December 16, 2010

Diari SS: Siri Joy Belajar Berenang (Minggu 4)

Sambungan Diari SS: Siri Joy Belajar Berenang (Minggu 3)

Salam 1 swimming pool!

Jaguh renang dunia, Michael Phelps sedang melakukan rutin kuak dada.
Sumber dari Flickr.

Tiada banyak benda baru yang aku belajar untuk minggu ke-4 ni. Seperti juga minggu sebelumnya, coach Mas lebih fokus untuk memperbaiki skill renangan kuak katak (kuak dada) aku yang berterabur seperti gigi Pak Hamid Gurkha.

Jika koordinasi lower body penting kerana ia merupakan enjin utama yang menggerakkan kita ke hadapan (rujuk diari minggu 3), koordinasi upper body kuak dada tidak kurang pentingnya juga. Ia menentukan selancar mana kita bertukar-tukar nafas di atas permukaan air. Tanpa pertukaran nafas yang sempurna, sudah pasti renang tersebut akan menjadi hancur-sehancurnya. Bayangkan jika karburetor enjin kereta anda tersumbat, lalu enjin tidak mendapat oksigen yang mencukupi untuk tujuan pembakaran, rasa-rasanya kereta anda boleh bergerak ke hadapan?

Apabila kita mengangkat kepala (sebenarnya mengangkat dada ke atas), tangan secara refleksnya akan 'membuka' sedikit lalu memukul air kebelakang - tindakan yang saling tak tumpah seperti dayung sesebuah sampan. Perlu diingatkan bahawa kepala kita berada di atas permukaan air tidak sampai 1 saat, maka dengan itu masa yang ada haruslah digunakan sebaiknya untuk menyedut udara (oksigen) sebanyak yang mungkin. Udara (karbon dioksida) pula tidak dilepaskan terus ketika itu, tetapi dilepaskan apabila kepala berada di bawah permukaan air (blow bubble). Kesimpulannya di sini:

Kepala di atas permukaan air = Tarik nafas
Kepala di bawah permukaan air = Lepas nafas

Bagaimana pula rupa koordinasi upper dan lower body ini apabila digabungkan? Sungguh aku mati akal untuk menceritakannya dengan perkataan kerana ia merupakan suatu gerakan yang sungguh kompleks. Terima kasih kepada wikipedia kerana membekalkan imej-imej yang aku rasa sangat membantu ini.

"Pandangan Hadapan"


"Pandangan Sisi"


"Pandangan Atas"

Secara jujurnya, aku rasa kuak dada merupakan gaya renangan yang paling susah untuk dipelajari. Aku sungguh tak faham mengapa ramai coach renang di luar sana (termasuk coach Mas) mengajar gaya renangan ini kepada si amatur terlebih dahulu berbanding gaya renangan yang lain. Mungkin coach Mas ada jawapannya barangkali?

Berikut adalah beberapa 'kesukaran' yang bakal dialami ketika mempelajari kuak dada buat kali pertama, berdasarkan pemerhatian aku sebagai seorang perenang amatur:

1 - Bernafas ketika kepala di atas permukaan air. Bunyinya mungkin mudah seperti memakan kacang, tetapi percayalah, ia sesuatu yang amat sukar dilakukan. Tidak percaya? Tanyalah coach Mas berapa kali aku tersedut air (masuk sampai kepala, memang menyakitkan).

2 - Mengapungkan badan supaya tidak tenggelam. Tidak dapat dinafikan lagi, kaki aku berat, memang sentiasa jatuh ke bawah lalu mencecah lantai kolam. Lutut saya menjadi sangat lebam kerana terhantuk pada dasar kolam beberapa kali.

3 - Koordinasi kaki, tangan dan kepala. Untuk permulaan, memang sukar untuk memastikan ketiga-tiga ini berkerja mengikut turutan yang betul, mesti ada sahaja kesilapan yang dilakukan. Macam badut.

Putera katak tengah berenang. Sikit lagi cecah lantailah kaki tu!


Bersambung...

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

December 14, 2010

10 fakta 'tak berapa menarik' berkenaan kalori

1 - 1 calorie adalah tenaga yang diperlukan untuk meningkatkan suhu 1 gram air sebanyak 1 darjah Celsius.

2 - 1000 calorie = 1 Calorie = 1kcal = 4.2 kilojoules (di sini, perhatikan perbezaan "calorie" dan "Calorie", kedua-duanya membawa maksud berbeza).

3 - Membakar 1 pound lemak (0.45kg) memerlukan tenaga sebanyak 3500kcal, yang mampu dicapai dengan kalori defisit harian.

4 - "Empty Calorie" adalah istilah dalam dunia diet yang digunakan merujuk kepada makanan yang berkalori tinggi tetapi sungguh tidak berkhasiat dan lemah dari segi kandungan nutrisi, sebagai contoh makanan-makanan ringan dan minuman manis.


5 - Seorang atlet lelaki yang berlatih hampir setiap hari kebiasaannya akan mengambil sekurang-kurangnya 7000kcal sehari, dan ini bersamaan dengan jumlah kuota kalori 4 orang perempuan biasa!

6 - Berjalan kaki sejauh 2km membakar jumlah kalori yang sama dengan berlari sejauh 2km (namun jelas di sini berlari sejauh 2km mengambil masa yang lebih singkat berbanding berjalan sejauh 2km).

7 - Juara pertandingan makan hot dog Nathan's tahun 2007, Joey Chestnut, mengambil masa hanya 12 minit untuk menghabiskan 66 ketul hot dog, yakni bersamaan dengan 20,394kcal (1 hot dog = 309kcal)!

8 - Pemenang tempat kedua pertandingan yang sama, Takeru Kobayashi pula berjaya menghabiskan kira-kira 53-54 ketul hot dog, yakni bersamaan kira-kira 16,609kcal!


9 - Masakan India adalah adalah antara masakan paling kaya kalori di dunia. Kalori yang berlebihan ini datang dari penggunaan minyak yang banyak dalam masakan-masakannya, seperti minyak sayuran, mentega cair dan minyak sapi.

10 - Penambahan 100kcal kalori tambahan dalam DCR (kalori yang diperlukan dalam sehari) akan membuatkan penambahan berat badan sekurang-kurangnya 5kg setahun! Malangnya, rakyat Malaysia mengambil LEBIH daripada angka ini, rata-ratanya daripada sumber "empty calorie". Itulah sebabnya statistik obesiti di negara ini sentiasa meningkat dan tidak pernah turun.

Mahukan lebih fakta berkenaan kalori?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

December 12, 2010

Bukan senaman kalau dah jadi rutin

Persoalan: Kenapa suri rumah yang banyak melakukan kerja rumah susah hendak menurunkan berat badan, sedangkan kerja rumah yang dilakukan mereka banyak?

Aku percaya persoalan di atas seringkali bermain bukan sahaja dalam kepala ibu-ibu, malah perempuan-perempuan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, atau mungkin juga membelengu para gadis yang bakal mendirikan rumah tangga kelak (amboi, gatal dah anak-anak dara ni).

Gambar sekadar hiasan, hak milik dia.

Bukan sedikit kerja rumah yang dilakukan, tetapi boleh dikatakan banyak juga. Daripada mengemas rumah, membasuh pinggan mangkuk, membasuh baju, memasak untuk suami, menghias laman rumah, mengurut badan suami yang berpanau, melayan kerenah anak-anak, dan berbagai lagi. Tidak tersebut SS di sini.

Tetapi mengapa masih tidak kurus? Bukankah aktiviti-aktiviti di atas membakar kalori? Sampai bilakah tipah akan tertipu? Mungkinkah Tipah akan tertipu lagi, dan lagi, dan lagi.. lagi...?

Masih ingat lagi pesanan aku tempoh hari bahawa setiap senaman haruslah dirombak sekali dalam 2 minggu supaya badan kita sentiasa terkejut dengan rejim senaman yang baru? Hal ini samalah dengan permasalahan di atas.

Aktiviti-aktiviti di atas, sekiranya kita lakukan buat pertama kalinya mungkin boleh dikira sebagai senaman, dan sudah pasti berat badan akan turun beberapa kilogram dalam masa sebulan, namun percayalah selepas itu berat anda tidak akan turun lagi.

Ini kerana, kerja-kerja rumah tersebut, apabila dilakukan berulang-ulang kali, akan berubah menjadi apa yang dikenali sebagai "rutin" - badan akan sedaya upaya menyesuaikan dirinya agar jisim tubuh tidak berkurangan; ketahuilah bahawa turun berat badan sebenarnya dikira sebagai rugi oleh tubuh badan kita. Meskipun pada kita turun berat badan itu bagus untuk mendapatkan BMI yang idle, tetapi badan kita menganggap sebaliknya. Analogi mudah, anggap sahaja berat badan kita seperti wang di bank, bukankah penyusutan jumlah wang itu sesuatu yang merugikan?

Sesuatu yang menjadi rutin, meskipun menggunakan kalori, namun ia tidak membakar lemak secara efektif. Untuk membakar lemak, kita kena pandai 'menipu' tubuh badan kita supaya badan tidak boleh menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, lalu akan terus 'tertipu' untuk membakar kalori dengan kadar yang sama seperti bersenam meskipun anda sedang tidur! Inilah resepi kejayaan "weight/fat loss" yang ramai mungkin tak nampak.

Terdapat 2 perkara yang boleh anda lakukan untuk mengatasi masalah 'rutin' ini:

1 - Rajin-rajinlah bersenam (kardio + kekuatan), jangan terlalu bergantung kepada aktiviti-aktiviti yang sudah menjadi rutin untuk menurunkan berat lemak.

2 - Dengan sedikit modifikasi (kerap) ke atas aktiviti-aktiviti yang sudah menjadi rutin tersebut, anda boleh menipu tubuh anda lalu boleh menurunkan berat badan dengan konsisten. Bagaimana caranya? Ini akan aku kongsikan dengan lebih lanjut dalam sesi tips yang akan datang.

Si anak: Berpeluh-peluh mak potong cabai tu, lap lah sikit, nanti masuk dalam sup pulak.
Si ibu: Biarlah, peluh ni maksudnya bakar lemak, biar cair lemak-lemak badan ni.
Si anak: Tapi SS cakap lain mak, dia cakap peluh tu tiada kena mengena dengan bakar lemak.
Si ibu: Biarlah, janji mak buat kerja-kerja rumah ni, kira senaman juga apa, mana tau boleh kurus.
Si anak: Tapi kenapa sampai sekarang pun mak tak kurus-kurus? Gendut lagi ada laa..
Si ibu: Mulut!!! (Pangggg!)
Si SS: Kan dah kena pelempang, siapa suruh tak sayang mulut dik?

P/S: Dah join ke belum?

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

December 9, 2010

PERTANDINGAN 'Snap', 'Upload', dan 'like'! (Revised)

Bersempena dengan kemunculan weblog susu sejat yang baru tidak lama lagi, aku dengan sukacitanya ingin menganjurkan sebuah pertandingan. Pertandingan ini cukup mudah dan sesiapa pun boleh menyertainya.

Syarat-syarat pertandingan adalah seperti berikut:

- Terbuka kepada SEMUA pembaca-pembaca blog susu sejat dot com, tidak kira yang berada di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei (ada ke?), US, Jepun, Timur tengah, Afrika, Eropah, atau di mana sahaja anda berada.

- Harus mempunyai akaun Facebook.


Cara-cara menyertainya pula adalah seperti berikut:

1 - Ambil apa sahaja gambar (harus gambar kepunyaan sendiri, bukan di copycat dari google image atau internet) berkaitan diet, senaman atau gaya hidup.


2 - Hantarkan gambar ke alamat emel berikut: sususejat[at]gmail.com

3 - Bersama-sama emel tersebut, lampirkan juga perkara-perkara berikut:
  • Nama yang diguna untuk akaun Facebook - (contoh "Susu Sejat")
  • "caption" (penerangan) berkenaan gambar tersebut
  • satu slogan yang anda fikir mantap untuk dijadikan slogan blog susu sejat yang baru

4
- Semua gambar-gambar yang bertanding akan diletakkan dalam satu album yang boleh diakses di sini.

5 - Dapatkan jumlah 'like' sebanyak yang mungkin untuk gambar tersebut. Pemenang akan ditentukan berdasarkan jumlah 'like' yang terbanyak. Bagaimana untuk mendapat 'like' terbanyak? Berbagai-bagai cara yang boleh anda lakukan dan itu bergantung kepada strategi masing-masing.

"Eh, ada butang share?"

6 - Setiap peserta boleh 'upload' sebanyak mana gambar yang mereka mahu untuk meningkatkan lagi peluang untuk menang, tetapi perlu diingatkan bahawa pemenang hanya akan ditentukan berdasarkan jumlah 'like' untuk satu-satu gambar sahaja, dan bukannya jumlah kesemua 'like' untuk semua gambar-gambar yang di upload.

7 - Tarikh tutup pertandingan ini ialah pada 31 Disember 2010. Pemenang akan diumumkan kemudian di blog susu sejat yang baru.

Mudah bukan? Mungkin ada yang berkira-kira soal hadiah buat pemenang. Ya, pertandingan mana yang tiada hadiah kan. Hadiah berupa barangan kesihatan 'misteri' bernilai RM50++ khas pilihan hati susu sejat. Nilai hadiah mungkin akan ditambah bergantung kepada populariti pertandingan ini kelak. Teruja habis? Apa ditunggu lagi, cepat-cepatlah 'snap', 'upload', dan 'like' sekarang!


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

December 8, 2010

Rejim senaman bakar lemak di rumah (Versi 1)

Ramai bebenor yang menanyakan aku berkenaan senaman asas bakar lemak yang boleh dilakukan di rumah. Syukurlah, perkembangan positif ini hadir mungkin impak daripada kempen "senaman" yang aku selitkan dalam entri-entri di blog sejak akhir-akhir ini.

Senaman yang aku ingin anjurkan dalam entri kali ini dikenali sebagai senaman Calisthenics, yakni senaman yang menggabungkan kedua-dua kardio dan latihan beban (menggunakan berat badan/bodyweight sebagai beban).

Buat mereka yang tidak biasa atau tidak pernah melakukan latihan beban, kenaikan otot tetapi turun berat dalam masa yang sama adalah perkara normal. Otot akan mudah 'naik' jika anda tidak biasa melakukan latihan beban kerana otot terkejut dengan situasi fizikal yang secara tiba-tiba menerima beban, lalu otak memberikan isyarat kepada badan supaya badan memerlukan lebih otot untuk menghadapi latihan beban yang sama di masa akan datang. Namun hal ini akan terhenti apabila badan berjaya menyesuaikan diri, ditambah pula dengan ambilan kalori yang dihadkan (untuk turun berat badan) sekaligus menyukarkan proses penambahan otot.

Perlu diingatkan bahawa senaman Calisthenics ini tidak sesuai dilakukan jika anda berniat untuk menambah berat otot atau "bulk up" tetapi lebih sesuai kepada mereka yang hendak mengekalkan berat otot disamping membakar lemak ("tone up"). Jika anda berniat untuk "bulk up", anda mungkin memerlukan beban tambahan seperti pemberat lengan atau dumbell untuk setiap senaman.

Rejim senaman yang bakal aku tunjukkan sebentar lagi tidak mengambil masa yang lama, hanya 30 minit sahaja setiap sesi, dan boleh dilakukan di rumah bila-bila masa (anda tiada alasan untuk tidak bersenam lagi selepas ini), justeru itu ia amat sesuai dipraktikkan oleh mereka yang betul-betul sibuk dengan kerjaya dan belajar.

Jadi bagaimana rupanya rejim tu? Mari kita turuti satu persatu (harus dilakukan mengikut turutan).

1 - Stretching
Lakukan regangan otot terlebih dahulu, kerana kajian menunjukkan senaman regangan sebelum bersenam/bersukan mampu mengelak kecedaran sekurang-kurangnya 50%.

2 - Warmup
Berlari-lari anak keliling rumah untuk tempoh 5-10 minit (Selepas 5 minit, jika nadi anda dah berdenyut lebih laju daripada biasa pun dah ok).

3 - Push up
Lakukan tekan tubi (standard push up) sebanyak 10x setiap set, untuk permulaan lakukan 2 set, setiap satu diselangi rehat selama 30 saat.

4 - Jumping jack
Ini diikuti pula dengan senaman yang lebih popular dikenali di bangku sekolah sebagai lompat bintang sebanyak 50x, jangan terlalu laju dan jangan terlalu perlahan, tetapi ikut pada kemampuan. Ingat, konsistensi itu penting.


5 - Half-way Sit up
Mengapa mesti half-way sit up dan bukan full sit up? Bagi aku half-way sit up lebih berkesan dalam memberikan "burning sensation" atau kesan pembakaran pada otot perut berbanding full sit up. Tambahan pula form/kualiti senaman senang untuk lari kalau buat full sit up, anda mungkin akan menggunakan momentum badan untuk mengangkat badan anda dan bukannya otot perut.

Half-way sit up tidak memerlukan anda baring dilantai untuk setiap ulangan (repetation), tetapi biarlah dalam keadaan "hampir-hampir baring" sebelum merapatkan kembali dada ke lutut. Buat permulaan kepada si amatur, anda boleh melakukannya dihujung katil, tambah-tambah jika tilam berspring. Lakukan 10x dalam setiap set (untuk 2 set, setiap satu diselangi rehat 30 hingga 60 saat).

Pertama sekali, kaki jangan cecah lantai, satu-satunya sokongan/anchor anda ketika ini ialah punggung anda.

Kemudian tolak diri anda ke belakang, dan dalam masa yang sama tolak kaki anda ke hadapan, namun tak perlu tolak sehingga habis sehingga mencecah lantai. Lakukan secara perlahan agar regangan pada otot perut dapat dirasa. Kemudian, rapatkan kembali kepala anda ke lutut seperti gambar permulaan tadi - ini dikira sebagai 1x ulangan.


6 - Stairway to heaven
Nama "stairway to heaven" ni aku reka sendiri. Konon-kononnya dengan senaman ni dapatlah membawa anda kepada hidup yang lebih sihat dan mantap, tak ke begitu? Tak susah nak lakukan senaman ni dan apa yang anda perlukan ialah tangga untuk ke tingkat atas rumah anda. Anda hanya perlu berlari-lari anak naik ke atas, kemudian turun ke bawah (ni dikira sebagai satu ulangan), dan lakukannya sebanyak 20x. Apa?? Rumah ko tak der tangga ye Senah? Gantikan senaman no.6 ini dengan senaman no.4 sebanyak 50x, boleh?

7 - Squat (bodyweight)
Macam mana nak buat squat? Sila lihat gambar dan mini tutorial di bawah, dan untuk permulaan lakukan 20x, untuk 2 set (setiap set diselangi dengan rehat 30 saat).

Pertama, berdiri lurus. Kemudian rendahkan punggung anda ke bawah secara perlahan-lahan, dan bukannya lutut anda ke bawah (lutut sehingga bahagian bawah kaki sepatutnya tidak bergerak banyak, statik lebih baik). Sekiranya anda dapati otot hamstring (peha belakang) anda meregang, maka anda berjaya melakukan senaman ini dengan betul.

Memandangkan badan kita ni terlalu pintar untuk menyesuaikan diri, maka rejim senaman di atas perlulah dirombak dengan senaman-senaman yang lain setiap 2 minggu sekali agar program "fat loss" anda berjalan lancar. Mungkin di masa yang akan datang aku akan kongsikan pula rejim senaman versi yang kedua sebagai panduan. Harap dapat ingatkan aku di Facebook ya?

Si anak: Mak, kenapa mak berlari-lari dalam rumah macam orang gila?
Si ibu: Mak tak gila nak.. mak masih waras. Jom lah ikut mak berlari-lari.
Si SS: Selamat bersenam, rakyat Malaysia!

P/S: Senaman di atas tidak akan berkesan untuk membakar lemak jika diet anda (ambilan kalori dalam sehari) tidak dijaga.


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

December 5, 2010

Diari SS: Siri Joy Belajar Berenang (Minggu 3)

Sambungan Diari SS: Siri Joy Belajar Berenang (Minggu 2)

Hari ini genaplah sebulan "Diari SS: Siri Joy Belajar Berenang" bercuti di alam maya. Hal ini disebabkan oleh faktor-faktor musim cuti dan perayaan yang melanda negara kita sepanjang bulan November yang lalu (daripada cuti Deepavali, Raya Haji, dan juga majlis kenduri kahwin), dan semua ini memaksa aku untuk meninggalkan seketika hiruk pikuk kota juga kelas berenang buat seketika dan kembali ke kampung halaman yang tecinta. Tahu tak di mana?

Taraaaaa!

Seperti yang dijanjikan, untuk episod kali ini aku akan menceritakan sedikit pengalaman aku mempelajari apa yang dikenali sebagai "Kuak Katak" atau nama professionalnya "Kuak Dada" atau "Breast Stroke".

Koordinasi kuak katak boleh dipecahkan kepada 2 komponen, iaitu koordinasi lower body (dari pinggang hingga ke hujung kaki) dan koordinasi upper body (dari pinggang hinggalah ke kepala dan tangan). Adalah penting untuk memastikan kedua-dua komponen ini dilakukan secara teratur dan tidak berterabur, bukan sahaja untuk mendapatkan gaya renang yang cantik, tetapi juga untuk meminimakan rasa penat.

Untuk pendedahan awal, coach Mas telah memberikan fokus terlebih dahulu kepada aspek lower body iaitu koordinasi kaki. Mengapa dimulakan dengan kaki? Ini kerana dalam renang, kaki merupakan enjin utama yang menggerakkan kita ke hadapan, dan kebiasaannya jaguh-jaguh renang seperti Michael Phelps mempunyai otot kaki yang agak kuat (walaupun ada berpendapat faktor kehebatan jaguh renang dari US ini sebenarnya terletak pada tubuhnya yang tinggi dan dinamik ketika meluncur dalam air).

Dalam kuak katak, terdapat 3 koordinasi kaki yang harus dipatuhi mengikut turutan, iaitu "open" (gambar sebelah kiri), "kick" (gambar tengah), dan "close" (gambar sebelah kanan).

Ketika melakukan "open", kaki haruslah bertahan pada posisi tersebut beberapa saat supaya momentum cukup untuk memberikan daya tujahan kehadapan yang maksimum. "Kick" adalah posisi di mana kaki seakan-akan menendang air ke belakang lalu memberikan daya tujah kehadapan.

Harus diingat bahawasanya perubahan koordinasi daripada "kick" kepada "close" haruslah dilakukan secepat yang mungkin supaya rintangan dapat dikurangkan sekaligus memastikan anda mampu menolak diri anda jauh kehadapan. Selepas koordinasi "close" dilakukan, biarkan tubuh anda meluncur ke hadapan untuk beberapa saat sebelum mengulangi kembali koordinasi "open", dan begitulah seterusnya.

Sedang mendapat tunjuk ajar daripada coach Mas. Untuk pengetahuan semua, beliau bukan sedang bercakap, "Eh, apa tu, ada najis dekat keting kau". Please keep that in mind.

Latihan kuak katak ini agak memeritkan pinggang dan paha secara keseluruhan.

Serius, aku terketar-ketar nak pastikan kaki supaya tak mencecah lantai. Kaki "berat" lah konon-kononnya.

Sesi meluahkan perasaan cinta masalah ketika berenang sedang berlangsung.

Kaki dah terkepak macam katak. Ini merupakan posisi "open" (pertama) dalam kuak katak.

Ini pula merupakan posisi "kick" (kedua) dalam kuak katak. Serius "kick" ni tak berapa cantik, sepatutnya bahagian lutut harus lebih lurus, bukannya membengkok macam dalam foto ni.

Aku: Yeee Haaa! Best nya berenang tanpa gangguan coach Mas!

Aku: Meluncur dengan lancar seperti dolphin.. kebebasan tanpa sebarang arahan..

Coach Mas: Wuargggghhhhh!!
Aku: Opocot, mak kau! Mana tiba-tiba datangnya coach Mas ni..

Coah Mas: Kepala tunduk pandang lantai, bukan pandang depan!
Aku: Baik coach... (bukan sahaja tundukkan kepala, tenggelamkan kepala terus, huhu)


Persediaan Sebelum Swimming (disediakan oleh coach Mas dan Joy)

1 - Nutrisi ketika renang (sebelum, ketika, dan selepas)
Berenang dengan perut kosong pada waktu pagi boleh mempengaruhi prestasi latihan. Sebelum latihan, sila pilih makanan berkarbohidrat rendah GI (Glycemic Index) seperti Buah-buahan, Kacang panggang (baked beans) atau Spagetti. Jika anda melakukan aktiviti renangan berterusan melebihi 1 jam, sila "topup" tenaga yang diperlukan dengan sports drink atau sports gels (Power Gel) ketika latihan. Disyorkan anda meletak sebotol air mineral dan sebotol sports drink di kedua-dua hujung lorong renang. Selepas berenang, ambil makanan yang kaya dengan karbohidrat dalam 30 minit selepas latihan (atau boleh rujuk minuman pengembali tenaga cara Susu Sejat).

2 - Harus Relaks
Kepada yang baru belajar berenang, janganlah dibawa bersama perasaan tekanan/stress di tempat kerja ke kolam renang, jika tidak prestasi anda akan hancur sehancur-hancurnya seperti kaca yang dihempaskan ke batu. Haruslah rileks supaya anda tidak melakukan gaya yang merapu dan memalukan keluarga dan sahabat handai ketika di kolam renang (tambah-tambah kalau aksi anda itu direkodkan, kemudian di 'share' pula beramai-ramai di Facebook). Namun ini terbalik pula dengan mereka yang sudah pandai/pakar berenang di mana berenang akan menjadi anti-depressent, mereka yang stress akan menjadi lebih tenang selepas berenang.

3 - Buang air kecil
Sila buang segala yang patut terutamanya air kecil terlebih dahulu. Untuk meminimumkan rasa nak terkencing, dinasihatkan jangan keluar masuk kolam terlalu kerap, dan jangan sesekali berhenti bergerak ketika berada dalam air (pantang ada awek ber 'bikini bottom', mesti nak berhenti dan pandang lama-lama, sila elakkan). Sekiranya sedang mendengar arahan daripada jurulatih, buatlah sesuatu seperti menggosok kedua belah tapak tangan dengan laju atau sebagainya; pokoknya, jangan duduk diam sahaja. Nanti kalau dah 'warna kuning' air kat permukaan tu (atau sensor pH dekat kolam tu berbunyi) siapa nak jawab? Tambah pula malam sebelum tu dah makan petai bertangkai-tangkai, silap haribulan tak perlu tunggu sensor, orang dalam kolam tu dah menjerit dulu, "Siapa punya petai ni?!!!"

Selamat berenang!

Bersambung...


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

December 2, 2010

Kisah 2 Askar: "Strive for a better body and health..."


Battalion O.T.O.T (Protagonist / Hero)

Jeneral: Wahai battalion O.T.O.T sekalian! "Dunia" kini sudah tidak selamat lagi. Saban hari, askar-askar musuh kian ramai. Puak Visceral dan puak Subcutaneous kini bekerjasama untuk mengusai "dunia", dan ini tidak boleh dibiarkan!

Kapten: Kata Tuan ada benarnya. Populasi askar-askar musuh sememangnya bertambah ramai dan jika dibiarkan, "dunia" kita akan "hancur" dalam masa tidak sampai separuh abad, meskipun "dunia" kita masih muda usianya. Kehancuran ini bakal berpusat daripada tindak-tanduk puak Visceral yang bakal mengganggu jantung kepada "dunia" ini daripada bekerja.

Leftenen: Kalau begitu, apa yang harus kami lakukan Tuan?

Jeneral: Adakan mesyuarat tergempar pihak atasan dengan seberapa segera. Kita mesti merancang suatu plan drastik agar askar musuh tidak mara dengan lebih jauh.


Gerilla F.A.T, Puak Visceral (Antagonist / Musuh)

Panglima Agung 1: Syabas askar-askar ku! Hari demi hari pengikut kita bertambah ramai nampaknya. Ini kalau buka Facebook Fan Page confirm dapat 100 juta "like", Lady Gaga pun boleh kalah, hehe!

Panglima Agung 2: Betul tu Tuan. Nanti bolehlah kita berdua jadi admin untuk Page tu, ye tak? Apa-apa pun kita kena ucapkan terima kasih kepada "penjaga dunia" ini, kerana dia lah, puak kita semakin ramai.

Laksamana: Mana tidaknya, hari-hari dah diberi duit kopi, terpedaya lah dia. Cakap sahaja, Teh Tarik? Sirap? Air manis-manis? Potato Spring? Kudapan? Kek Lapis? Asalkan ada semua ni, tak menjadi masalah, small matter lah!

Panglima Agung 2: Puak Subcutaneous pun tidak kurang hebatnya, mereka berjaya memanipulasikan "penjaga dunia" ini supaya menjadi malas (untuk bersenam). Dan lebih menggembirakan, mereka sedia bekerjasama dengan puak kita untuk menguasai "dunia" ini.

Panglima Agung 1: Suka benar aku mendengar khabar ini, hahahahahaha...!!!

Persoalannya di sini, berjayakah Battalion O.T.O.T menyelamatkan "dunia" daripada kehancuran? Mampukah mereka menyekat kemaraan Gerilla-gerilla F.A.T daripada mengusai sekaligus melakukan onar di "dunia" ini? Adakah kejayaan berada di pihak yang benar suatu hari nanti, andaikata Battalion O.T.O.T tidak mendapat sokongan "penjaga dunia" itu sendiri? Apakah cara paling berkesan untuk memastikan kedua-dua puak yang dibenci ini pupus/hampir pupus daripada "dunia" ini?

Strive for a better body and health. Frasa ini jika kita terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu akan berbunyi, "Sedaya upaya untuk (mendapatkan) tubuh dan kesihatan yang lebih sempurna". Tetapi berapa ramai yang benar-benar faham akan maksud ini, andaikata misi untuk "kurus" telah mengaburi suatu misi yang lebih utama, iaitu untuk "sihat"?

Secara matematik, proses penurunan berat badan tidak memerlukan senaman, asalkan kuantiti pengambilan makanan dalam sehari (kalori) adalah rendah daripada kalori yang diperlukan badan. Tetapi penurunan berat lemak (body fat) mungkin tidak turun secara total dan anda mungkin masih memiliki banyak Subcutaneous Fat! Persoalan timbul sekali lagi, berapa ramai yang benar-benar nampak akan hal ini?

Diet + Senaman = Penurunan berat lemak secara total + SIHAT


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails