August 3, 2010

Snek kekacang campuran (mixed nuts)

Sumber kekacang seperti gajus, kuaci, walnut, kacang tanah dan kacang almond adalah snek yang bagus. Biarpun mengandungi lemak yang tinggi, para pembaca tidak perlu risau kerana lemak yang terkandung dalam sumber kekacang sebegini adalah dari jenis lemak tidak tepu (mono-unsaturated), yang terdiri daripada asid lemak sihat Omega 3.

Malah aku sendiri sudah menyenaraikan Walnut sebagai salah satu superfood pilihan hati Susu Sejat. Cuma bila aku dah berkata begini, tak bermaksud anda boleh 'snacking' kekacang ini sesuka hati, kerana kalori tetap kalori, dan jika makan sesuatu secara berlebihan, tidak kiralah makanan apa pun, akan menggemukkan juga.

Buat mereka yang dalam proses menaikkan berat badan, menambah beberapa hidangan sumber kekacang sihat ke dalam diet adalah sangat membantu dalam memastikan pengambilan jumlah kalori dalam sehari adalah lebih daripada DCR yang sepatutnya.

Tanpa mengira tujuan sama ada untuk menaikkan, menurunkan, atau mengekalkan berat badan, pengambilan segenggam kekacang campuran (mixed nuts) dalam sehari adalah sangat digalakkan, malah mampu membekalkan kita nutrien, zat dan lemak sihat yang tidak terkandung dalam makanan-makanan lain.

Tahukan anda?: Beberapa kajian di barat sudah membuktikan bahawa asid lemak Omega 3 amat membantu dalam mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung.

Maka dengan itu, aku ingin mengajak para pembaca ke dapur untuk mempelajari cara menyediakan kekacang campuran dengan cara yang sihat.

Mesti ada yang tertanya-tanya, mengapa kita perlu menyediakan snek kekacang kita sendiri? Mengapa tidak dibeli sahaja yang sudah siap untuk dimakan, seperti yang dijual di pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco, Carrefour, mahupun Giant? Jawapan aku mudah, dan semuanya berkaitan dengan apa yang aku tulis semalam. Kekacang yang sudah siap untuk dimakan (yang sudah diproses) mengandungi kalori tersembunyi, atau "hidden calorie". Ini kerana, kekacang seperti itu rata-ratanya digoreng dengan minyak sawit (palm olein), selain mengandungi garam yang berlebihan.

Tanpa membuang masa lagi, ayuh kita ke dapur untuk mempelajari bagaimana caranya untuk menyediakan snek kekacang di rumah.

1) Bahan-bahan yang diperlukan untuk 'resepi' ini hanyalah beberapa bungkus kekacang mentah. Sebagai contoh, untuk entri ini cukuplah aku menggunakan 2 jenis sumber kekacang, iaitu kacang gajus dan kuaci.

2) Tuangkan sebungkus kuaci mentah ke dalam sebuah dulang yang kering dan bersih. Pastikan kuaci tersebut diratakan supaya sebati, dan sama rata.

3) Ulangi langkah (2) untuk kacang gajus pula.

4) Panaskan oven pembakar, dan pastikan julat suhu berada pada sekitar 150-200 darjah Celsius. Tidak lebih, dan tidak kurang.

5) Masukkan dulang-dulang berisi kekacang tadi ke dalam ketuhar pembakar yang sudah panas. Bakar kekacang tersebut selama 8 hingga 10 minit.

Kiri: Sebelum dibakar; Kanan: Selepas dibakar



6) Biarkan kekacang tersebut untuk sejuk (cool down) selama 30 minit. Pastikan keadaan sekeliling adalah kering.

7) Apabila sudah sejuk, anda boleh simpan kekacang tadi di dalam bekas simpanan kedap udara yang kering. Anda boleh mencampurkannya, atau menyimpannya secara berasingan. Dalam kes ini, aku pilih untuk simpan secara berasingan agar memudahkan proses pengiraan kalori kelak.

8) Siap sudah snek kekacang, sedia untuk di makan pada bila-bila masa. Rendah kalori, Tanpa Sodium (garam), dan Tanpa Pengawet. Mana lagi boleh dapat snek sebegini, kan? Selamat Mencuba!

P/S: Adik-adik, akak-akak, abang-abang, blogger-blogger, sesiapa sahaja, yang mempunyai resepi menu sihat untuk dikongsi, bolehlah berbuat demikian dengan menghantar emel ke sususejat[at]gmail.com. Hadiah misteri mungkin menjadi milik anda. Sharing is caring guys..

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

4 comments:

Anonymous said...

em...mana nak cari kacang2 yg belum proses tu ekk

Joy Kalonas said...

kat kedai bahan2 buat kek dan biskut ada jual.. atau kedai2 runcit india/china yang klasik2 tu, yg jual makanan2 kering (ada jual ikan kering, belacan, cili kering, selalunya kacang2 mentah pun ada jual sekali)

Anonymous said...

elok ditukarkan kepada almond... gajus kurang sesuai untuk sesapa yang nak menurunkan berat badan.

Joy Kalonas said...

Anonymous, tips yang ada dalam blog ini tidak terhad kepada mereka yang nak turun berat badan sahaja.. please keep in mind on that :)

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails