June 25, 2010

"Joy, jangan rebah lagi.."

Loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat. Aku masih lagi di pusat sumber sekolah, membelek-belek buku yang bakal dipinjam khas untuk tugasan NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) minggu hadapan. Sengaja aku melengah-lengahkan tempoh untuk pulang ke kelas kerana aku tahu, sesi pembelajaran akan dibatalkan pada petang ini dan digantikan dengan sesi latihan rumah sukan. Sengaja juga aku makan sedikit ketika rehat sebentar tadi kerana aku tahu, sebentar lagi akan diadakan latihan acara larian 400m individu untuk rumah Watson, rumah sukan yang aku wakili.

Dua minggu dari sekarang, SM King Edward VII Taiping akan menganjurkan kejohanan olahraganya buat kali ke - 84, dan kejohanan seperti ini amat ditunggu-tunggu oleh pihak sekolah terutamanya guru-guru sukan untuk mencungkil atlit-atlit baru. Secara jujur aku bukanlah permata sekolah itu, yang dicari-cari selama ini. Malah, sudah sekian lama aku meninggalkan bola sepak, aroma rumput padang dan calitan lumpur pada kaki yang kali terakhir dirasai ketika aku di bangku sekolah rendah. Itu pun sekadar mainan suka-suka. Tambahan berat badan yang sudah bertambah 20kg kini membataskan lagi kelincahan aku di atas trek mahupun di atas padang.

Aku tidak menyalahkan ibu bapa aku yang menyekat kebebasan aku untuk bermain, istilah bahasa pasar yang digunakan masyarakat kita untuk bersukan di kala petang. Semenjak masuk ke alam persekolahan menengah sesi petang, aku tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bermain. Peruntukan masa itu habis begitu sahaja memandangkan aku pulang dari sekolah seawal jam 6.30 petang hampir setiap hari. Bermain pada waktu pagi? Siapalah yang ada ketika itu, kerana majoriti rakan-rakan yang lain bersekolah di sesi sebelah pagi.

Jam sudah menunjukkan pukul 4.15 minit petang, dan sayup kedengaran suara cikgu Wahab disebalik distorsi hailer, memekik mengarahkan agar para pelajar dapat berbaris di padang dengan kadar yang segera. Setelah menyalin pakaian sukan lengkap, aku bersama beberapa orang 'rakan Watson' berkumpul di suatu sudut padang sambil menanti arahan yang selanjutnya daripada guru penasihat rumah sukan.

Selepas menanti beberapa ketika, waktu yang ditunggu akhirnya tiba. Kami diarahkan untuk berbaris dibarisan permulaan trek perlumbaan. Kelihatan beberapa pelajar yang bertubuh sedikit sasa maju ke barisan paling hadapan. Aku kenal wajah-wajah mereka, dan tidak salah lagi, mereka adalah pelajar-pelajar kelas RKP (Rancangan Khas Premier), iaitu sebuah kelas dimana pelajar-pelajar berpotensi dalam bidang sukan ditempatkan. Dimana aku ketika itu? Di barisan keduakah? Bukan. Di barisan ketigakah? Bukan. Di barisan keempatkah? Juga bukan. Aku tidak pasti barisan yang keberapa, namun yang pasti apabila ditoleh kebelakang, tiada sekelumit manusia dibelakangku.

Acara dimulakan. Kesemua lapan pelari daripada barisan pertama dan kedua melepasi had masa yang ditetapkan, bererti 16 mata sudah pasti menjadi milik rumah Watson, dan akan terus dikira sehingga hari sukan kelak. Benarkah mereka semua melepasi had kelayakan? Ya lah, mereka kan barisan atlit sekolah. Larian mereka juga hebat, laju bak peluru.

Sesudah sampai di garisan penamat, sebahagian daripada mereka sungguh ceria dan berlagak seperti biasa, seolah-olah baru sahaja selesai berjoging di taman. Tidak kurang juga yang sedikit mengah, meskipun mereka bergelar atlit. Barangkali merokok agaknya, getus hati kecilku.

Baris demi baris dilepaskan, dan kini tiba sudah giliran aku untuk berlumba sekaligus mencuba nasib untuk menyumbangkan mata. Aku ditempatkan pada lorong yang kedua, yakni yang kedua paling hampir dengan luar trek. Kelihatan sebahagian rakan-rakan Watson yang lain sudah mula meninggalkan padang, manakala sebahagian yang lain langsung tidak menumpukan perhatian dan hanya bersembang sesama mereka. Mungkin hanya segelintir kecil sahaja yang fokus kepada kelompok pelari yang terakhir ini, mungkin.

"Ok.. yang tak terlibat sila ketepi, jangan ganggu laluan trek! Ni yang last, cepat habis cepat kita bersurai!" Laung cikgu Wahab yang sejak dari tadi telah mengambil alih tempat selaku juri pertandingan.

Jantung aku semakin lama semakin berdegup laju. Aku menjadi cemas. Berbagai-bagai persoalan mula timbul di sudut fikiranku. Mampukah aku menghabiskan larian ini, setelah sekian lama aku tidak bersukan? Mampukah aku mengelakkan diri dari menjadi insan yang berada paling ketinggalan di belakang? Adakah berada di lorong kedua dan paling hadapan ini merupakan suatu kelebihan buat diriku, sedangkan aku memang mengetahui jarak daripada garisan permulaan hingga ke garisan penamat setiap lorong adalah sama? Semua soalan itu tiba-tiba lenyap apabila cikgu Wahab mula menghalakan hailer kearah kami.

"Ke garisan... sedia... MULA!!!!"

Aku tidak terus memecut kerana aku tahu perjalanan 400 meter ku ini masih panjang. Untuk permulaan, aku berada di hadapan dek kerana kelebihan lorong yang kedua. Namun, setelah melepasi 100 meter yang pertama, aku menyedari bahawa mereka yang berada di belakangku sebentar tadi sudah mula memotong, seorang demi seorang. Sehinggakan pada satu ketika, aku menyedari bahawa aku kini berada pada kedudukan kedua dari belakang. Menyedari bahawa insan yang terakhir itu cuba memotongku, aku mengambil keputusan untuk meningkatkan sedikit kelajuan larianku.

200 meter yang pertama selesai aku tempuh, namun aku mula menyedari sesuatu yang kurang enak mula muncul dalam diriku. Jantung aku berdegup begitu kencang, seakan-akan sebuah enjin kereta usang yang cuba membawa bebanan sejuta tan. Pernafasan aku juga sudah mula hilang tempo. Aku ngangakan mulut seluas yang mungkin agar mendapat bekalan oksigen yang secukupnya bagi menampung fasa anaerobik ini. Selepas beberapa ketika, aku dapat melihat garisan penamat itu, meskipun sungguh jauh dari pandangan mata.

100 meter yang terakhir, aku mula dipotong oleh insan yang ketinggalan sedari tadi. Aku? Semakin lama larianku semakin sumbang. Temponya juga semakin lama semakin berkurangan. Namun, aku masih belum mendengar tiupan wisel daripada cikgu Wahab, dan itu bererti aku masih berpeluang untuk menyumbang satu lagi mata buat rumah Watson pada hari tersebut. Aku harus kuat berusaha meskipun beberapa rakan sudah pun berjaya menamatkan larian. Ah, lama lagikah untuk aku melepasi garisan penamat itu?

50 meter yang terakhir, aku mula terdengar sorakan rakan-rakan dan para cikgu. Sayup juga aku terdengar suara beberapa insan yang memanggil namaku..

"Joy! Cepat.. sikit lagi.. Ejoy!"

Ternyata sorakan itu belum cukup untuk mendorong aku untuk terus berlari. Malah aku mula merasakan seakan-akan satu bebanan singgah ke kepalaku. Mataku mula berpinar-pinar, dan suara yang aku dengar sedari tadi tiba-tiba sahaja tenggelam dan...

"Weh, ejoy jatuh aaa!"

Aku rebah tersungkur ke tanah tatkala larianku hanya tinggal kira-kira 15 meter sahaja lagi untuk ditamatkan. Secara tiba-tiba, lokasi tersebut dikerumuni oleh sekumpulan manusia yang pada awalnya langsung tidak berminat kepada larian kategori 'atlit picisan' seperti kami. Namun, rebahnya aku tidak bererti aku pitam sepenuhnya, kerana aku masih mampu untuk bergerak, bangun dan terus merangkak.

"Cepat bangun! Sikit lagi ni.. cepat! cepat!" laung cikgu Wahab, yang akhirnya disahut oleh warga Edwardian yang lain.

Sungguh bergemuruh sehinggakan aku merasa diriku seperti diangkat satu kuasa yang tidak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata. Aku masih mampu untuk menegakkan diri dan meneruskan larian yang hanya tinggal 15 meter sahaja lagi. Aku berlari seperti seorang anak kecil yang dikejar oleh sekumpulan samseng jalanan, atau sekumpulan along, sedia untuk dilanyak dan dibelasah. Aku masih mampu meneruskan larian meskipun aku tampak longlai dan kurang meyakinkan. Dan ketika aku hampir mencecah garisan penamat...

"Laaaa.. jatuh lagi! Hang ni.. lekaiihhh (cepat) bangun, masa tak banyak lagi ni..!" teriak cikgu Noriah, guru penasihat rumah Watson yang sudah mula bersuara.

Aku dapat perhatikan beberapa orang rakan yang bukan daripada kalangan rumah Watson mula mengerumuni pinggir trek dan tidak putus-putus bersorak memberikan sokongan dan kata-kata semangat. Ternyata mereka bersungguh-sungguh memberikan semangat, meskipun mereka tahu aku mewakili rumah sukan yang berbeza. Ternyata ini bukanlah sebuah mimpi yang penuh dengan hilai tawa, meskipun keadaan sekeliling sungguh hingar. Ternyata ini bukan sebuah permainan drama semata-mata. Ini babak serius. Mereka bersungguh mahu aku menghabiskan larian ini. Mereka serius untuk aku menyentuh garisan penamat itu!

Aku tidak becus lagi untuk bangun dan berlari. Maka aku cuba menghabiskan larian itu seperti seorang anak kecil yang masih belum mampu untuk berjalan - merangkak, merangkak, dan terus merangkak.

Sukar dipercayai, namun itulah kenyataannya. Sehingga kini, pengalaman merangkak untuk menghabiskan larian sering membuatkan aku tertawa kecil seorang diri. Dan hampir setiap kali selepas berjoging, pasti peristiwa silam ini datang bertandang ke mindaku, mungkin sekadar ingin mengucapkan salam.

Tahun ini, genaplah 10 tahun peristiwa itu berlalu. Walaupun aku bukanlah pemenang dalam acara tersebut, namun 'kemenangan' ku itu disambut dengan sorakan yang kuat bergemuruh, bagaikan seorang hero. Ya, aku mampu memberikan satu mata itu kepada rumah Watson, walaupun aku bukan seorang pelari sekolah. Benar, aku bukan seorang atlit.



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

13 comments:

semut lelabah said...

ya saya suka entri ini.. :P

semut lelabah said...

serius aku suka gila dengan header ko.. aku gelak gila-gila nie.. hahaha kenapa nama susu sejat, pastu an entri a day keep doctors away, then tepi ada gamba lembu.. hahaha.. ko sangat kreatif!

Joy Kalonas said...

Hapiz, thank you bro. Hahaha. bukan ko sorang je yang persoalkan, tp dah ramai.. ada yang kata, first impression bila dengar nama blog ni, diorang ingatkan blog bercerita pasal masak memasak.. tapi aku ada sebab tersendiri mengapa memakai nama Susu Sejat ni, ada maksud tersiratnya.. rasa-rasanya ko tahu apa maksudnya? =)

semut lelabah said...

hahahahahahah.. aku rasa aku tau! hahahaha

Joy Kalonas said...

bagus-bagus.. eh, blog pasal novel ke? menarik.. =)

Azfa said...

joy budak KE..jejaka sihat org tepen rupanya..

Joy Kalonas said...

Azfa: Cikpa KDO? Ya, saya orang Taiping ;)

Burung Hantu said...

Tak nak dedahkan pula rahsia kenapa blog ini dinamakan susu sejat??

Joy Kalonas said...

Burung Hantu, sampai suatu masa, saya akan dedahkan juga.. kalau nak tahu, keep in touch with this blog =)

ameer said...

nice blog... keadaan bro blog same ngan keadaan aku... mmmm thanks for all the infomation... like it... n sama2 kita sihat...

cikgu zul said...

BEST LA CITE NI... ADA NAMA CIKGU WAHAB..ADA NAMA CIKGU NORIAH..TAPI SEDIH TAK ADA NAMA CIKGU ZUL

suri skaliskaLa said...

serius suka this entri :)

Joy Kalonas said...

ameer: thanks ameer :)

Admin: Hahaha, sori cikgu.. terlupa nak taruh nama cikgu Zul.. tapi cikgu kan Rumah Head, mana boleh join kami di Rumah Watson :p

tukangcerita: Eh, Sue dah ada blog baru?

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails