July 2, 2010

Diet dari BARAT bukan untuk orang MALAYSIA

Hari ini aku ingin mengajak para pembaca Susu Sejat agar membuka minda seluas-luasnya, untuk berfikir seketika apa yang bakal aku ceritakan sebentar lagi. Aku pinta bacalah sehingga habis sebelum mengutarakan sebarang idea atau kritikan, kerana ini hanyalah sekadar cebisan pendapat aku berdasarkan pengalaman dan kajian aku berkenaan diet dan kesihatan selama hampir 2 tahun. Setiap individu itu berhak untuk mengutarakan pendapat mereka, dan kalian, para pembaca juga boleh berbuat demikian di akhir entri ini.

Aku perhatikan, ramai rakyat Malaysia (dan aku maksudkan lebih suku daripada mereka yang berdiet) begitu berlumba-lumba untuk mengikuti diet-diet yang diperkenalkan dan popular dari negara-negara barat, terutamanya Amerika Syarikat (US). Antara diet-diet yang popular (juga dikenali sebagai kategori fad diet) ialah South Beach Diet, Very Low Calorie Diet, dan yang paling popular, Atkins Diet.


Memang semua diet-diet itu mampu untuk menurunkan berat badan, tetapi diet-diet itu BUKAN direka untuk rakyat Malaysia. Nampak aku capitalize perkataan bukan tersebut? Sesetengah diet direka khas oleh pakar pemakanan, doktor dan physician khas untuk golongan tertentu, berdasarkan faktor intrinsik (dalaman, seperti genetik) mahupun faktor entrisik (luaran, seperti faktor demography). Malah sesetengah diet tersebut kurang bersesuaian dengan individu yang bukan tergolong dalam kategori fokus.

Aku kecewa melihat rakyat kita yang terkapai-kapai mencari arah dalam berdiet, dan akhirnya buku-buku sebegini (amalan diet dari barat) juga yang mereka cari. Aku kecewa apabila ada sesetengah daripada mereka yang mempertikaikan konsep kalori, mereka mendakwa konsep kalori ini merapu dan menyusahkan. Sedangkan konsep kalori itu sudah diterima pakai dalam sains pemakanan dan dalam ilmu sains keseluruhannya, adakah itu juga dikira sebagai merapu?

Ambil contoh seorang penulis bernama Jayden Chen, seorang pakar dalam bidang kesihatan dan kecergasan di Malaysia. Beliau merupakan seorang jurulatih kecergasan yang tersohor, meskipun beliau pernah melalui sejarah hitam yang sama seperti aku - obesiti ketika alam remaja. Namun Jayden juga sesekali berkeras mendakwa diet daripada barat bukan dicipta untuk rakyat Malaysia. Malah, beliau sendiri sudah mencuba kesemua diet-diet yang berasal dari barat ini, dan rata-rata kesemua diet tersebut mendatangkan penyeksaan dan 'kurang bersesuaian' dengan budaya kita - Ya, makanan kita sendiri merupakan sebuah budaya. Kita dikenali di mata dunia luar sebagai 'syurga makanan' kerana kaya dengan berbagai jenis makanan yang mewakili setiap etnik di negara kita.

Kesemua jenis diet yang wujud di dunia ini (untuk menguruskan badan) dan produk-produk pelangsingan yang berharga ratusan ringgit di luar sana, hanya berpegang pada satu konsep, iaitu 'kurangkan pengambilan kalori'. Low-carb diet (nama pun dah low), Cabbage soup diet (kobis rendah kalori), Detox-diet (fiber tidak mempunyai kalori), Atkins diet, dan produk-produk pelangsingan yang tengah naik seperti pisang goreng panas di luar sana (tak mahu sebut nama, kalian faham-fahamlah sendiri), semuanya berpegang pada satu konsep, iaitu 'KURANGKAN PENGAMBILAN KALORI'.

Untuk tujuan penulisan ini, aku akan fokus lebih kepada diet Atkins memandangkan diet ini tersangatlah popular di Malaysia sekarang. Kalian hendak tahu mengapa diet Atkins berkesan?


Mengapa diet Atkins mampu menurunkan berat badan?

Dalam amalan Atkins, karbohidrat disingkirkan daripada nutrisi. Perlu kita ingat bahawa nilai kalori datang daripada 3 macronutrient asas, iaitu Karbohidrat, Lemak dan Protein. Apabila salah satu daripadanya (karbohidrat) sudah di 'keluarkan' dari senarai pengambilan seharian, bererti pengamalnya juga telah mengurangkan pengambilan kalori dalam sehari, sekaligus membawa kepada penurunan berat badan.

Apabila pengambilan karbohidrat dikurangkan, tinggal sama ada untuk bergantung kepada makanan berasaskan protein ataupun lemak ke dalam diet. Tetapi secara logiknya, tidak mungkin pengamalnya HANYA makan makanan berlemak seperti ais-krim, kek keju atau coklat, kerana makanan-makanan berlemak seperti ini masih mempunyai kandungan gula (karbohidrat ringkas) yang tinggi. Maka terpaksalah mereka mengutamakan makanan berprotein seperti sumber kekacang, tofu/tauhu, ayam, ikan, dan daging. Maka dengan itu hadirlah sebab yang kedua, iaitu protein.

Protein adalah lebih thermogenic berbanding karbohidrat dan lemak; bermaksud protein mengambil masa yang lama untuk dicernakan dan diproses sebagai sumber tenaga. Malah badan memerlukan banyak tenaga (kalori) untuk menukarkan protein sebagai sumber tenaga, dan ini membawa kepada peningkatan kadar metabolisma, sekaligus turun berat badan.


Keburukan diet Atkins

Konsep diet Atkins ini mudah, iaitu meletakkan tubuh badan kita dalam peringkat 'ketosis' - peringkat di mana tubuh badan menggunakan ketones bodies (ketones), iaitu produk sampingan untuk metabolisma protein, sebagai sumber tenaga. Ketosis mengurangkan selera makan dan membuatkan nafas berbau. Terdapat juga kajian pakar yang menunjukkan ia mampu memberi kesan kepada ketumpatan tulang (ostreoporosis) dan merosakkan buah pinggang, jika diamalkan secara berterusan, untuk jangka masa panjang. Selain itu, ketosis juga membawa kepada penghasilan Uric Acid, iaitu penyebab kepada penyakit-penyakit seperti gout (sakit sendi) dan batu karang.

Kita mungkin mengambil terlalu banyak lemak dan kolestrol sekiranya terlalu bergantung kepada sumber protein dan lemak. Meskipun makanan laut seperti udang dan ikan adalah berprotein tinggi, namun hampir kesemuanya mengandungi kolestrol. Pengambilan makanan berlemak secara berterusan juga akan memaksa badan kita untuk menghasilkan lebih kolestrol di dalam badan kita. Kesan kolestrol? Rasa-rasanya para pembaca sendiri mesti sudah mengetahui kesan paras kolestrol yang tinggi di dalam darah.

Selain itu, tidak mustahil juga untuk turun berat badan dalam kadar yang pantas, namun jangan terkejut jika hasilnya kelak adalah bentuk badan yang 'skinny-fat-look' dan bukannya 'ripped - nampak definisi otot') kerana proses penurunan pantas itu hanya melibatkan banyak penurunan berat air dan otot yang banyak.

Apabila sumber karbohidrat menjadi sangat kurang dan defisit, badan akan mula merujuk kepada hati untuk mendapatkan glycogen sebagai sumber tenaga alternatif (masih ingat 4 hierarki tenaga yang aku ceritakan dahulu?). Badan memerlukan 3g air untuk setiap 1g glycogen yang disimpan, dan sebaliknya jika glycogen itu diguna pakai (reverse process). Bayangkan berapa banyak air yang akan hilang untuk setiap glycogen yang diguna pakai. Ramai yang mendakwa berat yang banyak turun ketika fasa pertama Atkins (atau low-carb diet yang lain) adalah penurunan lemak, tetapi hakikatnya kehilangan air juga banyak berlaku. Dan untuk menampung jumlah air yang hilang, pengamal Atkins juga harus minum jumlah air yang sangat banyak untuk memastikan diri dihidratkan semula.

Dari segi ekonomi, Atkins diet memerlukan banyak belanja. Para pembaca perlu ingat, harga pasaran untuk makanan berasaskan protein adalah mahal. Sebiji telur saiz A yang mengandungi 6.3g protein (dalam 30 sen sebiji) adalah jauh LEBIH MAHAL berbanding 2 sudu teh gula (berapa senlah sangat) yang mengandungi 8.4g karbohidrat. Itu baru aku ambil contoh sumber protein termurah, bayangkan kalau ayam, daging, ikan, dan makanan laut yang lain. Rasa-rasanya kalian mampu untuk makan protein semata-mata sepanjang hayat? Bagaimana pula dengan golongan yang berpendapatan rendah seperti aku?


Diet Atkins direka untuk orang barat

Atkins diet ini direka berdasarkan konsep hidangan makanan barat. Berbeza dengan corak pemakanan di negara kita, di barat makanan utama mereka adalah berasaskan sumber protein seperti ayam, daging, dan makanan-makanan laut, walhal corak pemakanan negara kita dan negara-negara Asia yang lain adalah berasaskan sumber karbohidrat seperti nasi, sebagai hidangan utama. Lihat sahaja contoh terdekat seperti KFC, di mana ayam goreng merupakan hidangan utama, manakala sumber karbohidrat seperti roti bun kecil dan kentang putar adalah sebagai makanan sampingan (side-dish).

Ingat, makanan utama kita adalah nasi, makanan utama orang Asia itu adalah nasi! Mengapa orang kita sering menyalahkan nasi, sedangkan nasi itu tidak bersalah. Yang bersalah adalah nafsu kita - makan sepinggan nasi secara penuh membubu walhal kerjanya bukanlah membanting tulang di sawah, mahupun bekerja kontrak di bawah matahari terik. Malah, orang barat sendiri sebenarnya kagum dengan diet orang Asia, terutamanya Asia Timur yang terbukti berkhasiat dan menyihatkan, malah rata-rata di kalangan golongan veteran mereka yang berpegang pada makanan tradisi hidup hampir 100 tahun! Makanan tradisi? Apa yang mereka makan? Ya, mereka makan nasi sebagai hidangan utama, malah nasi mereka juga jauh lebih berkanji berbanding yang terdapat di negara kita. Namun berapa banyak nasi yang mereka ambil dalam satu hidangan? Lihat sendiri dalam hidangan sushi itu sendiri, berapa banyak nasi yang dipakai?


Jauh di sudut hati, aku ingin memohon seribu keampunan sekiranya entri aku kali ini membuat segelintir rakyat Malaysia terasa. Namun niat aku tulus, aku tidak mahu lagi rakyat kita terpengaruh dengan diet negara barat yang langsung tidak secocok dengan pemakanan dan gaya hidup kita. Kita ada adat dan budaya kita sendiri. Mengapa kita perlu hancurkan adat dan budaya itu (yakni pemakanan kita) semata-mata kerana hendak kurus?

Kurus itu hanya persoalan jangka masa pendek, namun sampai bila kita harus mengharamkan makanan tradisional kita? Kita ada Kevin Zahri, kita ada Jayden Chen, dan ramai lagi pakar-pakar pemakanan tempatan yang punya strategi diet tersendiri, bersesuaian dengan budaya pemakanan kita, namun mengapa kita tidak mengikut tokoh-tokoh seperti ini? Mengapa kita sering terpedaya dengan iklan produk pelangsingan? Mengapa kita mudah terpengaruh dengan budaya barat (diet)? Mengapa? Dan Mengapa? Susu Sejat mahukan jawapan itu wahai para pembaca. Tepuk dada tuan-tuan dan puan-puan, tepuklah dada, namun jangan sesekali bertanyakan pada selera, tetapi bertanyalah pada hati.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

13 comments:

Sang Gabriel said...

bagi aku diet sempurna ialah pemakanan seimbang dann juga bergantung pada kadar metabolisme

Ayu Firzara said...

Hye,
Semua diet mementingkan pengambilan makanan seimbang dan juga EXERCISE!!! Makan ikut je pyramid makanan, dan lakukan senaman! Booommmmm! Amalkan sentiasa... ;)

Norul Malakiah Sidek said...

waaahh kemaen lg..exercise sudah.jgn mkn mlm..kn?

Justiffa said...

Good post joy. Ramai yg cari quick fix dlm hal pemakanan namun utk brtahan, kita perlu include an active lifestyle as well. Masih ramai yang sanggup brdiet tp langsung tak nak exercise.

And senang je: output>input kalau nak kurus

Its all about maintaning the balance kan joy?

Joy Kalonas said...

gabanMorka: yup.. benar.

Ayu: yup.. benar juga.. hehehe.

miss havoc: errr... kena mkn malam cik, kalau tak lari metabolism nnti..

auntie justiffa: thank you =) betul kata auntie tu.. memang menjadi lumrah orang kita sering memandang sesuatu tu secara short term, not long term.. and it's all about the balance.. lebih makan, lebih ler senamannya kan..? hehehe.

Anonymous said...

keep it up bro.
artikel yang berkhasiat!

thumb up!

Joy Kalonas said...

Thanks Anonymous ;)

niza said...

sy pun xsetuju kalu kt mengamalkan diet dari barat..mcm diet atkin..pengambilan protein y kerap n tggi bole menbebankan fungsi buah pinggang kt..apa2pun sblm memulakan sebarang diet,lebih baik mnt nsht dr doktor..wat blood test..adakah diri kita xde apa2 masalah kesihatan?kalu kt dah tggi kolestrol, amik pulak diet protein yg tdr dari ayam n daging..hmm..buruk padahnye..betoi x ss..^_^

Joy Kalonas said...

betul tu niza.. ;)

Anonymous said...

abes tu cam ne cara diet org malaysia?

Joy Kalonas said...

makan ikut cara orang malaysia, tapi dengan cara yang betul..

r3bL said...

kenapa rakyat malaysia terpedaya? ada satu petikan yg kawan aku cakap dia pernah baca dalam website mana tah, diet/weight loss is a multimillion business.

so marketing confirm lah power. apa tak multimillion nya? tgk aja pusat pelangsingan, dah merata. bayar dia jgn cakap laa. starting aja dah main ribu-ribu. kan?

Anonymous said...

mmmmmm......ntah la,sng2 pose jela.bg org Islam ianya berkat,dapat pahala,badan pun mantap!!tp kne la ikhlas la...ada x diet susu??sy 17tahun...nk tambah tinggi,huhuhuhuhuhu

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails