July 30, 2010

5 Superfood pilihan Susu Sejat

Mesti ramai yang tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan Superfood. Adakah ia merupakan makanan yang hebat, sehebat Superman? Atau ia sekadar jenama produk untuk makanan-makanan tertentu?

Istilah Superfood telah mula timbul di barat sejak awal 1900 lagi. Superfood diklasifikasikan sebagai makanan yang paling berkhasiat di antara makanan-makanan yang lain, atau dalam bahasa yang mudah difahami, "best among the best" (Paling hebat di antara yang terhebat).

Untuk diiktiraf sebagai Superfood, sesebuah makanan itu harus mematuhi syarat-syarat berikut:

1 - Mampu mencegah penyakit-penyakit kronik
2 - Mempertingkatkan tahap kesihatan dan kecergasan kepada satu peringkat
3 - Tidak menggemukkan (peningkatan berat lemak)
4 - Kaya dengan phytonutrien, antioxidants dan mineral
5 - Terbukti dan disahkan khasiatnya menerusi kajian-kajian saintifik

Kalau para pembaca rajin, bolehlah google sendiri beberapa Superfood yang diceritakan di internet, tetapi sukacita dimaklumkan bahawa Susu Sejat ingin berkongsi 5 makanan, yang pada hemat Susu Sejat, layak dilabel sebagai Superfood. Apakah makanan-makanan tersebut? Jom kita terjah.

1 - Walnut


Kalori per gram: 6.54kcal/g

Khasiat: Selain mengandungi protein, walnut kaya dengan sterol tumbuhan yang mampu menurunkan paras kolestrol dalam darah, disamping kandungan asid lemak omega 3 nya yang tinggi, antara yang tertinggi berbanding sumber kekacang yang lain. Walnut juga mengandungi serat, Vitamin B Kompleks, magnesium dan antioxidants seperti Vitamin E.

Cara Penyediaan: Ambil segenggam walnut yang sudah dimasak (dengan oven), cincangkannya dan masukkan ke dalam makanan/masakan kegemaran anda.


2 - Brokoli (Broccoli)


Kalori per gram: 0.34kcal/g

Khasiat: Mengandungi beberapa antioxidants, termasuklah Vitamin C, dan juga lutein yang mampu melambatkan risiko untuk mendapat penyakit "Age-related macular degeneration, (AM) iaitu penyakit berkaitan penglihatan. Brokoli juga mengandungi folate (folic acid) yang dipercayai mampu mencegah penyakit berkaitan jantung, dan sejenis phytochemical yang dikenali sebagai sulphoraphane yang mempunyai sifat anti-kanser.

Cara Penyediaan: Ambil beberapa tangkai brokoli, sama ada yang mentah atau separuh masuk, potong dan masukkan kedalam masakan kegemaran anda seperti tom yam, sup sayur, dan sebagainya.

Nota tambahan: Sayur-sayuran berwarna hijau gelap yang lain juga mempunyai ciri-ciri yang sama seperti brokoli.


3 - Buah Delima (Pomegranate)


Kalori per gram: 0.68kcal/g

Khasiat: Mengandungi antioxidants yang berguna seperti polyphenols, tannins dan anthocyanins; dan kandungan antioxidants ini adalah lebih tinggi daripada antioxidant yang terkandung dalam teh. Kajian awal menunjukkan buah delima berupaya menurunkan paras kolestrol (LDL kolestrol) dalam darah dan menurunkan tekanan systolic darah.

Cara Penyediaan: Kupas 1-2 biji buah delima, kumpulkan isinya (yang berbiji-biji) dan kisarkan dengan alat pengisar untuk dibuat jus minuman.


4 - Ikan Salmon


Kalori per gram: 1.82kcal/g

Khasiat: Selain tinggi kandungan protein, vitamin dan mineral, ikan salmon juga kaya dengan asid lemak omega 3 yang terbukti mampu mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung.

Cara Penyediaan: Sepotong daging ikan salmon boleh dimasak secara kukus, atau dimasak secara grilled.


5 - Roti Gandum Penuh


Kalori per gram: 2.50kcal/g

Khasiat: Selain rendah G.I, yang mampu memanjangkan lagi tempoh kenyang, mencegah penyakit berkaitan jantung dan mengawal berat badan, roti gandum penuh juga kaya dengan serat yang mampu memperbaiki cara sistem pelawasan bekerja. Bintil-bintil pada roti gandum penuh juga mengandungi asid lemak yang sihat.

Cara Penyediaan: Beberapa potong roti gandum penuh boleh dimakan bersama sumber protein yang lain.


Itulah dia 5 Superfood pilihan hati Susu Sejat. Apabila digabungkan kelima-lima Superfood tersebut, maka...

Beberapa potong roti gandum penuh dimakan bersama ikan salmon masak kukus (yang ditaburkan bersama beberapa biji Walnut dan beberapa potong brokoli). Tidak lengkap rasanya jika hidangan ini tidak dilengkapi dengan segelas jus buah delima. Inilah yang dinamakan hidangan Superfood cara Susu Sejat!

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 28, 2010

Siri Khas Puasa: Berbuka Puasa (Bahagian 3)

Adalah penting untuk memilih makanan yang sesuai pada bulan puasa. Di samping menikmati makanan yang lazat dan berkhasiat (mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan), kita juga perlu berjimat-cermat.

Pada bulan puasa, sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban kepada perut untuk mencernakan makanan. Sekiranya di hari biasa kita mengambil sarapan pagi, snek, makan tengahari, minum petang, makan malam, dan supper, begitu jugalah pada waktu bulan puasa (sebelah malam). Dipendekkan cerita, amalkan makan secara berperingkat seperti yang dicadangkan berikut.

Berbuka, Makan Malam (makan berat), Supper (Moreh), Sahur.

Berbuka Puasa: Selepas niat berbuka puasa, mulakanlah dengan karbohidrat ringkas seperti segelas minuman manis dan beberapa biji kurma. Bagi mereka yang sedang dalam proses membina badan, atau dalam proses menurunkan berat badan, tetapi hendak memelihara otot sebanyak yang mungkin, bolehlah diambil satu hidangan whey protein bersama susu skim, berserta beberapa biji kurma (atau buah-buahan lain seperti pisang atau betik).

Elakkan makan makanan yang berat secara menerus kerana pada ketika ini badan berada pada fasa yang dikenali sebagai "Insulin Spike", memandangkan paras glukosa dan insulin dalam darah sebelum ini adalah rendah dek kerana berpuasa. Ketika fasa ini, insulin akan dirembeskan dengan mendadak pada kadar yang banyak, untuk membantu transportasi glukosa ke dalam sel. Ini mengakibatkan paras glukosa dalam darah jatuh kembali dengan mendadak, dan otak akan mula berfikir bahawa badan kekurangan sumber glukosa, sekaligus memberikan isyarat bahawa tubuh badan masih lapar dan memerlukan lebih makanan; ini akan mengakibatkan anda makan secara berlebihan kelak.

Beri masa kepada perut untuk 'warm up', sebelum mencerna sesuatu yang lebih berat. Jangan dilupa juga 2-3 gelas air masak untuk memastikan sel di dalam badan dihidratkan semula.


Makan Malam: Selepas menunaikan solat Maghrib, barulah perut bersedia untuk menerima hidangan seterusnya yang lebih berat (kuantiti yang banyak). Apa yang patut dimakan? Boleh menikmati apa sahaja, tambah-tambah lagi makanan yang baru dibeli di Bazaar Ramadhan, tetapi pastikan anda MENGENALI makanan yang hendak diambil. Tanya pada diri anda soalan-soalan berikut, "mana karbohidrat aku? mana protein aku? mana sumber vitamin, mineral dan fiber/serat aku?" (Rujuk sub-topik di akhir entri ini untuk tips berbelanja di Bazaar Ramadhan). Secara umum, panduan berikut boleh dirujuk, disusun dari yang patut dilebihkan makan, hingga yang patut dikurangkan makan:

1 - Karbohidrat: Roti, bijirin, nasi
2 - Protein (bermineral): Daging, ayam, ikan, makanan laut secara umumnya, sumber kekacang, tauhu
3 - Sumber pelbagai vitamin, phytochemicals dan fiber: Sayur pelbagai warna (tidak terikat yang berwarna hijau sahaja), buah-buahan.
4 - Gula dan minyak? Tidak perlu fokus, dan jikalau boleh hendaklah dikurangkan, kerana masakan di Malaysia sudah 'kaya' dengan gula dan minyak.


Supper (Moreh): Diambil 1-2 jam sebelum tidur, dan apakah yang patut dimakan? Secara umumnya, menu/jenis makanan adalah sama seperti yang diambil ketika sahur, tapi pada kuantiti 1/3 atau 1/2 daripada apa yang diambil ketika sahur. Makanan yang diambil pula harus mematuhi ciri-ciri berikut:

Karbohidrat - Rendah Glycemic Index, dan dari jenis Karbohidrat kompleks seperti Oatmeal, Whole-grain bread, Whole barley, dan berbagai lagi (rujuk bab sahur).

Protein - Rendah Biological Value seperti Telur putih tanpa kuning telur (88), Ikan (83), Daging (80), Ayam (79), Casein (80), Soya (74) dan kekacang (49).


Sahur: Sila rujuk Siri Khas Puasa: Bersahur (Bahagian 2)


Tips berbelanja di Bazaar Ramadhan:

Gambar adalah ehsan happyhomemaker88.wordpress.com

Ketika berbelanja di Bazaar Ramadhan, cuba mulakan perbelanjaan dengan perkara yang paling utama terlebih dahulu, kemudian barulah yang ringan-ringan (kurang penting/berkhasiat). Makanan-makanan berikut sudah pun Susu Sejat susun, berdasarkan apa yang harus dibeli terlebih dahulu, diikuti apa yang harus dibeli kemudian.

1) "mana karbohidrat aku?" - Boleh jadi Nasi putih, Nasi Ayam, Nasi Tomato, Roti John/Baby John, Bubur, atau Mee Goreng. Beli yang ini dahulu.

2) "mana protein aku?" - Boleh jadi Ayam perchik, ayam goreng, Tauhu bakar, ikan bakar. Beli ini selepas beli yang pertama tadi.

3) "mana sumber vitamin, mineral dan fiber/serat aku?" - sayur campur, tom yam sayur, buah-buahan.

4) "perlukah aku membeli berbagai jenis kuih-kuih, dan makanan yang lain?" - anda mungkin sudah membeli banyak makanan (terutama yang beli untuk satu famili), dan pada ketika ini, anda akan terfikir 2 perkara. Pertama, rasa-rasanya, larat ke nak bawa barang banyak-banyak? Kedua, dah berapa ringgit sudah aku belanjakan pada petang ini? Berbaloikah untuk berbelanja lagi?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 27, 2010

Dulu dan sekarang..

1) Zaman dulu tiada minuman ringan, semua natural. Coke? Pepsi? Mana ada semua tu. Kopi O kosong, teh O kosong tu ada la.

2) Zaman dulu kalau nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat, kena jalan kaki. Paling mewah pun naiklah kereta lembu. Kalau dah jauh sangat tu terpaksalah menumpang sampan/tongkang orang lain. Sekarang? Setakat nak pergi ke kedai runcit yang jaraknya sekangkang kera pun nak kena naik moto (motosikal).

3) Zaman dulu makan banyak-banyak, tapi kerja pun mesti mau banyak. Kerja pula bukan main berat lagi, membanting tulang di sawah, bercucuk tanam, atau memburu di hutan. Isk.. mana ada pejabat berhawa dingin semua.

4) Zaman dulu semua orang dapat tidur yang cukup. Habis solat Isya', terus masuk kelambu, dan tidurlah sampai ke Subuh. Sekarang? Tonton TV, atau layan Facebook dulu sampai pukul 1 pagi. Tak pun blogging.. Opps..!

5) Zaman dulu tiada makanan merapu, keropok-keropok, cekedis-cekedis, atau yang sama waktu dengannya. Kalau nak snek, makanlah pengat pisang, lepat, atau buah-buahan sementara nak tunggu waktu makan malam.

6) Zaman dulu makanan semua organik belaka. Baja tanaman daripada najis lembu, persekitaran pun belum berapa tercemar. Zaman sekarang ni susah betul nak dapatkan makanan yang betul-betul organik.

7) Zaman dulu lelaki wajib belajar silat disamping mengaji. Ye la, bahaya kan ada di mana-mana. Sekarang belajar silat secara maya jer, guna PS3, Gameboy. Tanyalah adik-adik tu, macam mana nak buat side-kick. Tekan butang "triangle" 3 kali, pastu butang "square" sekali. Hebat bukan?

8) Zaman dulu kalau nak memasak kena ada kayu api, kena cari kayu api dahulu, kemudian potong kayu api tu, baru boleh guna untuk memasak. Sekarang? Petik suis elektrik, dah boleh terus memasak.

9) Zaman dulu tak pakai minyak masak. Cara masakan biasanya rebus, bakar, atau makan mentah-mentah (ulam). Sekarang minyak ada macam-macam jenis, minyak sapi, minyak sawit, minyak ikan, minyak dagu. Pilih jer yang mana mau.

10) Zaman dulu orangnya hidup dalam suasana tenang, kerja pun tanpa tekanan (perasaan). Cukup musim dah boleh tuai padi, ikan pula hari-hari timbul di kali. Sekarang ni kerja penuh dengan tekanan dan emosi. Kena maki dengan bos, siapa yang tak pernah kena?

11) Zaman dulu tak banyak kedai makan, kedai mamak, KFC, McD, Burger King, tak larat nak sebut dah. Kalau nak makan, paling 'up' pun di warung. Tak suka? Masak sendiri dan makan saja di rumah.

12) Zaman dahulu kalau nak air, kena angkut sendiri dari sungai, kemudian simpan dalam tempayan. Penat juga tu. Kalau yang tinggal berhampiran sungai tu, memang rezeki dioranglah kan? Untung duduk tepi sungai.

13) Zaman dahulu orangnya rajin kunyah sireh. Tak macam sekarang, orangnya rajin kunyah gula-gula getah (yang manis, bukan yang sugarfree), ada pelbagai perisa lagi tu!

Orang zaman dahulu tidak dimanjakan dengan makanan dan teknologi. Namun siapa sangka, kedua-dua faktor inilah yang membuatkan orang-orang zaman dahulu majoritinya sihat-sihat dan berusia panjang.

Kita seharusnya bersyukur kerana zaman ini sudah dilengkapi dengan pelbagai prasarana dan kemudahan yang sangat membantu kita dalam melakukan aktiviti seharian. Namun siapa sangka, kemodenan yang kita perolehi ini mampu menjadi racun atau duri dalam daging yang akan merugikan kita kelak.

Mahu makanan yang sihat, tidak semestinya harus membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli makanan organik, atau berbelanja di Subway mahupun Kenny Rogers. Senaman pula tidak semestinya dilakukan pada hujung minggu atau di gymnasium. Tak susah untuk jadi sihat, kerana makanan yang sihat itu sebenarnya ada di mana-mana, di sekeliling kita, dan senaman itu pula ada dalam gaya hidup kita. Fikir-fikirkanlah..

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 26, 2010

Terjah Obesiti #3: Minuman Ringan

Apa itu minuman ringan?

Minuman ringan, atau dalam bahasa Inggerisnya 'Soft Drink', adalah sejenis minuman yang kebiasaannya terdiri daripada pelbagai perisa tiruan dan gula semata-mata. Di barat, istilah ringan itu wujud memandangkan minuman sebegini tidak mengandungi alkohol, atau kandungan alkoholnya yang sangat rendah.

Kebiasaannya, minuman sebegini mengandungi gas karbonat untuk memberikan rasa tajam ketika diminum. Rasa tajam ini apabila digabungkan dengan rasa sejuk (jika minuman tersebut disejukkan) akan menghasilkan rasa dan kenikmatan yang sempurna, terutamanya apabila diminum ketika cuaca panas.

Antara jenis-jenis minuman ringan ialah cola (Pepsi, Coke), teh ais (Lipton), dan fruit punch (Tropicana).


Minuman ringan mengandungi gula semata-mata, dan kalori yang wujud dalam minuman ini juga datang daripada gula semata-mata. Kebiasaanya minuman ringan tidak mengandungi protein dan lemak. Perumpamaan untuk komposisi minuman ringan adalah seperti berikut:

Air kosong + Gula + Perisa + Karbonat (jika ada) = Minuman ringan


Mengapa minuman ringan dikatakan punca obesiti?

Kalian mesti sudah bosan aku berbicara soal kalori bukan? Apa kata hari ini kita pandang punca obesiti berkaitan minuman ringan ini dari perspektif berbeza, iaitu metabolisma, dan bukannya matematik (kiraan kalori).

Gula yang terkandung dalam minuman ringan adalah merupakan karbohidrat ringkas yang sudah diproses (refined carbs). Pengambilan karbohidrat ringkas seperti ini akan menggalakkan penghasilan insulin, dan apabila paras insulin menjadi terlalu tinggi dalam darah, otak akan mula berfikir bahawa badan sedang berada dalam fasa 'aktif' dan memerlukan lebih sumber tenaga - ini mengakibatkan anda akan berasa lebih dahaga (tidak puas dengan apa yang diminum tadi). Akibatnya, sama ada anda akan menambah lagi minuman ringan ini, atau menghabiskan terus sebotol yang dibeli.

Oleh kerana gula merupakan karbohidrat yang sudah diproses, maka badan tidak akan mengambil masa yang lama untuk mencernakannya. Sifat gula yang mengandungi tinggi glycemix index (G.I) akan membuatkan ia cepat memasuki aliran darah dalam bentuk glucose, dan dibawa ke serata sel dalam tubuh badan melalui darah dengan bantuan hormon yang kita kenali sebagai insulin.

Sel tidak memerlukan terlalu banyak glucose untuk menjalankan fungsinya, lalu apakah yang akan berlaku jika ia menerima terlalu banyak glucose? Glucose yang berlebihan akan ditukarkan kepada glycogen dan disimpan sementara di dalam sel sehinggalah ia akan digunakan kelak. Namun, persoalan seterusnya akan timbul, apakah yang akan berlaku jika paras glycogen di dalam sel menjadi terlalu tinggi? Glycogen tersebut akan dibawa dan disimpan didalam hati, dan HANYA akan diguna pakai apabila badan berada pada fasa lapar, seperti puasa, dan bersukan (kardio).

Persoalan seterusnya pula akan timbul. Apa pula yang akan terjadi jika paras glycogen dalam hati menjadi terlalu tinggi? (anggap bahawa orang ini mempunyai kadar metabolisma yang rendah, sentiasa makan dan mengamalkan cara hidup yang tidak sihat). Badan akan mengarahkan hormon yang baru sahaja kita kenali tadi, iaitu insulin, untuk menukarkan semua glycogen dalam hati yang berlebihan kepada apa yang kita kaitkan dengan punca obesiti, iaitu LEMAK.

Yang terkandung dalam sebotol Radix Cola (1.5L)


Susu Sejat ada penyelesaian untuk masalah ini?

Penyelesaian Susu Sejat untuk isu ini mudah, iaitu ambil minuman ringan seperti ini pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika majlis hari jadi orang tersayang, dan ketika menyambut perayaan tertentu (Hari raya, tahun baru Cina, Deepavali); namun cuba untuk hadkan pengambilannya agar tidak melebihi segelas. Selain daripada 2 situasi diatas, aku syorkan agar tinggalkan terus minuman ringan ini, selagi boleh. Minuman ringan langsung tidak mempunyai khasiat, malah sesetengah minuman ringan mengandungi bahan-bahan kimia lain yang boleh memudaratkan kesihatan kelak.

Tip 1: Buat Ibu bapa, didiklah anak-anak sejak kecil lagi agar kurang minum minuman ringan. Anda adalah role model yang terbaik untuk mereka contohi.

Tip 2: Jika ingin sesuatu yang manis, lebih baik memilih Yoghurt berbanding minuman ringan, pada sebelah pagi. Walaupun kebanyakan Yoghurt manis rasanya, namun kandungan gula dalam satu cawan Yoghurt hanyalah 2/3 berbanding yang terkandung dalam setin minuman ringan. Tambahan, Yoghurt baik untuk sistem penghadaman. Namun janganlah bila aku berkata begini, kalian semua akan makan bercawan-cawan Yogurt dalam sehari. Bersederhanalah, kerana ia merupakan kunci kesihatan yang utama.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 25, 2010

Siri Khas Puasa: Bersahur (Bahagian 2)

Untuk mengekalkan tubuh badan yang cergas ketika berpuasa, seseorang itu harus mengamalkan kunci pemakanan yang sihat yang merangkumi keseimbangan, kepelbagaian dan kesederhanaan. Prinsip-prinsip ini juga terkandung dalam kunci metabolisma kita untuk sesi puasa, iaitu Sahur. Dalam bahasa mudahnya, sahur itu adalah sarapan kita.


Bagi aku, individu yang menolak sahur, atau mengambil sahur sebelum masuk tidur, adalah individu yang mempunyai kadar metabolisma yang terlalu rendah, bebanding mereka yang mengambil sahur menghampiri waktu imsak. Selalunya individu sebegini (rendah metabolisma) hanya makan sedikit dan 'jarang-jarang', dan jumlah yang sedikit itu sudah cukup untuk mengekalkan berat badannya.

Mereka yang hendak menurunkan berat badan haruslah mengambil sahur supaya kadar metabolisma tidak jatuh terlalu merudum berbanding hari biasa (bukan puasa); sama juga buat mereka yang mahu mengekalkan bentuk/otot badan. Namun aku simpan dahulu topik berkenaan metabolisma ini untuk Siri Khas Puasa, bahagian ke-5 kelak. Sementara itu, mari kita pelajari beberapa tips berkenaan sahur.


Ciri-ciri Makanan/ minuman yang Susu Sejat syorkan untuk ambil:

1. Makanan Tinggi Serat
Makanan tinggi serat, seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bukan sahaja kaya dengan vitamin dan mineral, malah mengambil masa yang lama untuk dihadam. Sebahagian daripadanya juga rendah kalori kerana mengandungi serat larut (serat larut tidak mempunyai kalori). Makanan berserat juga menahan insulin, iaitu hormon yang bertindak membawa masuk glukos ke dalam sel, daripada dirembeskan terlalu cepat dan banyak.

2. Karbohidrat Kompleks
Karbohidrat kompleks mengambil masa kira-kira 8 jam untuk dicerna, bergantung kepada kuantiti yang diambil. Antara jenis-jenis karbohidrat kompleks adalah seperti berikut:
3. Protein rendah Biological Value (bawah paras 100)
Lebih rendah nilai BV, maka lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan dan lebih bagus untuk diambil. Antara yang disyorkan ialah Telur putih tanpa kuning telur (88), Ikan (83), Daging (80), Ayam (79), Casein (80), Soya (74) dan kekacang (49).

4. Air Masak
Minum sejumlah air (masak/kosong) dengan mencukupi. Ingatlah bahawa situasi dominan yang kita rasai ketika berpuasa adalah dahaga, dan bukannya lapar. Berapa banyak yang diperlukan? 3-5 gelas air, diagih secara berperingkat dari awal sahur, hinggalah ke akhir sahur.


Ciri-ciri Makanan/ minuman yang pada hemat Susu Sejat harus dielakkan:

1 - Makanan segera seperti mee segera
Namanya pun sudah cukup mencerminkan segala-galanya. Makanan segera terdiri daripada karbohidrat yang sudah diproses (cepat cerna) dan tinggi kandungan sodium dan lemak. Meskipun mengenyangkan, namun kenyang itu berkekalan dalam waktu yang sangat singkat.

2 - Makanan berlemak
Makanan bergoreng (terutama 'deep fried') atau bersantan haruslah dielak ketika sahur. Makanan yang terlalu berlemak akan melambatkan dan menyukarkan lagi sistem pencernaan.

3 - Refined Carbs (karbohidrat ringkas)
Jika anda fikir gula yang dicampurkan dalam minuman itu mampu membekalkan tenaga kepada anda sepanjang hari, lupakan sahaja. Ini kerana karbohidrat ringkas seperti gula akan menggalakkan penghasilan insulin. Paras insulin yang terlalu tinggi dalam darah akan membuatkan otak anda terfikir bahawa badan anda sedang berada dalam fasa 'aktif' dan memerlukan lebih sumber tenaga - ini akan mengakibatkan anda sentiasa berasa lapar ketika berpuasa. Antara contoh karbohidrat ringkas adalah seperti berikut:


4 - Protein tinggi Biological Value (melebihi paras 100), seperti Whey Protein Isolate (157).

5 - Minuman berkafein seperti kopi
Meskipun ramai yang menganggap kopi bagus untuk membuatkan kita 'jaga' supaya bangun dan makan (baru bangun tidurlah katakan), namun ketahuilah bahawa Kafein itu bersifat diuretic - bermaksud tubuh akan lebih cenderung/kerap untuk menyingkirkan air daripada badan menerusi air kencing. Apabila kandungan air dalam badan kurang daripada yang sepatutnya, anda akan berasa dahaga.

6 - Makanan-makanan yang pedas, bergas atau asam, agar dapat mengelakkan ketidakselesaan perut ketika menjalani puasa kelak.

7 - Makanan yang masin (seperti ikan masin dan telur masin)
Garam (sodium) dalam diet adalah penting untuk keseimbangan osmosis (luar dan dalam sel). Namun jika seseorang itu mengambil garam secara berlebihan, paras sodium dalam darah akan menjadi tinggi. Badan kelak memerlukan air daripada setiap sel yang berada dalam tubuh untuk 'mencairkan' kembali kandungan garam dalam darah. Ini mengakibatkan sel dalam badan kekekurangan air, dan kekurangan air ini akan membentuk satu lagi respon daripada tubuh badan, iaitu DAHAGA.


Tips umum bersahur: Rancanglah sahur anda sebaiknya

1. Untuk memastikan badan tidak terlalu keletihan ketika berpuasa, lewatkanlah waktu sahur mendekati imsak, selain bertepatan dengan sunnah Rasulullah. Sahur yang dilakukan 1 jam sebelum waktu imsak adalah yang digalakkan oleh Susu Sejat.

2. Cuba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 500kcal jumlah tenaga daripada sahur anda. Gunakan nisbah 55:30:15 (Carb:Protein:Fat), dan ini bererti anda harus mendapatkan sekurang-kurangnya 70g Karbohidrat dan 35g Protein. Namun anda tidak perlu risau dengan lemak kerana lemak itu secara asasnya wujud dimana-mana.

3. Mungkin 70g karbohidrat itu bunyinya terlalu banyak bagi sesetengah individu, namun cubalah untuk mengagihkan waktu sahur itu sebaik mungkin. Tidak perlu gopoh dan gelojoh, makan secara perlahan dan tertib. Pastikan kunyah sebetul-betulnya sehingga makanan tersebut hancur, sebelum telan.

Tahukah anda? 6 keping roti gandum penuh Gardenia mengandungi 66.9g Karbohidrat dan 21g Protein. Ditambah dengan segelas susu skim bersama 3 potong keju rendah lemak, itu sudah melepasi syarat minima untuk tip 2 dan 3 di atas.

4. Tidur lebih awal daripada hari-hari biasa (bukan puasa) supaya anda bersedia untuk bangun sahur. Jangan lupa untuk mengunci jam (setkan alarm) supaya senang bangun kelak.

5. Sediakan/masak makanan yang hendak diambil ketika sahur lebih awal, yakni sebelum masuk tidur. Ini memastikan anda tidak terlalu terburu-buru ketika hendak bersahur, dan apa yang tinggal nanti hanyalah memanaskan hidangan itu sahaja.

6. Jika perlu, dapatkan supplemen seperti Multivitamin dan Multimineral. Buat mereka yang tidak bercadang untuk menurunkan berat badan, supplemen seperti Casein protein, Soy Protein dan Glutamine amat membantu dalam mengekalkan otot yang ada (fokus juga pada protein rendah BV yang lain).

7. Lesu ketika bersahur, atau kurang berselera? Rujuk entri ini. Memandangkan sahur juga berperanan seperti sarapan pagi, tips yang disampaikan di sana mungkin membantu anda.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 24, 2010

Makan KFC di hujung minggu cara SS

Bulan lepas aku ada berkongsi dengan para pembaca akan tips untuk menikmati hidangan ayam di KFC secara sihat. Ramai yang suka dengan tip-tip tersebut, syukur. Tapi nak tahu la juga, berapa ramai yang praktikkannya?

Ayam yang baru dibeli, masih panas lagi ni..


Oh, tetapi kenapa kedua-duanya bahagian dada? Spicy pula tu. Nak tahu kenapa? Sila rujuk di sini.


Dah boleh makan ke ni? Nanti dulu, kita buat sedikit modifikasi.


Ok, dah siap. Baru boleh makan (selepas dibuang kulit, dan lebihan minyak dilap sedikit menggunakan tisu).


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 23, 2010

Joy, apa yang kau makan haaa?


Nasi Lemak. Nasi Goreng. Kuey Teow Goreng. Burger 'Ramon'*.

Empat jenis makanan tersebut terus ligat berlari-lari di segenap penjuru fikiranku. Sungguh aku berada dalam dilema. Hendak memilih yang mana? mana hidangan pemuas selera? mana pilihan hati sang raja?

Ah, tak mengapalah! Nanti pasti rakanku Izar dari kelas 5 Kejora akan datang menjengukku ke sini. Jam di dinding pun baru menunjukkan pukul 9 malam, sesi prep (preparation class) malam tersebut baru nak bermula, merepeklah kau Joy!

Sudah menjadi lumrah, penghuni sekolah berasrama penuh seperti aku akan berasa lapar pada sebelah malamnya. Tidak cukup makan barangkali? Atau adakah hidangan makan malam sebelum waktu maghrib sebentar tadi kurang berseri, hinggakan tidak mampu untuk membuka seleraku menambah nasi berulang kali? Begitulah juga dengan rutin 'budak asrama' yang lain. Tiada ruang santai untuk berhibur atau mengadap kaca televisyen. Kami wajib mengikuti sesi prep di sekolah pada sebelah malamnya untuk beberapa jam sebelum menunaikan solat Isyak secara berjemaah di surau.


Sejam sudah berlalu. Kalkulator saintifik yang ku pegang sedari tadi ku campakkan jauh-jauh. Aku benar-benar dibuai resah dan gelisah, kerana kata putus masih juga belum dibuat.

"Mana Izar dengan Kaq? Selalunya malam jumaat sebegini rajin berjalan-jalan dari kelas ke kelas," bisik hati kecilku. Aku pandang keadaan sekeliling kelas 5 Waruna, dan rata-ratanya semua rakan masih tekun menelaah dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi. Ku toleh pula ke belakang. Afiq masih menyembam kepalanya di atas meja belajar, sambil dilingkari kedua belah tangannya. Begitulah keadaannya lebih sejam yang lalu. "Nyenyak tidur ni," fikirku lagi.

Aku bingkas bangun lantas keluar menuju ke kelas 5 Kejora. Aku perhatikan sudah ramai yang berborak di beranda, seakan-akan wujudnya sebuah pesta. Aku menghampiri mereka, dan rupa-rupanya sesi memesan makanan sedang dilakukan. Tanpa membuang masa, aku mula membuka bicara,

"Mus, malam ni apa ada?"

"Macam biasa la ejoy. Hehe. Kuey Teow Goreng dan Nasi Lemak. Ko nak order tak?" jawab Mus, gayanya seperti seorang lelaki bisnes.

"Aku tak tahu lagi la Mus. Rasa macam nak makan nasi goreng 'ramon' dengan burger 'ramon' malam ni. Tapi ko paham-paham je la. Kalau lambat sikit, habis burger-burger tu."

"Hehehe. Baiklah. Tapi jangan fikir lama-lama sangat. Karang dah ramai yang order, bahagian ko pulak tak de. Jumlah terhad je ni."

"Ye ke, aiseh! Ini yang buat aku berada dalam dilema ni. Tak pe la, susah sangat, ko bagi la aku Kuey Teow goreng."

"Haaaa. Macam tu la. Nak yang biasa atau yang ada telur?"

"Biasa dah la. Sebungkus je tau. Aku rasa macam nak makan 'ramon' pula lepas ni, haha. Bayar macam biasa kan?"

"Yup, bayar bila nak tuntut nanti, kat dorm, bilik biasa tau."

"Ok Mus. Cantek bebenor la tu."

Perbualan ditamatkan, dan aku terus meninggalkan kekecohan tersebut dan menuju ke arah Izar yang sedari tadi tekun melukis. Budak kejuruteraanlah katakan. Secara perlahan aku menghampiri, lantas menegur beliau,

"Bro, apa cerita? Awat skema sangat?"

"Tadak cerita la, serabut ada la dok buat benda alah ini, leceh. Tak macam hang, kerja dok hapai buku Biology ja."

"Dah, tok sah merapu lagi. Ni, hang nak ikut aku ke tak? Kita pi pekena 'ramon'."

Mendengar sahaja perkataan ramon, Izar terus ketawa. Besar sekali ketawanya, sinis, sebelum membalas,

"Hang kalau ramon.. laju!"

"Beb, serius ni, kena cepat. kalau lambat, habis kena sambar dengan budak-budak pompuan yang tak sembahyang Isyak. Hang cuba bayangkan bau daging dalam..."

"Cet. Cilaka betui hang! Tiba-tiba aku terus rasa lapaq. Nak pi pukui berapa?"

"Hahaha. Kita gerak sekarang la, dah pukul 10.15 dah ni. Kalau gerak lambat, alamatnya memang penuh la pompuan dok kerumun sana."

"Ok ok. Aku kemas barang aku sekarang,"

"Ok, aku pun nak pi kemas jugak. Eh, nak ajak kaq sekali?"

"Kaq dia dah order Kuey Teow Goreng teloq dengan Mus, dua bungkuih!"

"Tapi sebenarnya, aku pun dah... tadak apa-apa la. Aku pi kemas sat. Tunggu kat tangga macam hari tu."

Bangunan Akademik

Selepas mengemas buku dan perkakas belajar, aku dan Izar bergegas menuju ke lokasi yang dimaksudkan. Kami menggunakan laluan yang sunyi dan gelap agar tidak dijejaki warden yang bertugas. Semakin lama, kelibat si penjual kerdil mula kelihatan disebalik samar-samar lampu 'pondok menunggu' berhampiran Aspuri*.

"Dik, Nasi Goreng ada lagi tak?" Sapa Izar dengan penuh ramah.

"Mestilah ada. Abang berdua ni first customer malam ni, hehe" balas kanak-kanak tersebut, cuba berseloroh. Aku anggarkan umurnya dalam lingkungan 10 hingga 11 tahun. Kadang-kadang aku berasa hiba, tetapi kagum dengan kecekalan beliau, kerana dalam usia semuda ini, beliau sedaya upaya cuba membantu meringankan beban keluarga, tanpa mengenal siang atau malam.

"Ok. Bagi abang 3 bungkus," aku secara tiba-tiba mencelah.

"3 bungkus?! Hang gila ka apa ni?" Izar seakan-akan terkejut dengan pesanan aku.

"Lapaq bro. Kalau lapaq, kena makan," balas aku kembali.

"Tak boleh jadi ni, aku pun kena bedal 3 bungkus jugak la." Ternyata nafsu Izar tercabar setelah mendengar pesanan aku tadi.

"Ok. 3 bungkus, jumlahnya seringgit lapan puluh sen," ujar si adik penjual. Lalu aku menghulurkan kepada beliau 2 keping wang kertas bewarna biru.

Selesai sahaja pembayaran, secara tiba-tiba muncul beberapa orang gadis, semakin lama semakin ramai jumlahnya. Aku memberi isyarat kepada Izar untuk mula beredar dan menuju ke lokasi yang lain.

"Hang nampak tak, apa akan berlaku kalau kita lambat tadi? Nampak tak?" Soal aku kepada Izar.

"Nampak ka, tak nampak ka, belakang cerita. Yang aku tahu, kita makan dulu, pastu baru pergi Surau sembahyang Isyak"

"Hang ni memang kelakar sungguh la! Jom, aku nampak bangku kat hujung tu, macam terlindung sikit dari pandangan orang. Kita santap kat situ lah, amacam?"

"Jom.."

Kegelapan malam itu menjadi saksi aktiviti sulit kami berdua. Jauh daripada pandangan manusia bernama warden, jauh juga dari pandangan rakan yang suka 'pow*' (meminta-minta). Meminta-minta? Aku tidak bermaksud menyamakan mereka dengan pengemis, malah aku sendiri pernah melakukan tabiat yang sama. Hakikatnya, itulah budaya asrama yang berpegang teguh pada prinsip 'Sharing is caring' - makanan yang ada haruslah dikongsi bersama. Namun apa lagi yang harus dilakukan jika jumlah makanan adalah terhad dan perut pula berasa lapar, seperti yang kami alami sekarang?

Tanpa bersuara, kami terus menikmati 3 bungkus nasi goreng yang dibeli dengan rakus sekali. Aroma bawang goreng dan sambal daging cincang benar-benar membuka selera kami berdua malam itu seluas-luasnya. Hantu? Penunggu? Langsuir? Semua perasaan takut itu kami buang jauh-jauh. Apa yang mengusai kotak fikiran kami hanya satu, iaitu kesedapan dan keasyikan menikmati Nasi Goreng Ramon. Tiada lain, hanya Nasi Goreng Ramon!

Selesai solat Isyak secara berjemaah di Surau, aku bergegas meninggalkan Izar yang sedang khusyuk berdoa. Tinggal satu lagi misi yang harus aku jejaki, iaitu menuntut Kuey Teow Goreng daripada Mus. Entah mengapa ketika ini aku masih belum berasa kenyang. Adakah aku benar-benar lapar, atau apa yang ku rasai hanyalah sekadar bayangan nafsu? Dalam perjalanan menuju ke lokasi Mus, aku sempat menjeling ke arah dewan makan yang mula dipenuhi para pelajar yang baru sahaja pulang dari Surau seperti aku. Aku? Tak mainlah biskut kering!

Setibanya aku di lokasi yang dimaksudkan, aku lihat bilik sudah pun lengang. Habis barangkali?

"Apa pasal lengang je Mus? Dah habis ke?"

"Memang dah habis, tinggal ko sorang je lambat, hehe. Nah, sebungkus kan?"

"Haah, ini duitnya"

"Terima kasih, halal yea ejoy"

"Halal.. wah, panas lagi ye Kuey Teow ni, memang mantap la Mus!"

Aku berlari-lari anak menuju ke kamarku yang terletak di tingkat 3 asrama Blok B, dan ternyata kamar masih gelap, menandakan penghuni yang lain masih belum pulang. Mungkin masih berada di dewan makan, menikmati beberapa hidangan supper berupa beberapa keping biskut kering bersama secawan milo susu.

"Biskut kering dengan Milo susu? Mana nak kenyang. Kuey Teow Goreng ni lagi best" bisik hatiku, sambil melonjak-lonjak kegembiraan. Berdebar. Aku fikir inilah waktu yang paling tepat untuk menikmati makanan yang lazat tanpa diganggu sesiapa, tanpa di 'pow'* oleh sesiapa. Namun, sedang aku tekun menikmati tidak sampai separuh juadah di depan mata, secara tiba-tiba aku mendengar derapan selipar dari arah luar dan...

"Haaaaaa. Joy, hang makan apa tu haaa?"

Alamak, Izar la!

*******
Kisah di atas adalah olahan semula kisah benar aku sewaktu belajar di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS). Moral daripada cerita, janganlah kedekut dengan makanan, kelak kamu juga akan rugi! (Gemuk = rugi)

*Glosari:
Ramon: Nama seorang perkerja sekolah di SERATAS. Beliau (menerusi anak-anak beliau) sering menjual makanan seperti burger dan nasi goreng pada sebelah malam di pondok menunggu.
Aspuri: Asrama Puteri (perempuan).
Pow: Adalah budaya meminta-minta makanan/duit daripada rakan yang cukup popular di sekolah, terutamanya sekolah berasrama.

Teka, aku yang mana?


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 22, 2010

Siri Khas Puasa: Persediaan Menghadapi Ramadhan (Bahagian 1)

Kudrat untuk menulis tajuk berkenaan puasa yang dicari-cari selama ini akhirnya tiba jua. Bukan apa, risau jika perkara yang ditulis nanti akan menimbulkan kontroversi dan kritikan-kiritikan daripada mereka yang berkenaan (mereka yang diiktiraf untuk berbicara berkenaan pemakanan dan kesihatan). Tapi tak mengapalah, demi para pembaca yang dikasihi, yang asyik bertanya tentang topik puasa ini di page Susu Sejat di Facebook, maka mulai entri ini aku akan menghuraikan topik puasa, pemakanan dan senaman yang berkaitan. Apa yang aku tulis dan bakal tulis kelak adalah berdasarkan pembacaan dan pengalaman aku dalam dunia 'senaman dan pemakanan'.
Dalam Islam, Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar, dahaga, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, dari terbit fajar (subuh) hinggalah terbenamnya matahari (maghrib).


Buat yang bukan beragama Islam, jangan 'klik' pangkah di penjuru internet browser anda dahulu. Siri khas berpuasa ni juga ditulis untuk anda, terutamanya yang sedang cuba untuk berjinak-jinak dengan puasa. Bukan apa, berpuasa ini kan banyak manfaatnya. Selain kelebihan dari segi rohani, berpuasa juga meningkatkan kesihatan fizikal, dan antaranya ialah:

1 - Terdapat beberapa jenis puasa. Selain daripada puasa yang diamalkan oleh umat Islam, terdapat juga sejenis puasa yang membenarkan individu tersebut untuk hanya mengambil jus dan air kosong sepanjang hari. Puasa sebegini bagus untuk pembersihan usus kecil (detoksifikasi atau penyahtoksin). Berat-mati pada dinding usus kecil harus dibuang kerana ia bersifat toxic, dan jika dibiarkan akan mendatangkan risiko seperti kanser usus.

2 - Dari aspek sukan dan latihan, berpuasa juga adalah sama fungsinya seperti sebuah butang 'reset', sebelum program yang baru boleh dimulakan. Memang tidak dinafikan akan hilang jumlah otot/progres yang banyak menerusi puasa, namun usah bimbang kerana otot/progres itu akan datang semula apabila berakhirnya tempoh berpuasa, dalam masa yang singkat. Ini akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam entri akan datang.

3 - Merehatkan sistem pencernaan yang bekerja hampir "24 jam sehari" sebelum ini, dan ini akan meningkatkan kecekapan sistem pencernaan kelak, sekaligus meningkatkan kadar pembebasan tenaga selepas berakhirnya bulan puasa (lebih sihat dan bertenaga).

4 - Kajian perubatan Barat juga menunjukkan terdapat beberapa jenis penyakit yang boleh dikurangkan risikonya menerusi amalan berpuasa. Misalnya, demam, bronkitis, sakit kepala, sembelit, sakit perut, alergi, asma, insomnia, masalah kulit, kencing manis, keletihan, kegemukan, kanser dan sawan babi (epilepsi).

5 - Berpuasa juga membuatkan anda berasa lebih tenang, mengurangkan kesan penuaan, memperbaiki penglihatan dan pancaindera, memperbaiki pendengaran, dan meningkatkan kreativiti.



Masalah umum berkaitan perut ketika mula berpuasa

Cepat lapar - Antara masalah yang bakal dihadapi mereka yang sudah biasa dengan corak pemakanan 5-6 kali sehari (pengambilan beberapa hidangan kecil dengan kadar kerap) ialah masalah cepat lapar. Pada hari biasa (bukan puasa), perut sudah dilatih untuk menerima makanan dalam kuantiti yang kecil, namun diberi secara kerap/berterusan. Cara ini meningkatkan kadar metabolisma, bererti badan sentiasa memerlukan bekalan tenaga yang berterusan buat menampung kadar metabolic dan kerja seharian yang dilakukan. Walaubagaimanapun pembekalan tenaga secara berterusan ini tidak dapat dilakukan ketika berpuasa, dan ini membuatkan perut sentiasa 'meminta-minta' untuk diisi. Keadaan ini berbeza dengan satu lagi situasi iaitu 'lapar kerana nafsu'.


Gastrik (gastritis) - Seseorang juga cenderung untuk mendapat gastrik ketika berpuasa, hanya disebabkan peningkatan tahap keasidan dalam perut berikutan ketiadaan makanan. Asid sedia ada yang membantu mencernakan makanan telah berkumpul pada bahagian lapisan perut (mukosa) dan 'bertembung' bersama satu lagi asid yang terhasil secara semula jadi (tindak balas kimia).


Persediaan fizikal

Soalan daripada saudari Jazlin di Facebook:

"kepade encik susu sejat. saye ade satu soalan ni (haha skema gle kan). ok menjelang ramadan yg akan tiba, dan mengambil kesempatan rejab dan syaaban ini, saya ada 1 soalan. bagaimanakah perancangan sahur yg sesuai utk org yg ada masalah gastrik, supaye mereka berupaya menjalani puasa seharian? k timaseh :)"

Tips berikut boleh dipraktikkan untuk mengatasi kedua-dua masalah di atas, kecuali tip yang ke-5, 7, dan 10, yang ditulis khas untuk mengatasi masalah gastrik.

1 - Lakukan latihan berpuasa. Antaranya adalah dengan amalan berpuasa sunat, sedikit demi sedikit (tidak semestinya setiap hari), menjelang puasa sebenar iaitu Ramadhan. Ini untuk memastikan perut boleh menyesuaikan fisiologinya dengan situasi berpuasa dan tidak terlalu 'terkejut' dengan puasa sebenar di bulan Ramadhan. Sekarang mungkin ramai (yang beragama Islam) sudah dapat mengaitkan kenapa kita disunatkan untuk berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban. Mula bina momentum puasa itu.

2 - Pastikan untuk mengambil makanan yang ringan 1-2 jam sebelum tidur (namun tidaklah terlalu mengenyangkan), terutamanya yang melibatkan karbohidrat kompleks seperti oat atau wholegrain. Ingatlah bahawa ini BUKAN sahur anda.

3 - Jangan sesekali mengabaikan sahur. Fokus juga kepada pengambilan karbohidrat kompleks seperti oat dan roti gandum penuh. Ambil jumlah protein yang mencukupi dan fokus kepada protein yang mempunyai rendah biological value seperti ayam, ikan, dan sumber kekacang. Bila untuk bersahur? Selewat yang mungkin, menghampiri waktu Imsak. Rancang waktu pemakanan sahur anda sebaik mungkin agar anda mempunyai masa yang mencukupi untuk makan semua makanan yang diperlukan. Topik berkenaan sahur akan aku kupas dengan lebih lanjut dalam bahagian yang akan datang.

4 - Elakkan tabiat terus tidur sebaik habis menikmati sahur kerana ia menimbulkan masalah pada sistem penghadaman. Malah, sahur sudahpun dianggap seperti sarapan pagi anda dan makanan yang dinikmati sememangnya berat.

5 - Terdapat kajian yang menunjukkan gastrik juga adalah disebabkan kewujudan bakteria helicobacter pylori. Sebagai langkah berjaga-jaga, makan yoghurt ketika tempoh berbuka puasa. Yoghurt mengandungi kultur hidup berguna seperti Lactobacilus acidophilus dan bifidus, yang mampu menyesarkan kolonisasi h.pylori.

6 - Makan secara perlahan. Pastikan makanan dihancurkan sebetul-betulnya, sebelum ditelan.

7 - Sesetengah sayuran mengeluarkan banyak gas seperti brokoli, kubis, petai dan kacang soya. Hindari makanan ini (jika sejarah lampau menunjukkan anda sememangnya cenderung untuk mendapat gastrik).

8 - Bersederhana semasa berbuka dan tidak mengambil makanan secara berlebihan kerana ini mungkin menyebabkan sebu hulu hati.

9 - Pastikan untuk mengambil sekurang-kurangnya 2/3 daripada jumlah kalori seharian (DCR) pada sebelah malam. Contohnya, jika DCR anda ialah 1500kcal, anda harus makan melebihi 1000kcal sehari (pada sebelah malam) tidak kira walau apa pun yang terjadi.

10 - Dapatkan nasihat doktor. Mudah bukan? Anda mungkin akan diberi pil berasaskan "Ranitidine hydrochloride" yang berfungsi menghalang penghasilan asid dalam perut, jika kes gastrik anda terlalu ketara dan parah.

(bersambung di bahagian 2..)

*******
Mulai minggu ini, Susu Sejat memperkenalkan sebuah siri baru yang dikenali sebagai "Siri Khas Puasa". Selain daripada mendidik umat Islam untuk menunaikan rukun Islam yang ketiga, Siri ini juga ditulis bertujuan untuk memberitahu para pembaca tanpa mengira agama, akan kebaikan dan kelebihan berpuasa dari aspek pemakanan, senaman dan kesihatan. Siri ini akan membincangkan beberapa tajuk berkenaan puasa, antara lain:

Siri Khas Puasa: Persediaan Menghadapi Ramadhan (Bahagian 1)
Siri Khas Puasa: Bersahur (Bahagian 2)
Siri Khas Puasa: Berbuka Puasa (Bahagian 3)
Siri Khas Puasa: Senaman? (Bahagian 4)
Siri Khas Puasa: Puasa, metabolisma, dan berat badan (Bahagian 5)
Siri Khas Puasa: Berpuasa Diluar Negara (Bahagian 6)
Siri Khas Puasa: Gaya hidup secara keseluruhan (Bahagian 7)

Bahagian-bahagian yang lain boleh dibaca di sini.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa," [Qur'an 2:183]


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 21, 2010

Tip 6: Jus yang mana pilihan hati?

Hari ini, Susu Sejat hendak memberitahu para pembaca perkara yang harus diketahui untuk menjadi pengguna yang bijak: mengetahui tidak semua yang tertera pada label itu bagus seperti yang didakwa. No Sugar Added? Reduced-Fat? Low-Sodium? Pernah dengar istilah-istilah sebegini di televisyen? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Pilihan yang pertama (kiri), atau pilihan yang kedua (kanan)?


Pilihan 1: Marigold Peel Fresh: Mixed Carrot Fruits

  • Diperkaya dengan Vitamin A, C, dan E, iaitu merupakan kelompok antioxidants yang mampu untuk meneutralkan kembali zarah bebas (free radicals). Free radicals adalah antara faktor penuaan sel.
  • 38mg Vitamin C didalam setiap hidangan 250ml (sekotak) adalah lebih 100% daripada yang dicadangkan/diperlukan oleh seseorang dalam sehari.
  • Juga mengandungi Beta-carotene, perkusor untuk Vitamin A (iaitu Vitamin A yang belum diaktifkan lagi, dan hanya diaktifkan dalam badan). Tahukah anda, istilah Beta-carotene diambil daripada istilah Lobak/carrot dalam bahasa latin (Carotene).
  • Rendah kandungan gula. Sekotak Marigold Peel Fresh (Mixed Carrot Fruits) mengandungi tidak sampai 1 sudu teh gula!
  • Rendah kandungan sodium (garam). Sekotak cuma mempunyai 45mg sodium.

Bagaimana pula dengan rasa Marigold Peel Fresh yang pertama ni? Disebabkan carrot telah dicampurkan dengan buah-buahan citrus seperti buah oren, maka rasa minuman ini bagi aku adalah sedikit pelik. Pelik bagaimana tu? Itu subjektif dan rahsia, kamu kena beli dan rasa sendiri untuk tahu. Tapi percayalah, rasanya masih manis dan sedap, namun tidaklah semanis minuman jus yang lain. Susu Sejat beri 4 daripada 5 bintang untuk minuman ini.

Maklumat pemakanan untuk Marigold Peel Fresh (Mixed Carrot Fruits)


Pilihan 2: Marigold Peel Fresh: Anggur dan buah delima (pomegranate)

  • Percaya atau tidak, meskipun produk ini ditulis "No Sugar Added" (tiada penambahan gula), namun rasanya jauh lebih manis daripada jus yang pertama tadi. Mana tidaknya, setiap hidangan 250ml (sekotak) mengandungi 26.3g gula, iaitu kira-kira bersamaan dengan 6 sudu teh gula!
  • Kandungan Vitamin C juga adalah sama seperti yang pertama tadi, namun tidak mengandungi Vitamin A, E dan beta-carotene.
  • Tinggi sedikit kandungan sodium (garam) berbanding yang pertama tadi. Sekotak mengandungi 70mg sodium.
  • Susu Sejat beri 2 bintang sahaja untuk produk ini.

Maklumat pemakanan untuk Marigold Peel Fresh: Anggur dan Buah Delima

Walaubagaimanapun, kedua-dua produk di atas masih mempunyai jumlah karbohidrat dan kalori yang hampir sama. Mungkin ada sesetengah individu yang hanya sekali pandang merujuk kepada ruangan nilai kalori, dan tanpa berfikir panjang pasti membeli pilihan no. 2 (atas faktor label "no sugar added" tadi). Pilihan no. 2 itu tidaklah teruk jika diambil pada awal pagi atau ketika berbuka puasa, namun jika anda bercadang untuk minum jus sebelum masuk tidur, memilih pilihan no. 2 adalah kesilapan yang paling besar telah anda lakukan.

Gula adalah karbohidrat yang mempunyai nilai G.I (Glycemix Index) yang tinggi, dan mengambilnya ketika anda berada dalam fasa tidak aktif, seperti tidur, akan mengakibatkan sebahagian daripadanya disimpan sebagai lemak. Pilihan no.1? Sekotak (250ml) boleh diambil pada bila-bila masa kerana bagi Susu Sejat ia adalah jus yang kurang manis dan ringan.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 20, 2010

Teknik menyingkirkan 'Double Chin'

Pernah terfikir untuk membuang ...

... ini

... dan ini (alahai, terlindung pula), supaya mendapat hasil seperti ...

... ini?!

Inilah yang dikenali sebagai 'double chin' atau jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, 'dagu berganda' (namun lebih mudah difahami dengan istilah 'dagu berlapis'). Apakah yang menyebabkan wujudnya double chin ini? Double chin wujud kerana kehadiran subcutaneous fat (lemak bawah kulit) yang mengelilingi ruang bawah kepala di antara dagu dan leher, dan terkumpul.

Ramai yang tidak suka akan kewujudan double chin kerana ia membawa maksud seseorang itu obese (atau bakal obese). Bagi perempuan yang mengenakan tudung/skaf, kewujudan double chin pasti akan menjadi semakin ketara kerana tudung/skaf akan 'mencekak' dan menolak kulit di bahagian yang berkenaan ke hadapan, membuatkan mereka seolah-olah memiliki 'dua dagu' .

Cukup bercerita berkenaan apa itu double chin, kerana aku pasti satu-satunya perkara yang ingin anda ketahui sekarang ialah, bagaimana hendak menyingkirkan double chin. Secara umum, teknik yang harus diguna pakai adalah sama seperti hendak menurunkan Body Fat %. Namun adalah lebih baik jika aku menulis kembali langkah-langkah tersebut secara spesifik, dan 4 langkah-langkah berikut pernah aku amalkan untuk menyingkirkan double chin yang pernah aku miliki. Kalian juga boleh mencubanya.


1 - Kawal pengambilan kalori (defisit kalori)
Untuk menurunkan subcutaneous fat, kita kena pastikan yang subcutaneous fat itu digunakan sebagai sumber tenaga alternatif. Dan untuk menjadikannya sebagai sumber tenaga alternatif, kita kena pastikan yang bekalan tenaga (DCR) kurang dari yang sepatutnya. Hanya semudah itu.

2 - Kardio, bersukan, bersenam
Apabila badan kekurangan sumber tenaga yang sepatutnya (Muscle glycogen, liver glycogen, BBA), badan akan mula menggunakan lemak badan sebagai sumber tenaga alternatif. Sumber tenaga ini (lemak) tidak terhad diambil dari satu-satu bahagian sahaja. Boleh jadi ia adalah lemak dari bahagian tangan, kaki, dada dan bawah dagu. Perut (bagi lelaki) dan punggung (perempuan) adalah 2 tempat terakhir (paling liat) di mana badan akan 'mengorek' lemak badan. Maka, anda masih mempunyai peluang untuk menyingkirkan lemak di bawah dagu (double chin) dengan sedikit mudah.

"En. Susu, kalau berjoget macam ini pun kira kardio ke?"

3 - Gula-gula getah
Otot muka perlu dilatih untuk menjadi 'kuat' agar boleh membakar kalori secara teratur. Salah satu daripadanya ialah dengan mengunyah gula-gula getah (pilih yang sugarfree). Ubah mentaliti kanak-kanak bahawa mengunyah gula-gula getah adalah kerana manisnya. Jika boleh, sebiji gula-gula getah hendaklah dikunyah berjam-jam lamanya, sehingga muka menjadi kebas (baru berhenti). Namun janganlah disalah anggap kerana ketika mengunyah gula-gula getah, otot muka sebenarnya TIDAK MEMBAKAR LEMAK, tetapi hanya membakar kalori. Lemak badan hanya dibakar dengan banyak menerusi kardio.

4 - Senaman muka
Berdiri di hadapan cermin dan sebut A - E - I - O - U, gerakan secara perlahan, namun cuba cekangkan otot muka (platysma) ketika menyebutnya. Kemudian masamkan muka untuk beberapa saat, seperti pada gambarajah di sebelah kanan, sambil diselang selikan dengan senyum (rujuk gambarajah di akhir entri ini). Ulangi ketiga-tiga langkah di atas selama 3-5 kali, setiap pagi, selepas menggosok gigi.


5 - Cara BONUS
Ini aku cuma nak kongsikan sahaja, dan aku sangat tak galakkan sebab ianya berisiko dan merbahaya. Iaitu mengunyah gula-gula getah ketika berkardio/bersukan. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ini adalah sesuatu yang mustahil kerana mengunyah gula-gula getah ketika berlari adalah sesuatu yang sukar dilakukan, malah memenatkan! Namun, siapa sangka dengan teknik ini, aku bukan sahaja mengstimulasikan otot muka untuk lebih membakar lemak ketika berlari, malah meningkatkan stamina berlipat-lipat kali ganda. Ianya merupakan teknik latihan pernafasan paling sempurna pernah aku lalui. Namun sekali lagi, jangan buat, melainkan kalian benar-benar mahir mengawal pernafasan, dan lakukannya atas risiko sendiri. Nanti kalau tercekik, jangan salahkan Susu Sejat pula.

Komen Susu Sejat: Dalam banyak-banyak kes, hilangnya double chin adalah berkadar langsung dengan penurunan berat badan. Namun bagi mereka yang tidak obese tetapi memiliki double chin, atau pipi chubby (atas faktor genetik), 4 langkah-langkah yang aku nyatakan tadi mungkin berguna buat kalian. Selamat mencuba!

"Smokey!!"


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 19, 2010

8 Cara mutlak untuk menurunkan Body Fat %

Siapa sangka, 5 daripada 8 cara untuk menurunkan Body Fat Percentage (BF %) sudah pun dibincangkan sebelum ini di SusuSejat.Com. Berikut merupakan 8 cara MUTLAK yang boleh dipraktikkan untuk menurunkan BF %, disusun daripada yang paling disyorkan (1) hinggalah kepada yang paling kurang disyorkan (8).


1 - Amalkan kardio, menggunakan strategi untuk 'fat burn'. Rujuk entri Kardio - Katalis kepada 'Fat Burn' [Fokus Penurunan: Subcutaneous fat, Visceral fat]

2 - Tingkatkan kadar metabolisma. Rujuk entri Kisah Metabolisma (Bahagian 2) [Fokus Penurunan: Subcutaneous fat, Visceral fat]

3 - Kurangkan pengambilan kalori, untuk menghasilkan defisit kalori. Rujuk ruangan Kelas Kalori [Fokus Penurunan: Subcutaneous fat, Visceral fat]

4 - Pelajari teknik yang betul dalam memilih karbohidrat dan protein, serta sumber phytochemicals (sayur-sayuran). Rujuk entri "Tolong! Apa yang patut saya makan?" [Fokus Penurunan: Visceral fat]

5 - Pantau dan catat angka Body Fat Percentage, dalam semimggu sekali. Rujuk entri Apa itu "Body Fat Percentage"? (eh, ini entri semalam) [Fokus Penurunan: Subcutaneous fat, Visceral fat]

6 - Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu (saturated fat) seperti daging lembu, daging kambing, burger daging lembu, makanan yang menggunakan minyak sapi (nasi beriani), dan sebagainya. [Fokus Penurunan: Visceral fat]

7 - Teknik khas pengiraan Kalori secara 'spesifik', iaitu memantau pengambilan kalori yang diperlukan oleh 'lean mass' (otot sebenar), tidak seperti DCR/BMR yang kurang tepat kerana dibentuk dengan mengambil nilai berat badan seseorang secara umum (otot + lemak). Ini bererti anda perlu memantau pengambilan 3 jenis kalori dalam sehari, iaitu kalori daripada karbohidrat, kalori daripada protein, dan kalori daripada lemak, secara spesifik. Bunyinya sungguh kompleks? Ya, memang kompleks, meskipun LEBIH TEPAT kerana ia diguna pakai secara meluas dalam arena bina badan (ahli bina badan mempunyai 3% - 5% Body Fat!), dan Susu Sejat MUNGKIN akan membincangkan bab berkenaan ini suatu hari nanti, bergantung kepada pemintaan para pembaca. [Fokus Penurunan: Subcutaneous fat, Visceral fat]

8 - Mengambil supplemen seperti 'fat burner'. Namun aku tidak akan membincangkan hal ini dengan lebih lanjut kerana aku sendiri tidak pernah mendapat sebarang hasil positif ketika mengamalkannya suatu ketika dahulu. Sesetengah produk 'fat burner' mungkin tidak sesuai/mujarab untuk sesetengah orang, dipendekkan cerita 'fat burner' belum tentu lagi menjanjikan 100% hasil yang dikehendaki. Ia bergantung kepada individu yang memakainya. [Fokus Penurunan: Subcutaneous fat]

Komen Susu Sejat: Meskipun terdapat 8 cara yang disenaraikan di sini, aku beranggapan mengamalkan cara 1 hingga cara 6 adalah memadai untuk menurunkan BF % kepada beberapa angka. Apa yang penting ialah komitmen dan disiplin yang berterusan daripada setiap individu. Semoga berjaya...

P/S: Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan takziah kepada keluarga cikgu Kamarudin, salah seorang cikgu Bahasa Melayu yang pernah berkhidmat di SERATAS (Taiping) ketika aku masih bersekolah di sana. Kali terakhir aku bertemu beliau adalah ketika terserempak di Taman Tasik Taiping, beriadah. Beliau meninggal dunia pagi semalam, atas faktor sakit jantung. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Buat pembaca yang beragama Islam, sedekahkanlah surah Al-Fatihah.

Al-Fatihah..



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 18, 2010

Apa itu "Body Fat Percentage"?

1) Apakah yang dimaksudkan dengan "Body Fat Percentage"?

Body Fat Percentage (BF %), atau dalam bahasa melayunya peratusan lemak badan, adalah merupakan angka peratusan lemak yang terkandung dalam badan kita. Secara matematiknya,

BF % = [Jumlah berat lemak badan / Jumlah berat badan] x 100

Sebagai contoh, jika berat badan Ali ialah 80kg, dan beliau mempunyai BF % sebanyak 20%, maka jumlah lemak badan yang beliau miliki ialah 0.2 x 80 = 16kg

Salah satu cara untuk menentukan BF % adalah menggunakan pita pengukur


2) Adakah BF itu mempunyai pelbagai kategori?

Ya. Secara umum, BF dibahagikan kepada 2 kategori iaitu "essential body fat" (wajib dimiliki oleh semua untuk terus hidup) dan "storage body fat" (tidak wajib dimiliki untuk terus hidup). "storage body fat" pula boleh dipecahkan kepada 2 jenis lagi, iaitu "subcutaneous fat" (terletak dibawah tisu adipos/kulit manusia) dan "visceral fat" (terletak berhampiran dengan organ dalaman seperti hati dan jantung).


3) Yang mana satu tidak elok dan perlu dibuang?

"storage body fat" adalah yang tidak elok dan perlu dibuang. Ia terhasil apabila seseorang itu mengambil jumlah kalori, terutamanya daripada lemak tepu (saturated fat) dan karbohidrat tinggi GI (glycemic index) seperti gula, secara berlebihan. Sumber tenaga seperti ini yang tidak diperlukan oleh badan (apabila jumlah kalori yang diambil melebihi daripada jumlah yang diperlukan) akan ditukar kepada lemak badan. Sebagai contoh, glycogen yang berlebihan akan ditukar kepada lemak oleh hormon insulin secara serta merta, dan lemak inilah yang dikenali sebagai "storage body fat".

Sampai pada satu tahap, apabila "storage body fat" telah berkumpul, ini akan mendatangkan kesan sampingan lain, terutamanya yang melibatkan kategori "visceral body fat". Sebagai contoh, "visceral body fat" yang mengelilingi jantung akan membuatkan jantung individu tersebut sukar untuk mengepam darah dengan baik, sekaligus menyebabkan apa yang kita kenali sebagai penyakit lemah jantung.


4) Visceral body fat? Bunyi macam menakutkan jer.. boleh cerita lagi bagaimana nak menghilangkannya?

Visceral body fat adalah yang paling membahayakan kerana ia 'sukar dilihat dengan mata kasar'. Tidak seperti kategori "storage body fat" yang satu lagi, iaitu "subcutaneous fat", yang senang dilihat dengan mata kasar (kita boleh tahu sama ada kulit seseorang itu mengandungi lemak dibawahnya berdasarkan berapa banyak definisi otot dan urat yang kelihatan). Pakar perubatan mengesyorkan tiada cara lain yang dapat menyingkirkan "visceral body fat", melainkan melalui senaman secara berterusan sepanjang hayat. Siapa sangka, senaman seperti berjalan kaki di taman sebanyak 3 kali seminggu mampu mengatasi peningkatan jumlah "visceral body fat".


5) Adakah setiap orang itu mempunyai BF % yang berbeza?

Secara fitrah, wanita mempunyai BF % lebih banyak berbanding lelaki. "Essential body fat" bagi lelaki ialah 1-3% manakala bagi perempuan pula ialah 10 -13%. Ini kerana lemak diperlukan pada bahagian tertentu wanita seperti paha dan punggung untuk tujuan proses melahirkan anak, dan ini (kewujudan lemak pada paha dan punggung) dipengaruhi dengan faktor kehadiran hormon estrogen.


6) Mana yang lebih tepat untuk menentukan tahap kesihatan kita, penentuan menerusi BMI (Body Mass Index) atau BF %?

Susu Sejat fikir BF %. Kenapa? Kerana BMI hanya melibatkan dua variable iaitu berat dan ketinggian. Bayangkan atlet yang berbadan besar seperti atlet bina badan yang mempunyai berat menghampiri 100kg. Rata-rata BMI golongan ini melebihi paras 25, namun adakah mereka obese? Tidak.

Malah, BF % mereka jauh lebih rendah berbanding mereka yang kononnya mempunyai BMI bawah 25 (normal). Tidak seperti angkatan tentera negara kita yang menggunakan BMI dalam mengukur tahap kelayakan seseorang untuk masuk tentera, di US tahap kelayakan untuk menyertai tentera adalah berdasarkan BF %.

Secara umumnya, penentuan status kesihatan seseorang berdasarkan peratusan BF % adalah seperti berikut:



7) Bagaimana hendak menetukan BF % kita?

Cara paling mudah (paling tepat) ialah dengan menggunakan "Hand-Held Body Fat Machine" yang boleh dibeli di farmasi. Dengan alat ini, kita cuma perlu masukkan nilai seperti berat, umur, dan ketinggian, dan pegang alat tersebut untuk beberapa saat sebelum bacaan yang dikehendaki keluar; namun harganya agak mahal (beratus-ratus ringgit). Cara kedua paling mudah ialah dengan berkunjung ke pusat-pusat kesihatan/hospital (sesetengah doktor memiliki alat yang boleh menentukannya), atau gym. Alat (mesin awam) untuk menentukan BF % ini juga terdapat di Tesco atau pusat membeli-belah tertentu, dan memerlukan RM1 - RM2 untuk sekali bacaan.

Cara yang tidak menggunakan alat pula (cara klasik), antaranya ialah menggunakan 'skinfold method' yang menggunakan angkup kulit. Cara seterusnya menggunakan applikasi javascript, dan anda hanya memerlukan pita pengukur. Masukkan nilai yang diperolehi untuk ukuran badan tertentu (seperti dalam gambarajah berikut) ke dalam laman web berikut dan anda akan mendapat bacaan BF % yang diperlukan. Sungguh mudah.


Cara berikut pula (mungkin kurang tepat) adalah berdasarkan anggaran menerusi BMI. Formula berikut boleh digunakan:

Formula untuk kanak-kanak: Body Fat % = (1.51 x BMI) - (0.70 x Umur) - (3.6 x Jantina) + 1.4

Formula untuk orang dewasa: Body Fat % = (1.20 x BMI) + (0.23 x Umur) - (10.8 x Jantina) - 5.4

dimana untuk ruangan jantina, Lelaki = 1, Perempuan = 0.


Tahukah anda: Turun berat badan dan Turun berat lemak badan adalah dua perkara berbeza, dan memerlukan strategi yang berbeza?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 17, 2010

Buying 'beauty foods' the Malaysians' way

Location: Pasar Simpang, Taiping, Perak
Camera: Motorola V3 Razr
Date Taken: 10 July 2010

Ever wonder why our country is so unique? Take a look at these few snapshots.






In Malaysia, in order to get these 'beauty foods', doesn't mean you have to drive yourself to hypermarket like Tesco, Carrefour, and Giant. Unlike here, Western countries don't have what so called 'wet market', where you can hear bargains between the seller and the customer. Quality food, with a decent price. Where else you can have this kind of situation?

Proud to be a Malaysian.


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 16, 2010

Kenaikan harga gula: apa pandangan Susu Sejat?

Harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai hari ini. Seperti biasa, terdapat 2 pihak yang akan beradu pendapat, sekolompok yang pro kerajaan, dan sekelompok lagi yang pro pembangkang. Namun apa yang kita dapat sebagai pengguna melalui perdebatan ini? Tiada apa-apa. Apa yang termaktub, sudah termaktub, dan keputusan sudah pun diambil. There is no turning back.

Petrol RON 95 naik sebanyak 5 sen seliter, dan mungkin ada yang akan berkata, "Memanglah 5 sen itu suatu angka yang kecil, namun apabila dijumlahkan, akan menjadi beratus ringgit juga, kerana dalam setahun, kenderaan kita akan menggunakan minyak beribu-ribu liter banyaknya". Pandai betul insan yang mengeluarkan ungkapan sebegini, namun bagi aku, kenyataan ini sungguh ironi kerana:

1) Sebelum kenaikan harga petrol, ramai yang langsung tidak terfikir akan kuasa, bukan sahaja 5 sen, malah 1 sen itu sendiri. Baki duit 5 sen yang diperolehi, adakah sudi diterima? Rasa-rasanya kalau dicampakkan sahaja pun mesti tak kisah. Kalau terjumpa duit 5 sen di kaki lima sekalipun, pasti hanya memandang dengan sebelah mata. Tapi apabila harga petrol sudah dinaikkan 5 sen, baru nak melenting. Gelabah.

2) Bab-bab duit, pandai pula nak berkira sedemikian rupa. Jumlah setahun kononnya. Tetapi apabila datang kepada perkara yang lebih penting berkaitan diri kita, nyawa kita: bab pemakanan dan kesihatan, ada mereka kisah? "Alahai, sekeping coklat jer, mungkin 100kcal, tapi berapa la sangat nilai tu. Hujung minggu ni kalau ada masa bolehlah bersenam, cover balik" (Itu pun kalau pergi bersenam, kalau tak bersenam?). Pernah tak terfikir, 100kcal sehari itu apabila dijumlahkan dalam setahun, bersamaan dengan berapa? Nanti bila berat badan bertambah, mulalah nak melenting. Gelabah.

Sebagai makhluk yang mempunyai akal fikiran, kita tidak harus menoleh ke belakang dalam mencari jalan penyelesaian. Apa yang kita perlu lakukan ialah mencari sebuah formula untuk 'merintangi' kembali (memintas) KESAN kenaikan harga barang tersebut. Bagaimana caranya? Salah satu caranya adalah menerusi gaya hidup.

Masih ingat entri aku yang bertajuk "Ironi Malaysiaku..", fakta yang kelima - Merungut apabila kehabisan stok gula di kedai runcit, atau apabila harga gula di pasaran dinaikkan. Tetapi apabila minum diluar, langsung tidak kisah membelanjakan RM2 untuk membeli minuman manis yang hanya mempunyai beberapa sudu teh gula, sedangkan sekampit gula 1kg berharga cuma RM1.60 (kini dah RM1.70).

Maksud aku di sini mudah, jika kita hendak berhujah berkenaan kuasa '5 sen' dan kuasa '10 sen' tu, cuba tanya diri kita sehabis mungkin terlebih dahulu, sudah sehabis 'bijakkah' gaya hidup kita selama ini? Bagi aku, langkah yang bijak tu adalah kurangkan manis dalam masakan dan minuman yang dibancuh. Dan tanya juga pada diri kita, perlukah dipesan minuman manis ketika makan/lepak bersama keluarga dan teman-teman diluar? Berbaloikah aku membelanjakan RM1.50 untuk secawan Teh O yang hanya mempunyai beberapa sudu teh gula? Fikir-fikirkanlah.

Para peniaga, aku memahami bahawa kesan kenaikan gula dan gas ini pasti membebankan anda. Tetapi aku lebih suka jika makanan dan minuman yang kalian sajikan itu dikurangkan kandungan gulanya. Pernah suatu ketika dahulu aku berkunjung ke sebuah gerai makan bersama seorang rakan di Taiping, dan rakan aku itu memesan secawan sirap ais. Nak tahu bagaimana rasa air sirap tersebut? Berpadanan dengan namanya 'sirap', rasanya juga sungguh manis seperti sebuah pati sirap.

Malah tempoh hari juga aku pernah menegur ibuku supaya mengurangkan kandungan gula dalam kek lapisnya, jangan terlalu terikat dengan resepi yang diberi. Dan aku juga ingin mengesyorkan kepada pembuat-pembuat kuih-muih/biskut/kek agar mempraktikkan cara yang sama. Risau akan merosakkan rasa/resepi kalian? Lakukan beberapa eksperimen. Bayangkan satu jag air oren yang mengandungi 20 sudu besar gula. Andaikata dikurangkan 1-2 sudu besar gula didalamnya, rasa-rasa terdapat perbezaan yang besarkah dari segi kemanisan, dari yang pertama tadi?

Alahai, itu baru dari segi gula. Perlukah Susu Sejat huraikan bagaimana untuk mengatasi kenaikan harga petrol? Pembaca Susu Sejat kan golongan yang bijaksana, pasti dapat memikirkannya, bukan?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails