June 27, 2010

Kisah si Samsul: Sesuatu yang harus anda renungkan..

Samsul meneliti satu persatu fail yang dipinta oleh setiausahanya untuk disemak. Sejak dinaikkan pangkat oleh majikannya, Samsul berpuas hati dengan keadaan hidupnya yang jauh lebih selesa berbanding beberapa tahun yang lalu. Namun, sesekali Samsul merasakan terdapat sesuatu yang kurang dalam hidupnya. Sesuatu yang sukar untuk dijawab oleh dirinya sendiri.

"Banyak ni.. mana boleh siap sekali gus dalam petang ni," keluh Samsul, diikuti satu lelah yang panjang.

Sambil bersandar pada kerusi malas 'leather' hitam, beliau memandang tepat ke arah siling, kaku buat beberapa ketika, diam seribu bahasa.

"Dimana aku suatu ketika dahulu?" soalan ini tiba-tiba muncul dalam kotak fikirannya.

10 tahun yang lalu..

"Samsul! Tolong mak jap, beli kicap dengan telur. Mak nak masak nasi goreng ni, buat kamu dan adik-adik kamu makan. Abah tak balik, dia kerja lebih masa malam ni," tempik Mak Kiah dari dapur.

"Ala.. mak ni. Asyik-asyik nasi goreng, asyik-asyik telur kicap. Bosan la mak. Samsul nak makan KFC. Samsul suka KFC!"

"Samsul, Samsul.. banyak la duit ko. Minggu lepas kan baru makan. Tunggu la abah dapat gaji hujung bulan nanti, baru kita makan lagi. Kita bukan orang senang Samsul. Ingat tu.." tegur Mak Kiah lembut.

"Ye la, ye la.. bak duit nyer. Kasi lebih sikit tau, nak Upah.."

"Samsul.. Samsul, nah amek 5 ringgit, nanti ambil singgit buat belanja sekolah besok sekali, baki pulangkan balik tau."

Setelah mendapat wang yang diminta, Samsul terus berlalu, sambil menjeling ke arah adik-adiknya yang sedari tadi mendengar perbualan mereka anak beranak.

"Along.. nanti along beli 'Nyam Nyam' untuk adik moleh? Alau tader 'Nyam Nyam', beli Tora pun adek tak kesah, dapat menan.." ujar Samsiah, adik bongsu Samsul. Usianya baru mencecah 4 tahun.

"Banyak la ko punye Tora! Tengoklah, nanti kalau ada belen Along beli Choki Choki," sindir Samsul dengan nada yang sedikit tinggi.

Dibukanya pintu hadapan rumah, lalu mencapai basikal BMX pemberian bapanya sebagai hadiah berkhatan 5 tahun yang lalu.

"Alahai, pancit pulak tayar belakang.. Ni mesti kerja Angah.." monolog Samsul.

Sambil memerhatikan kaki langit Bukit Larut yang kemerah-merahan, beliau bermonolog lagi.

"Tapi hari dah nak Maghrib.. hmmm, jalan kaki aje la, nak buat macam mana.."

Samsul akhirnya mengambil keputusan untuk meredah senja meskipun hatinya begitu berat untuk berjalan kaki ke kedai. Sambil ditemani bunyian burung yang mula mencari jalan pulang ke sarang, dipegangnya dengan erat wang pemberian ibunya tadi, khuatir jika ianya tercicir. Sesekali sayup kedengaran kalimah azan dari surau yang berdekatan menandakan bermulanya peralihan masa milik dua alam yang berbeza. Perjalanan Samsul ke kedai pula memakan masa kira-kira 15 minit, dan semestinya hari akan menjadi semakin kelam ketika pulang nanti.

Setibanya di kedai runcit, Samsul terus meminta barang yang dipesan oleh ibunya tadi.

"Ini kicap Lohaya talak sedap la adek.. kalau lu mau sedap, ambil kicap cap Kipas Udang la, lemak manis woo," ujar tauke kedai, Mr. Lim, cuba menyampaikan cadangan.

"Tak cukup duit la tauke, lagipun kitorang dah biasa guna cap Rohaya. Lain kali la kitorang cuba cap Kipas Udang" balas Samsul.

"Okay. Tarak hal punya. Lu mau apa balang lagi?"

"Pastu.. kasi telur 5 biji, sama choki-choki tiga.. itu telur kasi kecik punya tau"

"Telur kicik 5 biji, kicap, choki choki.. semua tiga linggit sitengah"

"SETENGAH la tauke, bukan SITENGAH. 'Si Tengah' ada kat rumah, Hahaha.. nah, ni duitnya"

"Aiyyaa.. gua cakap melayu ini macam punya la adek. Nah, baki satu linggit sitengah aaa"

Setelah mengambil wang baki, Samsul dengan pantas meninggalkan kedai runcit berkenaan. Seperti yang diduga, hari sudah pun gelap.

"Adoyai.. ni kompom sunyi kat selekoh kubur depan tu. Lari je la," rungut Samsul lagi.

Samsul terus membuka langkah seribunya sambil memeluk erat berangan yang dibeli sebentar tadi.

Setibanya di rumah, Samsul menyerahkan kicap berserta telur yang dibeli kepada ibunya. Terkejut sungguh Mak Kiah melihat anak sulungnya itu berpeluh-peluh seperti baru dikejar hantu.

"Kamu lari ye Samsul, kenapa tak naik basikal?" Soal Mak Kiah hairan.

"Basikal pancit ler tadi. Mesti kerja Angah masa pergi tusyen tadi," jawab Samsul. Terserlah tanda-tanda merajuk yang ketara pada nada bicaranya.

"Ala, sori la Long, lupa nak cakap tadi. Tapi apa salahnya berlari kan mak? Along kan juara Marathon kat sekolah. Setakat kedai runcit kat depan tu ape la sangat, hihi," balas Angah pula, cuba memujuk.

"Haihh.. memang la aku champion. Tapi penatnya masih ada tau!"

Adik-adiknya yang menanti sedari tadi terus berkerumun ke arah Mak Kiah, meminta choki-choki yang dijanjikan.

"Ye, sabar sabar. Nanti mak kasi, semua dapat, jangan risau.."

Samsul terus berlalu meninggalkan mereka sambil mula tersenyum memikirkan gelagat adik-adiknya yang rata-rata masih kecil. Samsul mencapai tabung simpanannya lalu menyimpan wang upah yang diperoleh beliau sebentar tadi.

"Mudah-mudahan, dapatlah aku makan KFC minggu depan. Amin.."

KFC?!!

Secara tiba-tiba, Samsul tersedar dari lamunan panjangnya.

"Tiba-tiba pulak rasa nak makan KFC.." nafsu Samsul mula bicara, cuba berdebat dengan imannya.

Dijelingnya pula jam Rolex di tangan.

"Eh, dah pukul 6 rupanya. Kena balik cepat ni, karang jam pulak Jalan Kuching tu."

Setelah mengemas barangan peribadinya, Samsul terus meninggalkan pejabatnya dan menuju ke lif yang berhampiran. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahinya petang itu apabila lif tidak boleh digunakan kerana sedang diselenggara.

"Macam tader waktu lain! Ni mesti kerja budak-budak bangla tu. Kena guna tangga la jawabnya," keluh hati kecilnya lagi.

Samsul terus menuju ke tangga kecemasan yang berhampiran, dan satu demi persatu anak tangga dituruti. Akhirnya, sampai juga Samsul ke tingkat bawah bangunan tempat beliau bekerja. Dengan keadaan fizikalnya sekarang, 10 minit menuruni anak tangga seakan-akan sebuah rekod baru Olimpik, meskipun bilik pejabatnya hanya terletak di tingkat 5 bangunan berwarna putih itu.

Setibanya di kawasan tempat letak kereta, beliau cuba meninjau-ninjau lokasi kereta miliknya. Ah, itu dia Mitsubishi Lancer yang dicari, merah garang warnanya. Pintu dibuka lalu dicampaknya beg bimbit di atas tempat duduk penumpang bersebelahan. Setelah melepaskan lelah, enjin kereta dihidupkan lalu diputarnya tombol penghawa dingin ke arah maksimum.

"Macam celake punya penat. Kalau hari-hari macam ni, mau kurus aku."

Gear kereta diletakkan pada "D", dan beliau terus berlalu meninggalkan kawasan tempat kereta tersebut.

"Tapi kalau dah waktu macam ni, sure jalan dah jam.. hmmm, redah aje la, nak buat macam mana"

Samsul mengambil keputusan untuk meredah sahaja kesesakan lalu lintas senja itu meskipun hatinya begitu berat untuk berbuat demikian. Sambil ditemani bunyian hon kenderaan yang mula mencari 'jalan pulang ke sarang', dipegangnya dengan erat stering kereta itu, khuatir jika kereta kesayangannya hilang kawalan. Sesekali sayup kedengaran kalimah azan dari masjid berdekatan menandakan bermulanya peralihan masa milik dua alam yang berbeza. Perjalanan Samsul ke restoran KFC berhampiran rumahnya pula memakan masa kira-kira 50 minit, dan semestinya hari akan menjadi semakin gelap ketika pulang nanti.


"Dik, kasi ayam KFC family size, makan sini, spicy!"
Samsul.. Samsul.. -__-"


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

3 comments:

~ ReD ~ said...

huiiihhh..x kan kurus la mcm ni..makan punya banyak! haha :D

Joy Kalonas said...

ReD, Samsul belum sempat baca SusuSejat lagi.. kalau dia dah baca, mungkin dia boleh kurus.. sambil boleh menikmati KFC setiap minggu ;p

wan said...

tak paham la.. apa moral of this story ??

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails