdapat beberapa sebab mengapa sesetengah individu itu mengambil gula tiruan. Antaranya:

1) Menurunkan berat badan
Secara purata, kita mengambil kira-kira 20 sudu teh gula sehari (termasuk yang terkandung dalam susu pekat manis, minuman tin, dan masakan), yakni bersamaan dengan 84g karbohidrat (336kcal). Apabila gula sebenar digantikan dengan gula tiruan, ini bererti kita mungkin dapat mengelak kira-kira 336kcal sehari, atau 10,080kcal dalam masa sebulan. Secara matematik, ini bersamaan dengan penurunan berat badan sebanyak 1.5kg!

2) Menjaga gigi
Tidak seperti gula sebenar, gula tiruan tidak boleh dicernakan oleh bakteria (normal flora) yang terdapat pada gigi.

3) Mengidap penyakit Diabetes mellitus
Pengidap Diabetes sukar untuk mengawal paras gula dalam darah mereka, terutama jika gula diambil melebihi sukatan yang dibenarkan. Gula tiruan amat membantu dalam membolehkan mereka mendapat rasa manis dalam makanan.

4) Hypoglycemia
Pengidap reactive hypoglycemia menghasilkan insulin yang berlebihan selepas pengambilan makanan berunsur gula (glucose). Hal ini menyebabkan paras glukosa dalam darah mereka turun di bawah jumlah yang diperlukan. Akibatnya, mereka harus mengelakkan pengambilan makanan tinggi glisemik indeks seperti roti putih dan gula.


Setelah diteliti, terdapat juga sebenarnya kontoversi (semua berdasarkan penyelidikan di US) yang melibatkan penggunaan gula tiruan ini secara berterusan.

1 - Penggunaan gula tiruan secara berterusan boleh mengakibatkan kegemukan.
2 - Cyclamate dan Saccharin boleh mengakibatkan kanser pundi.
3 - Aspartame pernah diutarakan sebagai penyebab kepada beberapa jenis kanser termasuklah barah otak. Aspartame juga tidak sesuai untuk pengidap Phenylketonuria (PKU).
4 - Lead acetate mengakibatkan keracunan plumbum dalam tubuh badan, namun penggunaan lead acetate sebagai penambah makanan sudah lama diharamkan hampir di seluruh dunia.

1 sachet EQual (1g) mengandungi 36mg aspartame, mampu memberi kemanisan seperti 2 sudu teh gula.


Komen daripada Susu Sejat:

1 - Jangan jadikan gula tiruan sebagai pengganti gula dalam minuman mahupun dalam masakan. Adalah lebih baik jika pengambilan gula itu sendiri dikurangkan jika ingin turun berat badan.
2 - Fokus hanya kepada produk yang mampu meberi manfaat kepada kita, sebagai contoh gula-gula getah bebas gula (sugarfree), untuk senaman muka yang sihat.
3 - Jika perlukan pemanis tanpa kalori, gunakanlah stevia, sejenis daun yang manis rasanya.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 25, 2010

"Joy, jangan rebah lagi.."

Loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat. Aku masih lagi di pusat sumber sekolah, membelek-belek buku yang bakal dipinjam khas untuk tugasan NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) minggu hadapan. Sengaja aku melengah-lengahkan tempoh untuk pulang ke kelas kerana aku tahu, sesi pembelajaran akan dibatalkan pada petang ini dan digantikan dengan sesi latihan rumah sukan. Sengaja juga aku makan sedikit ketika rehat sebentar tadi kerana aku tahu, sebentar lagi akan diadakan latihan acara larian 400m individu untuk rumah Watson, rumah sukan yang aku wakili.

Dua minggu dari sekarang, SM King Edward VII Taiping akan menganjurkan kejohanan olahraganya buat kali ke - 84, dan kejohanan seperti ini amat ditunggu-tunggu oleh pihak sekolah terutamanya guru-guru sukan untuk mencungkil atlit-atlit baru. Secara jujur aku bukanlah permata sekolah itu, yang dicari-cari selama ini. Malah, sudah sekian lama aku meninggalkan bola sepak, aroma rumput padang dan calitan lumpur pada kaki yang kali terakhir dirasai ketika aku di bangku sekolah rendah. Itu pun sekadar mainan suka-suka. Tambahan berat badan yang sudah bertambah 20kg kini membataskan lagi kelincahan aku di atas trek mahupun di atas padang.

Aku tidak menyalahkan ibu bapa aku yang menyekat kebebasan aku untuk bermain, istilah bahasa pasar yang digunakan masyarakat kita untuk bersukan di kala petang. Semenjak masuk ke alam persekolahan menengah sesi petang, aku tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bermain. Peruntukan masa itu habis begitu sahaja memandangkan aku pulang dari sekolah seawal jam 6.30 petang hampir setiap hari. Bermain pada waktu pagi? Siapalah yang ada ketika itu, kerana majoriti rakan-rakan yang lain bersekolah di sesi sebelah pagi.

Jam sudah menunjukkan pukul 4.15 minit petang, dan sayup kedengaran suara cikgu Wahab disebalik distorsi hailer, memekik mengarahkan agar para pelajar dapat berbaris di padang dengan kadar yang segera. Setelah menyalin pakaian sukan lengkap, aku bersama beberapa orang 'rakan Watson' berkumpul di suatu sudut padang sambil menanti arahan yang selanjutnya daripada guru penasihat rumah sukan.

Selepas menanti beberapa ketika, waktu yang ditunggu akhirnya tiba. Kami diarahkan untuk berbaris dibarisan permulaan trek perlumbaan. Kelihatan beberapa pelajar yang bertubuh sedikit sasa maju ke barisan paling hadapan. Aku kenal wajah-wajah mereka, dan tidak salah lagi, mereka adalah pelajar-pelajar kelas RKP (Rancangan Khas Premier), iaitu sebuah kelas dimana pelajar-pelajar berpotensi dalam bidang sukan ditempatkan. Dimana aku ketika itu? Di barisan keduakah? Bukan. Di barisan ketigakah? Bukan. Di barisan keempatkah? Juga bukan. Aku tidak pasti barisan yang keberapa, namun yang pasti apabila ditoleh kebelakang, tiada sekelumit manusia dibelakangku.

Acara dimulakan. Kesemua lapan pelari daripada barisan pertama dan kedua melepasi had masa yang ditetapkan, bererti 16 mata sudah pasti menjadi milik rumah Watson, dan akan terus dikira sehingga hari sukan kelak. Benarkah mereka semua melepasi had kelayakan? Ya lah, mereka kan barisan atlit sekolah. Larian mereka juga hebat, laju bak peluru.

Sesudah sampai di garisan penamat, sebahagian daripada mereka sungguh ceria dan berlagak seperti biasa, seolah-olah baru sahaja selesai berjoging di taman. Tidak kurang juga yang sedikit mengah, meskipun mereka bergelar atlit. Barangkali merokok agaknya, getus hati kecilku.

Baris demi baris dilepaskan, dan kini tiba sudah giliran aku untuk berlumba sekaligus mencuba nasib untuk menyumbangkan mata. Aku ditempatkan pada lorong yang kedua, yakni yang kedua paling hampir dengan luar trek. Kelihatan sebahagian rakan-rakan Watson yang lain sudah mula meninggalkan padang, manakala sebahagian yang lain langsung tidak menumpukan perhatian dan hanya bersembang sesama mereka. Mungkin hanya segelintir kecil sahaja yang fokus kepada kelompok pelari yang terakhir ini, mungkin.

"Ok.. yang tak terlibat sila ketepi, jangan ganggu laluan trek! Ni yang last, cepat habis cepat kita bersurai!" Laung cikgu Wahab yang sejak dari tadi telah mengambil alih tempat selaku juri pertandingan.

Jantung aku semakin lama semakin berdegup laju. Aku menjadi cemas. Berbagai-bagai persoalan mula timbul di sudut fikiranku. Mampukah aku menghabiskan larian ini, setelah sekian lama aku tidak bersukan? Mampukah aku mengelakkan diri dari menjadi insan yang berada paling ketinggalan di belakang? Adakah berada di lorong kedua dan paling hadapan ini merupakan suatu kelebihan buat diriku, sedangkan aku memang mengetahui jarak daripada garisan permulaan hingga ke garisan penamat setiap lorong adalah sama? Semua soalan itu tiba-tiba lenyap apabila cikgu Wahab mula menghalakan hailer kearah kami.

"Ke garisan... sedia... MULA!!!!"

Aku tidak terus memecut kerana aku tahu perjalanan 400 meter ku ini masih panjang. Untuk permulaan, aku berada di hadapan dek kerana kelebihan lorong yang kedua. Namun, setelah melepasi 100 meter yang pertama, aku menyedari bahawa mereka yang berada di belakangku sebentar tadi sudah mula memotong, seorang demi seorang. Sehinggakan pada satu ketika, aku menyedari bahawa aku kini berada pada kedudukan kedua dari belakang. Menyedari bahawa insan yang terakhir itu cuba memotongku, aku mengambil keputusan untuk meningkatkan sedikit kelajuan larianku.

200 meter yang pertama selesai aku tempuh, namun aku mula menyedari sesuatu yang kurang enak mula muncul dalam diriku. Jantung aku berdegup begitu kencang, seakan-akan sebuah enjin kereta usang yang cuba membawa bebanan sejuta tan. Pernafasan aku juga sudah mula hilang tempo. Aku ngangakan mulut seluas yang mungkin agar mendapat bekalan oksigen yang secukupnya bagi menampung fasa anaerobik ini. Selepas beberapa ketika, aku dapat melihat garisan penamat itu, meskipun sungguh jauh dari pandangan mata.

100 meter yang terakhir, aku mula dipotong oleh insan yang ketinggalan sedari tadi. Aku? Semakin lama larianku semakin sumbang. Temponya juga semakin lama semakin berkurangan. Namun, aku masih belum mendengar tiupan wisel daripada cikgu Wahab, dan itu bererti aku masih berpeluang untuk menyumbang satu lagi mata buat rumah Watson pada hari tersebut. Aku harus kuat berusaha meskipun beberapa rakan sudah pun berjaya menamatkan larian. Ah, lama lagikah untuk aku melepasi garisan penamat itu?

50 meter yang terakhir, aku mula terdengar sorakan rakan-rakan dan para cikgu. Sayup juga aku terdengar suara beberapa insan yang memanggil namaku..

"Joy! Cepat.. sikit lagi.. Ejoy!"

Ternyata sorakan itu belum cukup untuk mendorong aku untuk terus berlari. Malah aku mula merasakan seakan-akan satu bebanan singgah ke kepalaku. Mataku mula berpinar-pinar, dan suara yang aku dengar sedari tadi tiba-tiba sahaja tenggelam dan...

"Weh, ejoy jatuh aaa!"

Aku rebah tersungkur ke tanah tatkala larianku hanya tinggal kira-kira 15 meter sahaja lagi untuk ditamatkan. Secara tiba-tiba, lokasi tersebut dikerumuni oleh sekumpulan manusia yang pada awalnya langsung tidak berminat kepada larian kategori 'atlit picisan' seperti kami. Namun, rebahnya aku tidak bererti aku pitam sepenuhnya, kerana aku masih mampu untuk bergerak, bangun dan terus merangkak.

"Cepat bangun! Sikit lagi ni.. cepat! cepat!" laung cikgu Wahab, yang akhirnya disahut oleh warga Edwardian yang lain.

Sungguh bergemuruh sehinggakan aku merasa diriku seperti diangkat satu kuasa yang tidak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata. Aku masih mampu untuk menegakkan diri dan meneruskan larian yang hanya tinggal 15 meter sahaja lagi. Aku berlari seperti seorang anak kecil yang dikejar oleh sekumpulan samseng jalanan, atau sekumpulan along, sedia untuk dilanyak dan dibelasah. Aku masih mampu meneruskan larian meskipun aku tampak longlai dan kurang meyakinkan. Dan ketika aku hampir mencecah garisan penamat...

"Laaaa.. jatuh lagi! Hang ni.. lekaiihhh (cepat) bangun, masa tak banyak lagi ni..!" teriak cikgu Noriah, guru penasihat rumah Watson yang sudah mula bersuara.

Aku dapat perhatikan beberapa orang rakan yang bukan daripada kalangan rumah Watson mula mengerumuni pinggir trek dan tidak putus-putus bersorak memberikan sokongan dan kata-kata semangat. Ternyata mereka bersungguh-sungguh memberikan semangat, meskipun mereka tahu aku mewakili rumah sukan yang berbeza. Ternyata ini bukanlah sebuah mimpi yang penuh dengan hilai tawa, meskipun keadaan sekeliling sungguh hingar. Ternyata ini bukan sebuah permainan drama semata-mata. Ini babak serius. Mereka bersungguh mahu aku menghabiskan larian ini. Mereka serius untuk aku menyentuh garisan penamat itu!

Aku tidak becus lagi untuk bangun dan berlari. Maka aku cuba menghabiskan larian itu seperti seorang anak kecil yang masih belum mampu untuk berjalan - merangkak, merangkak, dan terus merangkak.

Sukar dipercayai, namun itulah kenyataannya. Sehingga kini, pengalaman merangkak untuk menghabiskan larian sering membuatkan aku tertawa kecil seorang diri. Dan hampir setiap kali selepas berjoging, pasti peristiwa silam ini datang bertandang ke mindaku, mungkin sekadar ingin mengucapkan salam.

Tahun ini, genaplah 10 tahun peristiwa itu berlalu. Walaupun aku bukanlah pemenang dalam acara tersebut, namun 'kemenangan' ku itu disambut dengan sorakan yang kuat bergemuruh, bagaikan seorang hero. Ya, aku mampu memberikan satu mata itu kepada rumah Watson, walaupun aku bukan seorang pelari sekolah. Benar, aku bukan seorang atlit.



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 24, 2010

Kecilkan paha dalam masa sebulan?

Aku rasa, ini merupakan antara soalan yang popular ditanya kepada aku oleh gadis-gadis diluar sana (lelaki jarang ada masalah ini):

"En. Susu, macam mana saya nak kecik kan sikit paha saya ini, badan saya dah ok, BMI dalam range idle, tapi paha ni... =("

Sebelum aku menjawab soalan ini, ingin aku tekankan yang kita TIDAK BOLEH menumpukan/fokus untuk buang lemak pada bahagian-bahagian tertentu badan, seperti dalam kes soalan tadi (dalam english dipanggil spot reduced), kecuali dengan menggunakan teknik liposuction yang ternyata menyakitkan, mahal, dan membahayakan kesihatan.

Tuhan telah menjadikan dunia ini adil - kalau turun berat badan, bererti turun semua, dan kalau naik berat badan, naik semua. Tiada istilah 'turun lebih lemak kat perut dan yang lain mantain'; dan kalau betullah ada spesifik teknik atau senaman yang boleh dipraktikkan untuk spot reduced, maka sudah pasti kita dapat melihat ramai jejaka diluar sana yang berbadan tegap tanpa perut menbonjol (boroi).

Namun, sesetengah individu mempunyai keistimewaan untuk spot reduced lemak pada sesuatu kawasan otot utama (otot dominan badan yang bekerja lebih seperti kaki, tangan). Selain daripada faktor genetik dan hormon, langkah-langkah berikut boleh diamalkan untuk spot reduced lemak berhampiran kawasan otot utama (seperti otot paha). Ikuti 4 langkah mudah untuk 'mengecilkan paha' ini dan InsyaAllah anda pasti dapat melihat hasilnya dalam masa sebulan.


1 - Wujudkan defisit kalori
Kekerapan: Setiap hari
Anda sudah bosan mendengar aku menyebut perkataan 'Kalori'? Tetapi itulah hakikatnya. Kurangkan pengambilan kalori harian dalam 500kcal daripada yang sepatutnya (DCR). Ambil jumlah protein yang mencukupi untuk membantu mengekalkan otot peha (dan otot bahagian badan yang lain) ketika proses penurunan berat badan. Berapa jumlahnya? 2g per Kg berat badan sudah mencukupi (sebagai contoh, mereka yang mempunyai berat badan 70kg harus mengambil 140g protein, yakni kira-kira 5 ketul ayam bahagian dada. Namun anda boleh pelbagaikan sumber protein).

2 - Senaman fokus pada paha
Kekerapan: 3 kali seminggu
Fokus pada senaman yang melibatkan otot quadriceps (peha depan) dan hamstrings (peha belakang). Antara 2 contoh senaman yang boleh dilakukan ialah 'Lunges' dan 'Squat'. Bagaimana nak melakukannya? Boleh search di laman Youtube dan taip kata kunci 'Lunges exercise' atau 'Squat exercise'. 'Lunges' boleh dilakukan dengan dumbell, atau tanpa dumbell. Aku cadangkan buat dalam 3 set untuk setiap senaman, dan satu set senaman mempunyai 10 ulangan. Jika anda mahukan lebih penjelasan, atau inginkan cadangan senaman yang lain, sila kemukakannya di ruangan komen.


3 - Senaman kekuatan dahulu, baru cardio
Kekerapan: 3 kali seminggu
Lakukan senaman di atas sebelum memulakan kardio (jogging). Ini untuk memastikan anda sudah menggunakan sehabis mungkin 'muscle glycogen' dan 'liver glycogen' menerusi senaman-senaman tersebut. Dan apabila anda memulakan jogging, badan mungkin sudah kehabisan sumber-sumber tenaga tadi, lalu menggunakan sumber tenaga alternatif yang terakhir iaitu lemak. Ingin mengetahui teknik kardio yang tepat untuk tip ini, sila baca Kardio - Katalis kepada 'Fat Burn'.

4 - Rehat
Harus diselang-selikan dengan senaman/kardio di atas. (Isnin senaman/kardio, Selasa rehat, Rabu kembali kepada senaman/kardio, dan begitulah seterusnya). Rehat penting untuk membolehkan badan, terutamanya tisu-tisu otot bahagian kaki untuk 'dibaiki'. Otot paha yang kuat akan membakar lebih lemak-lemak disekelilingnya ketika bekerja. Namun, aku tidak nafikan, anda akan kehilangan 'sedikit' otot paha yang berharga ketika fasa weight loss ini, atau sekurang-kurangnya mengekang kehilangan otot tersebut. Diet dan rehat yang mencukupi sangat mempengaruhi jumlah otot yang terurai dan hilang bersama-sama lemak.

Jangan lupa, ambil gambar peha anda dengan iPhone 4, tak main la 3GS sebelum dan selepas sebulan mengamalkan tip-tip ini. Buat mereka yang bertanya aku soalan ini sebelum ini, semoga kalian berjaya. Good Luck!

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 23, 2010

"Tolong! Apa yang patut saya makan?"

Soalan seperti ini sering disoal mereka yang prihatin untuk menurunkan atau menaikkan berat badan, meskipun mereka sudah mengetahui bahawa perubahan berat badan itu bergantung kepada perubahan 'jumlah kalori yang diambil' dalam sehari. Menerusi entri ini, aku akan menjawab soalan 'keramat' ini yang diolah berdasarkan pengalaman diet aku sendiri.

Aku menganggap ia pastinya 95% berkesan kepada semua individu kerana asas di sebalik cara pemakanan ini adalah fundamental. Cara pemakanan ini juga boleh dipraktikkan oleh sesiapapun tanpa mengira matlamat, sama ada untuk naik, turun, atau kekalkan berat badan secara sihat. Yang membezakannya hanya satu, iaitu jumlah KALORI yang diambil.

Terlebih dahulu, antara istilah yang perlu diketahui ialah:

Biological Value of protein
: Semakin tinggi nilai BV sesebuah sumber protein, maka semakin cepat ia diserap (dipakai) kedalam tubuh badan.
Karbohidrat Ringkas: Karbohidrat yang CEPAT ditukar kepada glycogen untuk kegunaan segera.
Karbohidrat Kompleks: Karbohidrat yang LAMBAT dicernakan oleh badan, namun pada kadar yang konsisten.
'Strategi' (peratusan) adalah berdasarkan anggaran peratusan kalori daripada makronutrien yang dinyatakan, spesifik untuk hidangan tersebut.


Sarapan Pagi (6 - 8 pagi)
Strategi: 60% Karbohidrat, 25% Protein
Huraian: Utamakan Karbohidrat Ringkas (simple carbohydrate) seperti buah-buahan, kismis, kurma, dan segala macam lagi benda yang manis, kerana badan perlu 'mengisi' kembali paras glycogen yang menjadi rendah tatkala tempoh tidur yang panjang. Protein adalah keutamaan kedua, dan boleh didapati daripada segelas susu rendah lemak atau skim.

Alas Perut (9 - 11 tengahari)
Strategi: 45% Karbohidrat, 40% Protein
Huraian: Badan memerlukan sumber protein untuk memperbaiki tisu-tisu otot (terutama buat mereka yang sedang berusaha untuk menambahkan berat badan). Utamakan sumber protein yang mempunyai nilai Biological Value yang tinggi seperti whey protein isolate, whey protein concentrate (supplement), dan telur rebus. Utamakan juga karbohidrat kompleks seperti roti gandum penuh (whole-grain) dan oat. Ini akan memastikan anda 'berasa kenyang' sebelum makan tengahari, sekaligus mengelak makan tengahari secara berlebihan (nafsu).

Makan Tengahari (12 - 2 petang)
Strategi: 45% Karbohidrat, 30% Protein
Huraian: Bahagikan pinggan anda kepada 2 bahagian. 1/2 daripadanya harus terdiri daripada sumber karbohidrat. Jika memilih nasi sebagai sumber karbohidrat, makan 1 hingga 3 genggam nasi (bergantung kepada strategi untuk turun berat, naik berat, atau mantain berat badan). Manakala 1/2 bahagian lagi terdiri daripada sayur-sayuran dan sumber protein. Elakkan makanan bergoreng sehabis boleh (jika ada pilihan lain), dan minimakan pengambilan kuah yang berminyak. Minum air kosong dan bukannya minuman manis.

Snek Petang (3 - 5 petang)
Strategi: 45% Karbohidrat, 40% Protein (kurang 10% jika ambil 'kekacang campuran')
Huraian: Sama seperti alas perut. Cuma buat mereka yang ingin menaikkan berat badan, inilah waktu yang paling sesuai untuk anda makan 'kekacang campuran' yang kaya dengan lemak semulajadi sihat seperti kacang tanah, almond, macadamia dan gajus (semua kacang ini berkalori tinggi).

Makan Malam (6 - 9 malam)
Strategi: 45% Karbohidrat, 30% Protein
Huraian: Sama seperti makan tengahari.

Supper (10 - 12 tengah malam)
Strategi: 45% Karbohidrat, 40% Protein
Huraian: Badan memerlukan lebih sumber protein supaya tisu-tisu otot dapat dibaiki dan dibina ketika tidur. Namun, bukan sebarangan sumber protein yang boleh diambil. Ambil protein yang mempunyai biological value yang rendah seperti Casein protein (supplement), soy protein, susu rendah lemak/skim atau sumber-sumber kekacang rendah lemak/kalori seperti kacang kuda (roasted gram), kacang soya, dan kacang dhal rebus. Untuk karbohidrat pula, fokus kepada karbohidrat kompleks seperti roti gandum penuh atau oat, bersesuaian dengan badan yang hanya 'bekerja perlahan' ketika kita tidur.

Produk whey protein yang aku sedang guna

Info Tambahan:

1 - Untuk memastikan anda berada pada landasan yang betul, kira kalori yang anda perlukan setiap hari (DCR), ubahkan DCR ini mengikut matlamat berat masing-masing, kemudian agih sama rata kepada 6 hidangan (5 hidangan pun boleh).

2 - Perhatikan bahawa, peratusan karbohidrat dan protein adalah lebih kurang sama untuk 'Alas Perut', 'Snek Petang', dan 'Supper'. Ini yang dikenali sebagai 'Balanced-light Snacks'.

3 - Meskipun lemak merupakan mikronutrien yang penting, ia tidak dibincangkan (fokus) dengan lanjut di sini memandangkan lemak itu 'wujud di mana-mana', dan pastinya tidak perlu risau. Kurangnya lemak dalam sesebuah diet bukan merupakan sebuah ISU, malah ia tidak pernah berlaku.

4 - Terdapat SEDIKIT modifikasi yang perlu dilakukan jika ingin mempraktikkan strategi pemakanan di atas tatkala hari bersukan (cardio atau weight training), dan itu akan aku ceritakan dalam entri-entri yang akan datang.

5 - Secara keseluruhan, cara pemakanan ini akan membawa anda kepada nisbah agihan kalori seperti berikut: 50% Karbohidrat, 35% Protein, dan 15% Lemak (atau disebut sebagai 50:35:15).

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 22, 2010

Kisah Metabolisma (Bahagian 3)

Entri kali ini merupakan lanjutan kepada perbincangan berkenaan topik metabolisma yang pernah aku huraikan dulu (rujuk bahagian 1 dan bahagian 2). Dan selepas difikir-fikir kembali, tidak adil rasanya jika aku hanya fokus kepada faktor-faktor yang boleh meningkatkan metabolisma. Mungkin kita juga perlu mengetahui beberapa faktor yang berupaya merendahkan kadar metabolisma.

Selain faktor-faktor intrinsik yang terdapat dalam rumus Basal Metabolic Rate (BMR) seperti peningkatan umur, berat yang semakin menurun, ketinggian, dan jantina, terdapat juga faktor-faktor ekstrisik (luaran) yang harus kita ketahui, supaya kita boleh menilai sendiri kelak sama ada metabolisma kita sedang mengalami kejatuhan atau sebaliknya. Berikut Susu Sejat senaraikan 10 perkara yang mampu merendahkan kadar metabolisma:


1 - Elak mengambil hidangan (Skipping meals)

Ramai yang salah anggap, mengelak hidangan seperti makan malam (kes yang selalu kita dengar) dapat membantu menurunkan berat badan. Benar, berat badan akan turun kerana menolak makan malam akan menyebabkan pengambilan kalori menjadi lebih rendah daripada sepatutnya. Tetapi ingatlah, kesan ini hanyalah sementara, 2-3 hari sahaja.

Apakah yang berlaku sebenarnya? Apabila kita sering mengelak hidangan, badan akan mendapat signal untuk bertindakbalas kepada kurangnya jumlah kalori yang diambil, dalam erti kata lain badan cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lapar (starvation mode). Menerusi proses penyesuaian ini, badan bukan sahaja menyimpan (conserve) tenaga, malah akan 'mengarahkan' semua fungsi penting badan supaya 'bekerja lebih perlahan' daripada sebelumnya selari dengan jumlah kalori yang diperolehi (rendah), sekaligus merendahkan kadar metabolisma. Bayangkan badan kita adalah sebuah laptop, manakala kalori yang dibekalkan itu adalah tenaga daripada bateri (tanpa adapter). Perhatikan apa yang akan berlaku jika bateri laptop semakin berkurangan? Apa yang akan terjadi kepada monitor laptop tu? Semakin cerahkah?


2 - Budaya makan 3 kali sehari

Aku namakan ini 'budaya makan' sebab sudah menjadi lumrah, dalam kesibukan bekerja, kita mungkin sempat makan 3 kali sahaja sehari, iaitu Sarapan pagi, Makan Tengahari, dan Makan Malam. Aku tidak salahkan sesiapa, malah aku sendiri juga kini sedang berusaha kuat untuk makan 5 kali sehari (faktor sibuk). Makan 3 kali sehari akan merendahkan 'sedikit' kadar metabolisma, tambah-tambah jika benda yang kita makan itu adalah karbohidrat ber G.I tinggi (Glycemix Index) seperti nasi putih biasa. Seperti juga situasi yang pertama, memanjangkan waktu di antara dua hidangan memaksa badan kita bertukar kepada 'starvation mode' (berlapar).


3 - Berpuasa

Berpuasa juga mempunyai kesan yang hampir sama seperti di atas. Yang bezanya, kesan berpuasa cuma sementara. Badan akan mengambil masa beberapa ketika untuk 'memahami' situasi puasa itu sendiri. Metabolisma badan mungkin akan jatuh sedikit berbanding biasa untuk minggu yang pertama, namun selepas itu kadar metabolisma akan menjadi kekal (walaupun lebih rendah berbanding sebelum berpuasa, namun selepas seminggu berpuasa, metabolisma kita tidak akan terus jatuh). Ingatlah bahawa badan kita merupakan sebuah 'mesin yang fleksibel'.


4 - Peratusan lemak badan tinggi (gemuk)

Gula adalah karbohidrat yang paling mudah untuk ditukar kepada glycogen, dan disimpan 'sementara' di dalam sel-sel otot sebelum digunakan. Namun, glycogen yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak, dan ini merupakan punca utama kegemukan rakyat Malaysia. Sel lemak berguna kepada kita, namun pada kuantiti yang kecil. Seseorang atlet bina badan boleh mencapai 3% lemak badan (body fat), dan itu merupakan jumlah yang paling minimum dibenarkan. Mustahil untuk mendapat 0% lemak badan kerana selaku benda hidup, kita masih memerlukan lemak. Secara purata, rakyat Malaysia berbadan idle mempunyai 20% lemak badan, manakala yang obese pula mempunyai lebih 36% lemak badan.

Apa kaitannya lemak badan dengan metabolisma? 1kg lemak menggunakan kurang kalori berbanding 1kg otot, dan menggunakan kurang kalori berbanding yang sepatutnya bererti kadar metabolisma adalah rendah. Mereka yang mempunyai peratusan lemak badan yang tinggi mempunyai kadar metabolisma yang rendah berbanding mereka yang mempunyai peratusan lemak badan yang rendah, walaupun kedua-duanya mempunyai berat dan ketinggian yang hampir sama.

5% Body Fat


5 - Mengikut gaya sang pemalas

Berjalan ke pasar dengan perlahan lenggang-lenggang kangkung, menyuruh si adik kecil mengambil segelas air didapur (walaupun diri sendiri mampu melakukannya), lebih banyak duduk berehat berbanding berjalan dan berdiri; semua aktiviti ini merendahkan kadar metabolisma.


6 - Pakaian 'pemanas badan'

Tips ini merujuk kepada mereka yang menetap/berkunjung ke kawasan-kawasan yang dingin. Apabila berada di kawasan yang dingin, hormon Thyroid, regulator kepada basal metabolic rate, akan meningkat (BMR meningkat, metabolisma juga meningkat), bertujuan untuk menyesuaikan suhu tubuh badan dengan persekitaran yang dingin. Memakai 'pakaian panas' akan mengurangkan lagi jumlah tenaga yang terbebas (dari badan kita) dalam bentuk suhu ke persekitaran, sekaligus merendahkan sedikit kadar metabolisma.


7 - Pengambilan kalori yang terlalu rendah

Situasi ini juga mempunyai kesan yang sama seperti situasi (1). Jika ingin turun berat badan, tolak 500-600kcal daripada yang sepatutnya sudah mencukupi, lebih daripada tu, NO. Disamping kekurangan sumber bahan bakar, badan akan kekurangan nutrien yang sepatutnya boleh didapati daripada sumber yang pelbagai (ikan, sayur-sayuran, buah-buahan). Pengambilan kalori yang terlalu rendah akan mengehadkan semua ini. Kesan ketaranya, badan akan menjadi lemah lesu, kesan antibodi dan daya-tahan tubuh badan menjadi lemah, sehinggakan untuk pulih sepenuhnya daripada selesema pun memakan masa sehingga sebulan lebih. Semua ini merujuk kepada 'rendah kadar metabolisma'.


8 - Elak minuman sejuk

Dalam tips meningkatkan kadar metabolisma, aku ada menyentuh tentang air sejuk. Kononnya, badan akan menggunakan lebih kalori untuk menyesuaikan (menyuamkan) air sejuk yang diminum, kepada suhu badan. Oleh yang demikian, secara logiknya, mengelak minum air sejuk akan merendahkan metabolisma, bukankah begitu?


9 - Elak makanan pedas dan berempah

Terdapat kajian yang menunjukkan rempah ratus seperti cili, lada, serbuk kunyit, kari, dan jintan mampu meningkatkan kadar metabolisma seseorang. Dengan mengelak makanan yang pedas dan berempah, metabolisma kita mungkin menjadi rendah.


10 - Kurang bersenam

Percaya atau tidak, kekuatan fizikal sebenar manusia terletak pada jantungnya, dan bukan terletak kepada sejauh mana besarnya otot badan. Jantung yang sihat merupakan jantung yang boleh bekerja dengan effisien tanpa sebarang gangguan. Daripada jantung jugalah darah dapat dialirkan keseluruh badan, supaya otot-otot dan organ-organ dapat menjalankan fungsi yang sepatutnya. Dalam erti kata lain, jantung adalah enjin kita, jantung adalah penentu sejauh mana badan kita lancar berfungsi, dan semua fenomena ini berkait rapat dengan istilah Metabolisma - sehebat mana badan kita bekerja. Anggap sahaja senaman merupakan salah satu cara untuk kita servis enjin, yakni jantung kita. Cuba fikirkan, apa yang akan terjadi jika enjin kereta jarang diservis? Bagaimana dengan performance kereta tersebut?

Di samping itu, senaman yang fokus kepada otot-otot (senaman pemberat atau weight training) juga mampu menggalakkan pertumbuhan otot (jika kena pada dietnya). Jika kita jarang bersenam, badan kita bukan sahaja 'kurang' otot, malah lemak-lemak juga semakin berkumpul, dan 1kg lemak menggunakan kurang kalori berbanding 1kg otot (rendah kadar metabolisma).

Buat mereka yang ingin menurunkan berat badan, SILA ELAKKAN perkara-perkara di atas, dan ikut tips untuk meningkatkan Metabolisma. Buat mereka yang ingin menaikkan berat badan, tips di atas mungkin membantu, namun aku tidak berapa galakkan; sila ikut tips yang aku bekalkan di ruangan 'Weight Gain' pada menu sebelah kanan blog ini. Ingatlah, kalau nak naikkan berat badan tu, biarlah secara berhemah dan sihat.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 21, 2010

Kisah si kurus

Kita sering mendengar orang kita merungut kerana obesiti, terlebih berat badan, atau dalam istilah popularnya 'gemuk sangat-sangat'. Tetapi pernahkah kita mendengar orang kita merungut kerana badan yang terlalu kurus? Aku yakin ramai dikalangan kita yang jarang mendengar akan orang Malaysia yang merungut kerana terlalu kurus, kerana negara kita ni kaya dengan makanan yang 'sihat-sihat'. Kalau di Afrika, mungkin selalulah kita nampak, ye tak?

Namun, definisi 'terlalu kurus' aku di sini ialah, jika angka BMI individu tersebut terletak di bawah 18. Buat mereka yang mempunyai julat BMI di antara 18 hingga 22, jangan nak memandai-mandai claim yang korang tu terlalu kurus ye, sebab terlalu kurus sangat pun sebenarnya tak elok (orang putih panggil too skinny).

Jangan sesekali kita ingat hanya mereka yang gemuk sahaja cenderung untuk berhadapan dengan penyakit berbahaya. Malah, individu yang memiliki badan terlalu kurus juga berhadapan dengan risiko yang lebih kurang sama kesannya, cuma dalam versi yang lain.

Berikut Susu Sejat senaraikan beberapa penyakit yang berisiko tinggi untuk dihidapi mereka yang terlalu kurus.

1 - Osteoporosis
Kesihatan tulang akan terjejas jika terlalu kurus. Diet yang kurang nutrien, lebih-lebih lagi kalsium, akan mengakibatkan tulang menjadi kurang sihat, sekaligus rapuh.

2 - Masalah Kesuburan
Wanita yang terlalu kurus cenderung mengalami masalah berkaitan kesuburan (menstrual), sekaligus membawa kepada masalah haid yang tidak teratur dan sukar untuk hamil. Teringat aku sebuah filem kantonis Hong Kong, babak apabila si ibu berusaha memilih menantu untuk anak lelaki kesayangan mereka, salah satu kriteria mereka ialah mencari gadis-gadis yang sedikit 'berisi' kerana yang berisi tu 'subur-subur', Hehehe..

3 - Kurang Daya Tahan
Lemahnya sistem imun tubuh badan adalah disebabkan individu tersebut tidak berupaya untuk melawan virus dan antigen. Keadaan ini menyebabkan individu terbabit sering dijangkiti penyakit dan sukar untuk pulih dengan cepat daripada sakit.

4 - Lesu
Mereka yang terlalu kurus mungkin memanjang kelihatan lemah lesu, pucat dan sering kesejukan, kerana kurangnya isipadu otot yang bekerja untuk membakar kalori.

5 - Keguguran rambut
Individu yang terlalu kurus sering mengalami masalah psikologi (stres) yang menyebabkan mereka kekurangan apa yang diperlukan untuk pertumbuhan rambut, disamping hilangnya keupayaan dalam mengawal suhu tubuh. Situasi keguguran rambut ini sering dilihat di kalangan pengidap aneroksia.

Tiga cara mudah untuk mengatasi masalah terlalu kurus secara sihat ialah ambil lebih kalori dari yang sepatutnya, buat senaman pemberat 3 kali seminggu, dan rehat. 3 komponen ini harus dipatuhi untuk menambahkan lagi berat badan secara sihat. Suplementasi seperti 'weight gainers' mungkin membantu, tetapi itu memerlukan wang.

Rujuk entri '10 Tips of How To Gain Weight For Dummies' dan 'It's my one-day food log' (English) untuk lebih tips mengenai Naik berat badan. Rujuk juga ruangan 'Weight Gain' pada menu sebelah kanan untuk lebih tips.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 20, 2010

Fiber si 'Zero' Kcal

Beberapa hari yang lalu, aku ada menceritakan betapa pentingnya kita untuk makan buah, disamping pandai memilih buah bersesuaian dengan diet dan matlamat 'berat' kita. Boleh rujuk di sini jika ada sesiapa yang terlepas dan berminat untuk membacanya.

Sebelum aku bercerita lebih lanjut, tahukah kalian mengapa makanan tinggi fiber seperti buah-buahan dan sayur-sayuran rendah nilai kalorinya (kalori per gram)?

Fiber (serabut/serat) boleh didapati dengan banyak dalam buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin (grains). Fiber tidak dicernakan oleh badan, maka ia boleh melalui sistem pencernaan dengan mudah dan pantas, melewati saluran usus sekaligus membantu untuk memindahkan sisa kumuhan dari tubuh dengan lancar.

Oleh kerana fiber tidak dicernakan oleh badan, maka fiber TIDAK akan menyumbang kepada nilai kalori buah-buahan/sayuran/bijirin yang kita makan, walaupun ia merupakan sejenis karbohidrat. Ini kerana badan kita tidak mempunyai enzim yang mampu untuk mencernakan fiber sebagai sumber tenaga. Pendek kata, fiber tidak menyumbang apa-apa tenaga, tidak menyumbang apa-apa kalori kepada tubuh kita, dan lebih penting TIDAK menggemukkan.


Fiber adalah komponen penting dalam proses penurunan berat badan. Disamping mengurangkan 'nafsu' makan, ia memberi kita rasa 'kenyang' dengan melambatkan transit makanan dalam sistem pencernaan kita. Makanan berserat juga memerlukan 'usaha' mengunyah yang lebih, membuatkan kita menikmati makanan lebih lama dari biasa, sekaligus mengelakkan makan secara berlebihan.

Secara teknikal, mereka yang mengambil KURANG FIBER dalam diet mereka mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk naik berat badan berbanding mereka yang mengambil LEBIH FIBER dalam diet mereka. Kenapa Susu Sejat berkata sedemikian? Katakan DCR Diana ialah 2000 kalori sehari, dengan tambahan serat dalam diet Diana, beliau mungkin hanya ambil 1,700 'kalori sebenar' dalam sehari (jimat 300kcal kerana kalori dari fiber tidak dikira, 'zero'). 300 kalori ini jika diterjemahkan akan menjadi kehilangan berat sebanyak 28 pound, iaitu kira-kira 14kg, jika diamalkan selama setahun!

Oleh yang demikian, aku mencadangkan mereka yang berusaha untuk turun berat badan ni agar jangan sesekali untuk mengabaikan fiber dalam diet mereka. Cuba untuk menikmati sarapan yang tinggi fiber seperti Oatmeal (bijirin oat), roti gandum penuh dan buah-buahan campuran kerana makanan seperti ini akan membuatkan kalian kenyang sehingga waktu tengahari, disamping rendah kalori.

Berusaha untuk makan sekurang-kurangnya 18g fiber sehari (rujuk sini untuk mengetahui kandungan fiber dalam buah-buahan tertentu). Walaubagaimanapun, pastikan anda minum lebih air ketika anda meningkatkan pengambilan fiber dalam diet secara drastik. Untuk permulaan, sesetengah individu akan berasa 'mual' sekiranya tidak biasa menikmati makanan berserat dengan banyak. Jangan khuatir kerana itu merupakan gejala biasa - lama-kelamaan, badan akan menyesuaikan diri juga dengan perubahan ini.

So, tunggu apa lagi geng? Jom makan lebih fiber untuk menjadi lebih sihat!

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 19, 2010

Tip 4: KFC pilihan hati?


Korang suka KFC? Aku sangat menyukai KFC, sebab di KFC aku boleh makan ayam, dan ayam itu adalah protein. Dan bagi aku, antara banyak-banyak fast food outlet kategori murah di Malaysia, KFC adalah antara restoran yang OK berbanding MacDonald, Pizza Hut, atau yang seangkatan dengannya, walaupun terletak sebagai pilihan kedua selepas Subway yang jauh lebih menyihatkan.

Namun menyukai KFC tidak bererti aku akan makan di sana setiap hari. Itu bukan diet yang seimbang. Aku cuma berkunjung ke KFC seminggu sekali, jika tidak bersama keluarga, bersama teman-teman (bukan teman wanita, kerana aku masih single).

Memandangkan aku masih belum jumpa mana-mana entri berkenaan 'makan di KFC dengan cara yang sihat' oleh mana-mana blogger di Malaysia, biarlah aku menjadi orang yang pertama melakukannya. Berikut aku rungkaikan rahsia, beberapa tips untuk mengubah diet di KFC daripada 'tidak sihat' kepada 'lebih sihat'.

1 - Pilih Bahagian Dada
Bahagian dada ayam adalah yang paling kurang lemak dan paling tinggi protein. Malah kalori per gramnya juga lebih rendah berbanding bahagian-bahagian yang lain. Bahagian yang paling tinggi lemak dan kalori? Thigh (aku tak pasti istilahnya dalam bahasa Melayu, tapi bahagian yang dekat-dekat bontot ayam tu, ada sesiapa nak bantu?).

2 - Buang kulit dan kerak tepung
Kulit dan kerak tepung mengandungi kandungan lemak/minyak yang sangat tinggi. Dan tinggi lemak itu bererti tinggi kalori. Seketul *betis ayam goreng berserta kulit/kerak tepung mengandungi 10g lemak (179kcal) - kandungan lemak bersamaan kira-kira satu sudu besar minyak masak, manakala seketul betis ayam goreng tanpa kulit/kerak tepung mengandungi 4g lemak (92kcal). Lihat, dengan sedikit 'modifikasi' sahaja dah boleh mengurangkan 87kcal!

3 - Pilih perisa 'spicy', bukannya 'original'
En. Susu Sejat, kenapa mesti spicy (sekarang dikenali sebagai Hot Black Pepper) dan bukannya original? Sebabnya mudah, makanan yang berempah ni boleh meningkatkan metabolism, dan tinggi metabolism bererti kita boleh 'membakar' kalori lebih pantas berbanding biasa, seterusnya membantu mereka yang 'terlebih berat' untuk turun berat badan dengan pantas.

4 - Minta air kosong (atau mineral)
Pepsi? Mirinda? 7 up? Tolak ketepi semua tu. Disamping harganya yang mahal (memandangkan ia adalah minuman 'gula' tanpa sebarang khasiat, maka RM1.80 per cup itu bagi Susu Sejat adalah mahal) minuman sebegini langsung tidak menyihatkan. Segelas Pepsi yang dijual di KFC hanya mengandungi kira-kira 7 sudu teh gula berserta beberapa mol gas karbonat dan sedikit perasa. Berbaloikah kita membayar RM1.80 hanya untuk 7 sudu teh gula, sedangkan sekampit gula 1kg gula cuma berharga RM1.60? Fikir-fikirkanlah..

5 - Hindari 'French Fries' atau 'Wedges'
Ambil sehelai tisu, lipat, dan picit sama ada sebatang wedges mahupun sebatang french fries di antara dua lipatan tadi. Sekarang anda faham maksud Susu Sejat? Sebatang dua adalah OKAY, tetapi kalau makanan sebegini, mampukah kita untuk makan hanya sebatang dua, sedangkan kita sudah membayar kira-kira RM3 untuk sehidangan wedges? Dipendekkan cerita, hindari terus makanan ni lebih elok, malah menjimatkan wang.

6 - Lapkan minyak yang berlebihan
Selepas membuang kulit ayam dan kerak tepung, korang mesti perasan akan kilaun-kilauan minyak pada permukaan isi ayam tersebut. Lapkan minyak-minyak tersebut dengan tisu yang telah dibekalkan oleh pelayan KFC. Korang boleh menyingkirkan beberapa puluh kalori jika mempraktikkan teknik ini.

Jadi, siapa cakap kalau nak kuruskan badan kita kena 'mengharamkan' KFC? Secara asasnya, tip-tip yang dinyatakan di atas adalah bertujuan untuk mengurangkan pengambilan kalori, terutamanya kalori dari minyak dan gula. Cubalah!

Oh ya, buat mereka yang ingin menaikkan berat badan, KFC is also a good weight gainer, along with proper weight training and of course, your daily calorie intake must slightly exceeds your DCR. It loads your nutrition with plenty amount of protein along with sufficient amount of fat (based on the tips given).

Untuk senarai maklumat pemakanan hidangan di KFC, sila rujuk di sini.

*Betis = Drumstick

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 18, 2010

Panduan menggunakan e-book "Food Calorie List" (Versi 1.0)

Terima kasih kepada saudari Puteri Maszam kerana mengajukan satu soalan berkenaan perkara yang aku terlupa sentuh sebelum ini. Soalan beliau berbunyi begini,

"mcm mana nk kira kcal kalau i mkn sebungkus nasi lemak dgn sebungkus mee rebos.."

Buat mereka yang sudah memiliki ebook "Food Calorie List", mungkin ebook ini bakal membuka lembaran baru dalam cara kalian mengawal pengambilan makanan, disamping dapat menikmati makanan-makanan tradisi seperti nasi lemak, roti canai, dan sebagainya. Namun, soalan cik Puteri Maszam tadi menunjukkan mungkin tak ramai yang pasti bagaimana untuk menentukan kalori dalam sesebuah makanan, jika portion (berat) makanan yang diambil itu berbeza daripada yang dinyatakan di ebook.

Sebagai contoh, dalam ebook tersebut dinyatakan kalori dalam 170g Mee Goreng Mamak ialah 281kcal. Mungkin untuk memudahkan kerja, ada sesetengah individu hanya timbang betul-betul 170g untuk dimakan dan selebihnya diletakkan ke tepi; ertinya tak perlu susah-susah buat pengiraan, kerana jumlah kalorinya pasti seperti yang dinyatakan di ebook, iaitu 281kcal. Tetapi bagaimana pula jika seseorang individu hendak makan sebungkus Mee Goreng Mamak yang beratnya ialah 300g?

Dalam matematik, perkara ini hanya melibatkan konsep 'Nisbah' (ratio):

Katakan Amirul membeli sebungkus mee goreng mamak yang beratnya ialah 315g (setelah ditimbang), berserta dengan sebiji telur mata (sunny side-up). Berapakah jumlah kalori yang terdapat dalam hidangan ini?

1 - Semak kalori Mee Goreng Mamak dalam ebook

170g mengandungi 281kcal (klik gambar untuk besarkan)

2 - Kira nilai kalori per gram

281kcal dibahagikan dengan 170g; 281/170 = 1.653kcal/g


3 - Darabkan nilai dalam (2) dengan jumlah mee goreng mamak yang hendak diambil, iaitu 315g

1.653 x 315 = 520.7kcal


4 - Semak pula kalori bagi sebiji telur mata (menggunakan ebook)

Sebiji telur goreng mata mengandungi 90kcal (klik gambar untuk besarkan)

5 - Akhir sekali, jumlahkan nilai dalam (3) dan (4) untuk mengetahui jumlah kalori yang bakal/telah diambil.

520.7kcal + 90kcal = 610.7kcal


Mudahkan pengiraannya? Apa yang anda perlukan dalam aktiviti ini ialah
(1) E-book "Food Calorie List" (disyorkan supaya print)
(2) Kertas dan pensel untuk mengira
(3) Kalkulator
(4) Penimbang
(5) "Food Log" anda sendiri, sebagai rekod nutrisi anda untuk memastikan anda memantau JUMLAH kalori yang diambil dalam sehari.

Kalau terasa pengiraan di atas menyusahkan, kalian ikut sahaja serving (sukatan hidangan) seperti yang dinyatakan dalam ebook. Pokoknya, semua terpulang kepada masing-masing. Selamat mencuba!

P/S: Teringat zaman sekolah menengah dahulu. Sebelum popularnya 'kalkulator saintifik', kita terpaksa bergantung kepada 'Buku Sifir' untuk menyelesaikan masalah-masalah matematik berkaitan sudut (sine, cosine) dan kebarangkalian. Analoginya, ebook "Food Calorie List" adalah 'Buku Sifir' kita. Sudahkah anda memilikinya?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 17, 2010

Tip 3: Buah yang mana pilihan hati? (Bahagian 2)

Pada entri yang lepas, aku sudah menceritakan mengenai jenis-jenis buah yang patut dihindari kerana kalorinya yang 'tersembunyi', dan jika diamati, semua jenis-jenis buah yang dinyatakan adalah tergolong dalam makanan yang telah diproses.

Azalinya, semua buah-buahan yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Namun, adakah kita benar-benar pasti kita telah mengambil buah-buahan yang tepat bersesuaian dengan perancangan diet kita? Adakah kalori semua buah-buahan itu sama? Kali ini, tiba pula giliran untuk aku menceritakan buah-buahan (nama) yang harus dimakan kerana kualitinya/kebaikannya, dan buah-buahan yang harus kita waspada, kerana kandungan kalorinya yang tinggi.

Yang patut dimakan...

1) Apricots – (3 apricots = 51kcal): Sumber beta-carotene, yang kemudiannya akan ditukar kepada vitamin A oleh tubuh badan.

2) Betik [papayas] – (1 cup, cube = 55kcal): Secawan betik mengandungi 86mg Vitamin C, 2.5g serabut, berserta sedikit beta-carotene dan calcium.

3) Blackberries – (1 cup = 74kcal): Secawan Blackberries mengandungi 10g serabut, merangkumi kira-kira 1/2 yang diperlukan dalam sehari! Makan 2 cawan Blackberries sehari dan sistem pelawasan anda pasti menjadi lancar.

4) Blueberries – (1 cup = 81kcal): Menyekat pertumbahan bakteria pada salur urine, sekaligus mencegah jangkitan bakteria pada ginjal.

5) Epal [apple] – (1 medium = 80kcal): Sebiji epal mengandungi 3g serabut (fiber), merangkumi kira-kira 1/6 yang diperlukan oleh kita dalam sehari. Diet tinggi serabut boleh mengurangkan risiko sakit jantung.

6) Kiwi – (1 medium = 46kcal): Sebiji buah kiwi mengandungi 74mg Vitamin C dan 2.8g serabut.

7) Mangga [mango] – (1 mango = 135kcal): Sebiji mangga sudah cukup untuk membekalkan anda beta-carotene (Vitamin A) disamping mengandungi 57mg Vitamin C.

8) Oren [orange] – (1 orange = 61kcal): Sebiji oren mengandungi tidak kurang daripada 50mg Vitamin C, 40mcg Folic Acid, dan 52mg Calcium.

9) Pear – (1 medium = 103kcal): Sebiji pear membekalkan 5.5g serabut, mewakili 1/4 yang diperlukan dalam sehari, disamping mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan memastikan kita 'hidrat' sepanjang hari.

10) Pisang [banana] – (1 medium = 105kcal): Sumber potassium yang terbaik, yang membantu fungsi kesihatan jantung dan otot. Aku sarankan pisang sebagai sumber karbohidrat yang bagus untuk diambil ketika awal pagi, sebelum dan selepas 'senaman pemberat' (dan bukannya selepas makan nasi, seperti yang biasa dibuat orang ketika lepak mamak).

11) Strawberries – (1 cup = 50kcal): Secawan strawberri mengandungi ellagic acid dan anthocyanins yang tinggi, disamping 95mg Vitamin C dan 3.8g serabut.

12) Tomato – (1 medium = 35kcal): Buah yang paling popular dikalangan mereka yang berdiet untuk turun berat badan di negara-negara barat. Mengandungi antioksidant yang membantu mencegah keletihan, kekejangan, hypertension, dan penuaan kulit. Mengandungi Vitamin A, C, beta-carotene, potassium, phosphorus, zat besi dan serabut.


...dan buah yang anda patut waspada..

1) Durian – 5 ulas durian bersamaan dengan 64kcal. Dan aku tahu, 10 ulas durian tu tidak mencukupi buat mereka yang 'hantu' durian.

2) Kurma – 5 biji sahaja sudah mengandungi sekurang-kurangnya 100kcal.

3) Pejibaye – juga dikenali sebagai "Calorie Fruit", adalah buah yang paling tinggi nilai kalorinya di dunia. Buah ini boleh didapati di benua Amerika Selatan, terutamanya di Peru. Secara purata, sebiji buah Pejibaye (saiz seperti jambu air) mempunyai kira-kira 1096kcal, iaitu kira-kira separuh daripada kuota Kalori kita untuk sehari!!

Buah yang tersenarai dalam senarai yang harus dimakan ini adalah berdasarkan pendapat aku sahaja. Hakikatnya, terdapat banyak lagi buah yang boleh dimakan, bergantung pada selera masing-masing. Dan pastikan anda ketahui jumlah kalori setiap buah-buahan sebelum makan, Ok?

****************************************************************
Setinggi penghargaan buat Fadhli Hamdan yang telah membuat design untuk banner susu sejat yang baru.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 16, 2010

Tip 3: Buah yang mana pilihan hati? (Bahagian 1)

Aku sering menasihati mereka yang cuba untuk menurunkan atau menaikkan berat badan, agar menjadikan buah-buahan tersebut sebagai ‘rakan karib’ mereka tatkala perut mula berasa lapar (waktu snek). Tiada definisi sahih yang menunjukkan, buah ini tidak patut dimakan jika ingin menurunkan berat badan, dan buah ini harus dimakan untuk menurunkan berat badan. Tiada. Naik berat badan atau turunnya berat badan, semua bergantung kepada jumlah kalori yang diambil dalam sehari. Sila rujuk kepada ruangan ‘Kelas Kalori’ di atas untuk mempelajari lebih lanjut akan hal ini.

Berbalik kepada tajuk perbincangan kita sebentar tadi, iaitu buah. Kenapa aku sarankan buah-buahan ini dijadikan sebagai rakan karib? (kawan makan kawan?) Pertama, buah-buahan kaya dengan vitamins, minerals, dan phytochemicals yang membantu melancarkan lagi sistem biokimia di dalam tubuh badan. Kedua, buah-buahan merupakan sumber serabut (fibre) yang baik, membantu dalam melancarkan lagi proses pelawasan ketika membuang air besar. Tahukah anda bahawa kita memerlukan sekurang-kurangnya 18g serabut sehari untuk memastikan sistem pelawasan kita sentiasa berada pada tahap lancar?

Di sebalik kebaikan buah-buahan, ramai yang masih keliru dalam memilih jenis buah-buahan yang patut diambil dalam diet seharian. Berikut aku senaraikan dahulu ‘kategori’ buah-buahan yang patut dielakkan.

1 - Buah-buahan dalam Tin

Buah-buahan dalam tin memang dicipta untuk memudahkan kita dalam menyediakan hidangan (tak perlu bersusah-payah untuk mengupas buah-buahan dan sebagainya). Walaubagaimanapun, buah-buahan dalam tin ini sentiasa tidak wujud berseorangan. Sirap (gula) merupakan teman karib sepanjang ‘mereka’ terperangkap di dalam tin tersebut. Ini bermaksud, kalori buah-buahan tersebut menjadi lebih tinggi berbanding asal. Pernah rasa buah laici yang segar dikupas? Cuba bandingkan dengan buah laici yang ditinkan.

Kalau buah-buahan tersebut memang susah untuk dijumpai dan hanya terdapat dalam produk tin, dan andaikata anda benar-benar kepingin untuk menikmatinya, sila pastikan buang segala sirap yang ada, dan basuh semula buah-buahan tersebut dengan air masak.


2 - Buah-buahan jeruk

Kategori buah-buahan jenis ini adalah sama seperti kategori ‘buah-buahan dalam tin’ sebentar tadi. Cuma kali ini, ia telah ditambah dengan beberapa bahan kimia, termasuklah cuka (acetic acid).


3 - Buah-buahan kering

Secara matematiknya, 100g buah-buahan kering ini adalah lebih tinggi kalorinya berbanding 100g buah-buahan segar. Ini kerana, apabila buah-buahan dikeringkan, kandungan kepekatan gula dalam buah akan menjadi tinggi berbanding saiz.

Sudah menjadi lumrah, masyarakat kita kurang prihatin dalam meniliti jumlah makanan yang diambil, makan dan terus makan selagi perut boleh diisi. Malah ada yang mengganggap kalori bagi segenggam raisins (kismis dalam kotak) itu adalah lebih rendah berbanding sebiji epal! Sebiji buah kurma kering sahaja mengandungi kira-kira 25kcal, kalau 4 biji, dah 100kcal. Pokoknya di sini, ketahui berapa banyak kalori yang anda ambil, dan jangan sama sekali tertipu dengan saiz!


4 - Buah-buahan ‘Jus’

Jus buah-buahan seperti ‘Tropicana Twister: Dengan pulp buah-buahan asli’ mungkin kaya dengan Vitamin C, namun ketahuilah juga bahawa produk sebegini SUNGGUH diperkayakan dengan gula. Jika terasa hendak minum jus, jangan pergi ke Tesco mahupun Giant, sebaliknya, pergilah ke dapur dan sediakan sendiri minuman jus anda daripada buah-buahan segar. Gula? Tak perlu. Kandungan gula dalam buah-buahan tersebut sudah cukup untuk membekalkan anda tenaga bekerja untuk tempoh beberapa jam.


5 - Buah-buahan yang menyihatkan: pilih jangan tak pilih.

Sampai juga kita kepada isi yang paling penting, iaitu memilih buah-buahan yang tepat dan menyihatkan. Memanglah semua buah-buahan asli itu segar dan elok untuk dimakan, namun ketahuilah, ada segelintir buah-buahan juga yang harus kita waspada untuk memastikan kita menggunakan sebaik mungkin kuota kalori yang ada untuk ‘sumber yang berfaedah’. Apakah buah-buahan tersebut En. Ejoy? Dan apakah pula jenis-jenis buah-buahan yang HARUS dimakan? Semua itu, akan aku kupas dalam bahagian seterusnya. (Bersambung di entri ini)

P/S: Tajuk entri ni.... jangan fikir yang bukan-bukan ye.. hehe.


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 15, 2010

Oh, My Lung Capacity!

Some of us call it 'mengah', and some of us even call it 'pancit' or 'kaput'. So what are they actually? It's all related to fitness and fitness can be both 'natural' or 'developed'. Although physical fitness can be generally achieved through exercise, proper nutrition and enough rest, there is another component that is greatly associated with fitness - The Lung Capacity, which the one that I'm going to emphasize more in this very blog entry.

Lung volumes and lung capacities refer to the volume of air associated with different phases of the respiratory cycle. Lung volumes are directly measured while lung capacities are inferred from lung volumes. The average total lung capacity of an adult human male is about 6 litres of air, but only a small amount of this capacity is used during normal breathing. An average human breathes some 12-20 times per minute.

Think Lung Capacity as an engine's capacity of a car. Of course, Mazda or Mercedez Benz can 'perform' better than Kancil or Viva.

Few factors that affect Lung Capacity include height (taller person has higher lung capacity than shorter person), and the altitude of the place of where you live. A person who is born and lives at sea level will develop a slightly smaller lung capacity than a person who spends their life at a higher altitude.

You might ask, "Is it possible to increase my lung capacity? and if so, how?"

Other than doing cardiovascular orientated exercise atleast 3 times per week, I believe the following simple tips may guide you to increase your overall lung capacity.

1 - Do challenging cardiovascular activities
Adopt different cardio intensities in your training. Start slowly and work your way to more intense cardio (depending on your goal). Interval runs could help, seriously, but it has to be progressive.

2 - Train at higher altitudes
When someone from sea level goes to a higher elevation, they often develop altitude sickness since their lungs cannot process enough oxygen for their body's needs. Some athletes (runners) who are training prior to competition/marathon will train for certain period of time at higher altitudes in order to increase their lung capacity, because there is less pressure from the atmosphere. Once they come down to sea level, they will have a TEMPORARY larger overall lung capacity (later, the lung capacity will go back to it's original volume, adapted to the person's current atmosphere).

3 - Don't Smoke
Does this point make sense? Yes, it is.

Do you think you can follow these simple tricks? Oh, My Lung Capacity! (Looking forward to do some cardios this weekend after leaving them for almost a month. Haihh.. minggu kenduri la katakan..)

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 14, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 5)

Lagi berkenaan gaya pemakanan dan diet..

14 - Makan Malam

Tersurat: "Senah!! Awat la hang pi makan malam? Hang kata nak diet? Hang tau tak, makan selepas pukoi (pukul) 9 malam ni tak elok.. ni.. ni.. lemak-lemak celah ketiak, lengan, peghut (perut).. betui la hang ni ketegaq (degil), payah sungguh nak dengaq (dengar) kata.." celoteh Mak Ngah Gelap kepada anak buahnya.

Tersirat: Tiada kajian yang menunjukkan makan lewat malam boleh menyebabkan kegemukan, melainkan jika pengambilan kalori oleh individu tersebut melebihi dari apa yang sepatutnya. Sepanjang proses saya menurunkan berat badan, saya tak pernah mengabaikan makan malam ataupun supper. Malah, saya masih boleh turun berat sehingga 2 hingga 4kg sebulan walaupun saya mengamalkan supper sebelum tidur (saya berani bersumpah dengan kenyataan saya ini, berani kerana benar). Ingatlah, gemuk atau kurus, semuanya kerana KALORI, dan bukannya kerana waktu pengambilan makan atau sebagainya. Sila delete mitos ini dalam kamus pemikiran anda, ok?


15 - Lagi berkenaan Atkins diet

Tersurat: "Senaahhhh!!!! Oh my goat, oh my goat.. (pandai Mak Ngah speaking English?) Hang ni betoi (betul) la tak dengaq kata.. kalaulah hang anak aku, dah lama aku tibai (pukul) hang sungguh-sungguh. Hang kata Atkins Diet ni tak baguih, sapa cakap, sapa?? Susu Sejat? Yang hang pi percaya mamat kat Susu Sejat tu pasai apa.. dia apa tau? Dia bukan Doktor, dia bukan Nutritionist, ntah mamat tak ketahuan mana la hang percaya ni.. Atkins Diet ni baguih hang tau dak? Anak menakan (anak saudara) Mak Long Pia hang tu, dari besaq (besar) macam gajah sarkis teghuih (terus) jadi kiut (comel) macam Diana Amir. Tu la hang, ada internet tak mau search.." Mak Ngah Gelap berceloteh lagi kepada anak buahnya.

Tersirat: Garangnya Mak Ngah, sampai dengan Susu Sejat di'hentam'nya teruk-teruk. Ni mesti sebab Mitos Zaman Moden ke-13 yang saya karang 3 minggu lalu kan? Apa yang Mak Ngah cakap tu benar, memang saya bukan seorang Doktor ataupun seorang Nutritionist. Tapi saya masih orang Sains Mak Ngah, saya ada asas bidang Biologi yang kukuh. Dan saya juga rajin buat bacaan dan kajian saya sendiri. Mak Ngah jangan marah-marah dulu yea, dengar dulu apa yang saya nak cerita.

Atkins diet bukanlah perancangan makanan yang seimbang dan sihat. Saya ada terdengar, pengamal Atkins-diet ni boleh makan apa sahaja, tiada batasan kalori, asalkan tidak mengambil karbohidrat melebihi 20g sehari dalam diet mereka, sebagai contoh ayam goreng, telur rebus atau berbagai jenis lagi produk yang 'low carb'. Malah si pengamal juga mesti rajin membaca label maklumat pemakanan, namun hanya fokus kepada jumlah kandungan karbohidrat sahaja, dan bukannya nilai kalori.

Tanpa karbohidrat, dan hanya bersandarkan protein dan lemak semata-mata, kita mungkin akan makan terlalu banyak lemak dan kolestrol, dan kita kan dah tahu kesan jangka masa panjang lemak dan kolestrol ni. Tambahan, makanan berkarbohidrat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan gandum penuh ni mengandungi tinggi serabut (fibre), yang berfungsi untuk melancarkan proses membuang air besar. Selain itu, antara kesan-kesan lain Atkins diet ialah nauseous, lemah, dan keletihan tubuh badan, dek kerana kekurangan pelbagai jenis Vitamin yang selalunya terdapat di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Makan kurang 130g karbohidrat sehari, untuk jangka masa panjang, boleh membawa kepada penghasilan ketones (lemak separa pakai/cerna) didalam darah, sekali gus membawa kepada proses ketosis, yang boleh membawa kepada penghasilan uric acid yang tinggi oleh badan. Bahaya sangat ke Uric acid ni? Kalau Mak Ngah nak tahu, itulah antara penyebab penyakit-penyakit seperti gout (sakit sendi) dan batu karang. Untuk mengetahui SEBAB MUDAH mengapa Atkins diet berhasil dalam menurunkan berat badan dalam jangka masa yang singkat, sila rujuk entri ini.


16 - Low-calorie diet

Tersurat: "Ni Senah, hang baca ni.. baca! Depa (mereka) dok kata kira-kira Kalori ni baguih.. sapa cakap baguih? Tengok apa sughat habaq (surat khabar) ni tulih (tulis), 'Low calorie can cause gallstones development in Kidney'. Kan aku dah habaq, mamat tu bukan doktor.. Susu Sejat konon." siapa lagi kalau bukan Mak Ngah Gelap.

Tersirat: Eh, Mak Ngah baca surat khabar NST? Sama la kita yea Mak Ngah, saya pun baca NST. Tapi apa yang Mak Ngah rujuk tadi tu ialah "Very Low Calorie Diet" (VLCD). Orang yang mengamalkan VLCD ni tak semuanya mengira kalori seperti yang saya ajar, sesetengah tu mungkin secara 'tidak sedar' mengambil jumlah kalori yang terlalu rendah dalam sehari.

Buat mereka yang kurang pasti apa itu Gallstones, dalam bahasa melayu mudahnya, penyakit Batu Karang. Memang benar, terdapat satu kajian yang mengesahkan pengamal VLCD ni mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit Batu Karang. Tetapi sebelum membuat andaian lebih jauh, mari kita huraikan dulu apa itu VLCD.

Mereka yang mengamalkan VLCD ni cuma mengambil 800kcal atau kurang daripada nilai tu dalam sehari. Saya tak pernah ajar semua tu Mak Ngah. Yang saya ajar selama ini ialah, turun berat badan secara perlahan tetapi konsisten. Kalaulah DCR kita 2000kcal sekali pun, kalau ditolak 600kcal, masih lagi pada tahap yang selamat (1400kcal). Selagi jumlah kalori yang diambil dalam sehari tidak kurang dari nilai BMR, dan jumlah air yang diambil dalam sehari mencukupi, insyaAllah, semuanya akan berjalan lancar.


Mak Ngah Gelap: Saipul, oo Saipul.. hang nampak Senah tak? Dah lama mak tak nampak dia..
Saiful: Kak Senah masuk hospital mak, dengaq cerita, gastrik..
Mak Ngah Gelap: Gastrik?? Oh my GOAT!!

"Hey! Who took my leftover pizza??"


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 12, 2010

"Joy, jom makan Pakistan House?"

Tinggal 10 minit sahaja lagi sebelum kelas Intro Biology melabuhkan tirainya untuk hari tersebut. Namun aku sudahpun hilang fokus kepada material yang cuba disampaikan oleh Dr. Pough. Memang inilah dugaan mental yang harus aku tempuh pada setiap kelas sesi tengahari Rabu. Hari Rabu ibarat syurga buat ku. Mana tidaknya, hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar Muslim, terutamanya pelajar Malaysia yang menuntut di Rochester Institute of Technology (RIT) ini.

Setiap tengahari Rabu di Student Alumni Union Cafeteria (SAU Cafeteria), akan disediakan satu hidangan halal yang dikenali sebagai 'Chicken Briyani Set' yang dibekalkan oleh Pakistan House, sebuah restoran makanan halal di bandar kampung Rochester, New York. Meskipun restoran ini membekalkan pelbagai makanan tradisi negara Pakistan seperti chicken briyani, namun untuk memudahkan perbualan di antara kami, setiap menu yang disediakan akan kami rujuk sebagai 'Pakistan House' dan bukannya 'Chicken Briyani'.

"I want you guys to look at how the change of environment leads to the process of the speciation between organisms, and that will be our next discussion. See you guys tomorrow."

Sayup kedengaran suara ini meskipun insan yang menyampaikannya hanya berada beberapa meter di hadapanku. Aku begitu asyik dengan khayal laparku sehingga tidak sedar Dr. Pough sudahpun mengakhiri kelas beliau pada hari tersebut. Selesai mengemas nota-nota dan perkakas menulis, Fendi memulakan bicara, ringkas tetapi bermakna.

"Bro, Pakistan House jom?"

"Jom!" balas aku spontan.

"Ko kemas la barang cepat sikit, kang ayam habis" ujar Pjoe pula bersungguh-sungguh.

Tanpa berlengah, aku bersama beberapa orang lagi rakan terus bergegas ke SAU Cafeteria untuk menikmati 'santapan syurga' yang dinantikan. Jam menunjukkan tepat 1 tengahari dan itu bererti kami masih mempunyai kira-kira satu jam sahaja lagi sebelum SAU Cafeteria ditutup. Walaupun lokasinya tidaklah berapa jauh dari bangunan tempat kami menuntut, namun kami berjalan kaki ke sana dengan agak pantas, khuatir akan kehabisan hidangan kesayangan.

Sampai di sekitar bangunan SAU Cafeteria, semacam aroma yang menggambarkan seribu kelazatan dan sejuta kepuasan mula menusuk rongga nasalku. Bagaikan sebuah isyarat impulse, amilase liurku dirembes lebih banyak daripada biasa, memaksa aku menelan sebahagian daripadanya. Irama dangdut bercampur salsa mula bermain di dalam perutku, kuat berkeroncong, malah semakin lama semakin rancak.

Aku melangkah dengan debaran menghampiri kaunter makanan yang tertulis 'Pakistan House' dan ternyata aku bernasib baik. Lauk pauk wajib untuk 'Chicken Briyani' masih dihidangkan, belum lagi sold out. Satu persatu lauk aku perhatikan. Ayam Tandori berkuah begitu menarik perhatianku, di sebalik kilauan minyak kemerah-merahan, rasanya yang juicy pastinya tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Kari ayam juga tidak kurang hebatnya, begitu juga dengan kuah kacang kudanya, tepu dan amat menyelerakan.

Seperti biasa, pelayan merangkap tuan punya perniagaan, Ikram, menyapa dengan mesra Fendi yang sejak dari tadi mendahuluiku,

"Hello my brotha! How are you today? How was the class going?"

"Fine.. fine. Everything is fine. Except that I'm so hungry now" balas Fendi.

"So do you want everything served here?"

"Yeah.. yeah.. everything. But hey Ikram, can I get MORE RICE?"

"You mean, extra rice? Sure sure.. just for you my brother, just for you.."

Sudah menjadi kebiasaan, Ikram akan menyoal pelanggannya terlebih dahulu sama ada pelanggannya berkehendakkan semua jenis lauk-pauk yang disediakan, atau hanya sebahagian daripadanya. Selesai menceduk lauk-pauk untuk Fendi, giliran aku pula ditegur Ikram,

"Yo, my *papa. How are you today? Do you want everything too?"

"I'm fine. Yup, everything Ikram, and can I get MORE RICE as well?"

Sambil tersengih sinis dan menceduk nasi yang masih tinggal, beliau berkata,

"Sure my papa, just for you!"


Zapp!!!

Pintu kereta ditutup rapat, dan kami kini berdiri di hadapan sebuah bangunan, terpampang jelas papan tanda besar yang tertulis 'Pakistan House' di hadapannya.

"Sengaja Abang Faiz bawa korang makan kat sini, hari ini ada buffet, bayar sepuluh dollar, boleh makan apa sahaja yang kita nak", ujar Abang Faiz, pelajar jurusan sarjana merangkap senior kami di RIT.

Pintu restoran dibuka, dan secara tiba-tiba aroma yang aku hidu pada setiap tengahari Rabu menusuk kembali hidungku. Kami menuju ke kaunter restoran dan meminta agar ditempatkan di sebuah meja famili. Keadaan sekeliling restoran adalah semi-mewah dan sepanjang kehadiran kami di sini, kami dihidangkan dengan alunan irama Afghan dan pelbagai lagi rentak klasikal India yang aku sendiri tidak faham akan mesej yang cuba disampaikannya.

Tiba sahaja di meja yang diminta, aku terus duduk pada kerusi yang disediakan. Aku cuba mengawal kesopananku sehabis mungkin memandangkan inilah kali pertama aku berkunjung ke restoran sebegini.

"Ko duduk tunggu apa lagi tu ejoy? *Soru aaa.." ujar Abang Faiz secara berseloroh.

Melihatkan beberapa lagi rakan sudah mula menuju ke kaunter makanan, aku dengan pantas bangun dan menyertai mereka. Rasa malu yang menyelubungi aku sebentar tadi bagaikan sudah hancur ditumbuk aura nafsu. Lauk pauk yang disediakan jauh lebih pelbagai dari apa yang kami perolehi pada setiap hari Rabu.

"Joy, basically you can take everything served here, I mean EVERYTHING!" getus hati kecilku.

Pinggan dicapai, dan tanpa melengahkan masa aku mula menceduk beberapa senduk nasi, diikuti beberapa ketul paha ayam, daging lembu, berserta kari kentang, kuah dhal, kuah kacang kuda, dan *Alu Palak. Aku mengganggarkan berat hidanganku ini adalah kira-kira 2kg. Banyak memang banyak. Padanlah Abang Faiz berpesan agar mengosongkan perut terlebih dahulu sebelum membawa kami ke sini.

"Huiyyoo, banyaknya ko makan joy? Membukit tu!" teriak Abang Faiz.

"*Rilek Abang Faiz, ni baru first round, MORE to come, MORE.." sambut aku ceria sambil menghabiskan hidangan yang ada.

Habis sahaja hidangan yang satu ini, aku bangun menuju ke kaunter makanan dan mencapai pinggan yang baru, mengulangi semula perbuatan yang aku lakukan 15 minit yang lalu. Aku tidak ingat berapa kali aku menambah hidangan pada hari tersebut, yang pasti, 3 pinggan itu adalah yang minima. Tidak dapat dinafikan, pengalaman makan buffet di Pakistan House ini adalah yang terbaik pernah aku alami dalam hidupku. Inilah yang aku namakan hidangan syurga, hidangan khas buat sang Raja. Dan kenyang sang Raja itu harus dilengkapi dengan tidur yang panjang....


*Glosari
Alu Palak: Sejenis hidangan sayur bayam yang ditumbuk lumat, berserta kentang.
Papa: Istilah yang digunakan, merujuk kepada seseorang yang besar tubuh badannya.
Rilek: Bertenang.
Soru: Bahasa Melayu pasar, bermaksud makan.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails