June 12, 2010

"Joy, jom makan Pakistan House?"

Tinggal 10 minit sahaja lagi sebelum kelas Intro Biology melabuhkan tirainya untuk hari tersebut. Namun aku sudahpun hilang fokus kepada material yang cuba disampaikan oleh Dr. Pough. Memang inilah dugaan mental yang harus aku tempuh pada setiap kelas sesi tengahari Rabu. Hari Rabu ibarat syurga buat ku. Mana tidaknya, hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar Muslim, terutamanya pelajar Malaysia yang menuntut di Rochester Institute of Technology (RIT) ini.

Setiap tengahari Rabu di Student Alumni Union Cafeteria (SAU Cafeteria), akan disediakan satu hidangan halal yang dikenali sebagai 'Chicken Briyani Set' yang dibekalkan oleh Pakistan House, sebuah restoran makanan halal di bandar kampung Rochester, New York. Meskipun restoran ini membekalkan pelbagai makanan tradisi negara Pakistan seperti chicken briyani, namun untuk memudahkan perbualan di antara kami, setiap menu yang disediakan akan kami rujuk sebagai 'Pakistan House' dan bukannya 'Chicken Briyani'.

"I want you guys to look at how the change of environment leads to the process of the speciation between organisms, and that will be our next discussion. See you guys tomorrow."

Sayup kedengaran suara ini meskipun insan yang menyampaikannya hanya berada beberapa meter di hadapanku. Aku begitu asyik dengan khayal laparku sehingga tidak sedar Dr. Pough sudahpun mengakhiri kelas beliau pada hari tersebut. Selesai mengemas nota-nota dan perkakas menulis, Fendi memulakan bicara, ringkas tetapi bermakna.

"Bro, Pakistan House jom?"

"Jom!" balas aku spontan.

"Ko kemas la barang cepat sikit, kang ayam habis" ujar Pjoe pula bersungguh-sungguh.

Tanpa berlengah, aku bersama beberapa orang lagi rakan terus bergegas ke SAU Cafeteria untuk menikmati 'santapan syurga' yang dinantikan. Jam menunjukkan tepat 1 tengahari dan itu bererti kami masih mempunyai kira-kira satu jam sahaja lagi sebelum SAU Cafeteria ditutup. Walaupun lokasinya tidaklah berapa jauh dari bangunan tempat kami menuntut, namun kami berjalan kaki ke sana dengan agak pantas, khuatir akan kehabisan hidangan kesayangan.

Sampai di sekitar bangunan SAU Cafeteria, semacam aroma yang menggambarkan seribu kelazatan dan sejuta kepuasan mula menusuk rongga nasalku. Bagaikan sebuah isyarat impulse, amilase liurku dirembes lebih banyak daripada biasa, memaksa aku menelan sebahagian daripadanya. Irama dangdut bercampur salsa mula bermain di dalam perutku, kuat berkeroncong, malah semakin lama semakin rancak.

Aku melangkah dengan debaran menghampiri kaunter makanan yang tertulis 'Pakistan House' dan ternyata aku bernasib baik. Lauk pauk wajib untuk 'Chicken Briyani' masih dihidangkan, belum lagi sold out. Satu persatu lauk aku perhatikan. Ayam Tandori berkuah begitu menarik perhatianku, di sebalik kilauan minyak kemerah-merahan, rasanya yang juicy pastinya tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Kari ayam juga tidak kurang hebatnya, begitu juga dengan kuah kacang kudanya, tepu dan amat menyelerakan.

Seperti biasa, pelayan merangkap tuan punya perniagaan, Ikram, menyapa dengan mesra Fendi yang sejak dari tadi mendahuluiku,

"Hello my brotha! How are you today? How was the class going?"

"Fine.. fine. Everything is fine. Except that I'm so hungry now" balas Fendi.

"So do you want everything served here?"

"Yeah.. yeah.. everything. But hey Ikram, can I get MORE RICE?"

"You mean, extra rice? Sure sure.. just for you my brother, just for you.."

Sudah menjadi kebiasaan, Ikram akan menyoal pelanggannya terlebih dahulu sama ada pelanggannya berkehendakkan semua jenis lauk-pauk yang disediakan, atau hanya sebahagian daripadanya. Selesai menceduk lauk-pauk untuk Fendi, giliran aku pula ditegur Ikram,

"Yo, my *papa. How are you today? Do you want everything too?"

"I'm fine. Yup, everything Ikram, and can I get MORE RICE as well?"

Sambil tersengih sinis dan menceduk nasi yang masih tinggal, beliau berkata,

"Sure my papa, just for you!"


Zapp!!!

Pintu kereta ditutup rapat, dan kami kini berdiri di hadapan sebuah bangunan, terpampang jelas papan tanda besar yang tertulis 'Pakistan House' di hadapannya.

"Sengaja Abang Faiz bawa korang makan kat sini, hari ini ada buffet, bayar sepuluh dollar, boleh makan apa sahaja yang kita nak", ujar Abang Faiz, pelajar jurusan sarjana merangkap senior kami di RIT.

Pintu restoran dibuka, dan secara tiba-tiba aroma yang aku hidu pada setiap tengahari Rabu menusuk kembali hidungku. Kami menuju ke kaunter restoran dan meminta agar ditempatkan di sebuah meja famili. Keadaan sekeliling restoran adalah semi-mewah dan sepanjang kehadiran kami di sini, kami dihidangkan dengan alunan irama Afghan dan pelbagai lagi rentak klasikal India yang aku sendiri tidak faham akan mesej yang cuba disampaikannya.

Tiba sahaja di meja yang diminta, aku terus duduk pada kerusi yang disediakan. Aku cuba mengawal kesopananku sehabis mungkin memandangkan inilah kali pertama aku berkunjung ke restoran sebegini.

"Ko duduk tunggu apa lagi tu ejoy? *Soru aaa.." ujar Abang Faiz secara berseloroh.

Melihatkan beberapa lagi rakan sudah mula menuju ke kaunter makanan, aku dengan pantas bangun dan menyertai mereka. Rasa malu yang menyelubungi aku sebentar tadi bagaikan sudah hancur ditumbuk aura nafsu. Lauk pauk yang disediakan jauh lebih pelbagai dari apa yang kami perolehi pada setiap hari Rabu.

"Joy, basically you can take everything served here, I mean EVERYTHING!" getus hati kecilku.

Pinggan dicapai, dan tanpa melengahkan masa aku mula menceduk beberapa senduk nasi, diikuti beberapa ketul paha ayam, daging lembu, berserta kari kentang, kuah dhal, kuah kacang kuda, dan *Alu Palak. Aku mengganggarkan berat hidanganku ini adalah kira-kira 2kg. Banyak memang banyak. Padanlah Abang Faiz berpesan agar mengosongkan perut terlebih dahulu sebelum membawa kami ke sini.

"Huiyyoo, banyaknya ko makan joy? Membukit tu!" teriak Abang Faiz.

"*Rilek Abang Faiz, ni baru first round, MORE to come, MORE.." sambut aku ceria sambil menghabiskan hidangan yang ada.

Habis sahaja hidangan yang satu ini, aku bangun menuju ke kaunter makanan dan mencapai pinggan yang baru, mengulangi semula perbuatan yang aku lakukan 15 minit yang lalu. Aku tidak ingat berapa kali aku menambah hidangan pada hari tersebut, yang pasti, 3 pinggan itu adalah yang minima. Tidak dapat dinafikan, pengalaman makan buffet di Pakistan House ini adalah yang terbaik pernah aku alami dalam hidupku. Inilah yang aku namakan hidangan syurga, hidangan khas buat sang Raja. Dan kenyang sang Raja itu harus dilengkapi dengan tidur yang panjang....


*Glosari
Alu Palak: Sejenis hidangan sayur bayam yang ditumbuk lumat, berserta kentang.
Papa: Istilah yang digunakan, merujuk kepada seseorang yang besar tubuh badannya.
Rilek: Bertenang.
Soru: Bahasa Melayu pasar, bermaksud makan.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

8 comments:

Faiz Anuar said...

Mantap! Apa lg? Tulislah novel pengalaman ni Rochester! Kisah Budak Perantauan! Pakistan House takleh beat pengalaman Krispy Kreme, satu van turun taste donut free. Hahaha!

Joy Kalonas said...

Bereh abg faiz! RIT, sebuah kisah yang patut diabadikan.. ntah wujud ke tidak Pakistan House tu, mcm dh bankrup jer, hehe..

i-SYA said...

haha. seronok baca kisah awak. mesti best kan study oversea macam tu. Buat saya teringin.

Joy Kalonas said...

i-SYA, mula2 tu memang la excited. but once you get there, u might want to rethink back, that studying in Malaysia is lagi seronok and more colorful.. You will miss your hometown together with these 3 F's: family, friends, and food. =)

i-SYA said...

Haha. Betul2. Saya selalu fikir yang saya takkan survive study overseas.

Tapi, mak saya NAAAAAK sangat saya study luar negara. Huuu~

Tapi, ada yang kata, sijil bussiness study di malaysia tak laku?

Alahai~

Joy Kalonas said...

Kalau mak dah cakap macam tu, try your best la, ok? Business? Bukan saja business, degree sains macam Biotech pun tak laku.

d said...

3 pinggan @ dulang tu ?... berulang2 dalam masa yg sama... wah.. larat ek... ai paham perasaan tu.... *sukee blog nih*

Joy Kalonas said...

pinggan :) dulang kat gambar tu sekadar untuk hiasan. Tapi pinggan dia boleh tahan besar juga tau, hehe. Tq2.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails