Showing posts with label Terjah Obesiti. Show all posts
Showing posts with label Terjah Obesiti. Show all posts

July 26, 2010

Terjah Obesiti #3: Minuman Ringan

Apa itu minuman ringan?

Minuman ringan, atau dalam bahasa Inggerisnya 'Soft Drink', adalah sejenis minuman yang kebiasaannya terdiri daripada pelbagai perisa tiruan dan gula semata-mata. Di barat, istilah ringan itu wujud memandangkan minuman sebegini tidak mengandungi alkohol, atau kandungan alkoholnya yang sangat rendah.

Kebiasaannya, minuman sebegini mengandungi gas karbonat untuk memberikan rasa tajam ketika diminum. Rasa tajam ini apabila digabungkan dengan rasa sejuk (jika minuman tersebut disejukkan) akan menghasilkan rasa dan kenikmatan yang sempurna, terutamanya apabila diminum ketika cuaca panas.

Antara jenis-jenis minuman ringan ialah cola (Pepsi, Coke), teh ais (Lipton), dan fruit punch (Tropicana).


Minuman ringan mengandungi gula semata-mata, dan kalori yang wujud dalam minuman ini juga datang daripada gula semata-mata. Kebiasaanya minuman ringan tidak mengandungi protein dan lemak. Perumpamaan untuk komposisi minuman ringan adalah seperti berikut:

Air kosong + Gula + Perisa + Karbonat (jika ada) = Minuman ringan


Mengapa minuman ringan dikatakan punca obesiti?

Kalian mesti sudah bosan aku berbicara soal kalori bukan? Apa kata hari ini kita pandang punca obesiti berkaitan minuman ringan ini dari perspektif berbeza, iaitu metabolisma, dan bukannya matematik (kiraan kalori).

Gula yang terkandung dalam minuman ringan adalah merupakan karbohidrat ringkas yang sudah diproses (refined carbs). Pengambilan karbohidrat ringkas seperti ini akan menggalakkan penghasilan insulin, dan apabila paras insulin menjadi terlalu tinggi dalam darah, otak akan mula berfikir bahawa badan sedang berada dalam fasa 'aktif' dan memerlukan lebih sumber tenaga - ini mengakibatkan anda akan berasa lebih dahaga (tidak puas dengan apa yang diminum tadi). Akibatnya, sama ada anda akan menambah lagi minuman ringan ini, atau menghabiskan terus sebotol yang dibeli.

Oleh kerana gula merupakan karbohidrat yang sudah diproses, maka badan tidak akan mengambil masa yang lama untuk mencernakannya. Sifat gula yang mengandungi tinggi glycemix index (G.I) akan membuatkan ia cepat memasuki aliran darah dalam bentuk glucose, dan dibawa ke serata sel dalam tubuh badan melalui darah dengan bantuan hormon yang kita kenali sebagai insulin.

Sel tidak memerlukan terlalu banyak glucose untuk menjalankan fungsinya, lalu apakah yang akan berlaku jika ia menerima terlalu banyak glucose? Glucose yang berlebihan akan ditukarkan kepada glycogen dan disimpan sementara di dalam sel sehinggalah ia akan digunakan kelak. Namun, persoalan seterusnya akan timbul, apakah yang akan berlaku jika paras glycogen di dalam sel menjadi terlalu tinggi? Glycogen tersebut akan dibawa dan disimpan didalam hati, dan HANYA akan diguna pakai apabila badan berada pada fasa lapar, seperti puasa, dan bersukan (kardio).

Persoalan seterusnya pula akan timbul. Apa pula yang akan terjadi jika paras glycogen dalam hati menjadi terlalu tinggi? (anggap bahawa orang ini mempunyai kadar metabolisma yang rendah, sentiasa makan dan mengamalkan cara hidup yang tidak sihat). Badan akan mengarahkan hormon yang baru sahaja kita kenali tadi, iaitu insulin, untuk menukarkan semua glycogen dalam hati yang berlebihan kepada apa yang kita kaitkan dengan punca obesiti, iaitu LEMAK.

Yang terkandung dalam sebotol Radix Cola (1.5L)


Susu Sejat ada penyelesaian untuk masalah ini?

Penyelesaian Susu Sejat untuk isu ini mudah, iaitu ambil minuman ringan seperti ini pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika majlis hari jadi orang tersayang, dan ketika menyambut perayaan tertentu (Hari raya, tahun baru Cina, Deepavali); namun cuba untuk hadkan pengambilannya agar tidak melebihi segelas. Selain daripada 2 situasi diatas, aku syorkan agar tinggalkan terus minuman ringan ini, selagi boleh. Minuman ringan langsung tidak mempunyai khasiat, malah sesetengah minuman ringan mengandungi bahan-bahan kimia lain yang boleh memudaratkan kesihatan kelak.

Tip 1: Buat Ibu bapa, didiklah anak-anak sejak kecil lagi agar kurang minum minuman ringan. Anda adalah role model yang terbaik untuk mereka contohi.

Tip 2: Jika ingin sesuatu yang manis, lebih baik memilih Yoghurt berbanding minuman ringan, pada sebelah pagi. Walaupun kebanyakan Yoghurt manis rasanya, namun kandungan gula dalam satu cawan Yoghurt hanyalah 2/3 berbanding yang terkandung dalam setin minuman ringan. Tambahan, Yoghurt baik untuk sistem penghadaman. Namun janganlah bila aku berkata begini, kalian semua akan makan bercawan-cawan Yogurt dalam sehari. Bersederhanalah, kerana ia merupakan kunci kesihatan yang utama.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 12, 2010

Terjah Obesiti #2: Sambal Tumis (Minyak)

Minggu lepas, segmen Terjah Obesiti telah mengupas akan susu pekat manis selaku faktor utama yang menyumbang kepada kegemukan dan obesiti di kalangan rakyat Malaysia. Minggu ini, kita fokus pula kepada sebuah lagi makanan (makanan? ye la kot..) yang tidak asing lagi dalam masakan Melayu, iaitu sambal tumis.


Apa itu sambal tumis?

Sambal (tumis) merupakan sos/bumbu/kuah yang popular dalam masakan Melayu. Ia juga sering digunakan dalam masakan-masakan di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Pendek kata, hampir semua sumber protein boleh dimasak bersama sambal tumis, daripada ayam, ikan, telur, hinggalah kepada tauhu dan petai.

Di Malaysia, ia dipanggil sambal tumis kerana sambal itu digoreng/ditumis bersama minyak terlebih dahulu sebelum bahan-bahan yang lain dimasukkan.


Mengapa sambal tumis dikatakan punca obesiti?

Terdapat 2 faktor yang menyedapkan sesebuah sambal, iaitu sejauh mana rasa manis sesebuah sambal itu, dan sejauh mana rasa 'lemak' sambal tersebut. Dua faktor ini sekali gus menjadi penentu sejauh mana pekatnya sambal tumis tersebut.

Lebih pekat sesebuah sambal, bererti lebih banyak minyak, gula, atau kombinasi kedua-duanya, digunakan. Dalam erti kata lain, lebih pekat sesebuah sambal, lebih tinggi kalori yang terkandung di dalamnya.

Setelah membuat analisa dan pengiraan, Susu Sejat mendapati satu sudu besar sambal tumis (pekat) mengandungi kira-kira 50 hingga 100kcal, bergantung kepada resepi (berapa banyak minyak dan gula) yang digunakan. Secara purata, rakyat Malaysia akan mengambil kira-kira 5 sudu besar sambal tumis setiap hari, menerusi:

1) Sarapan pagi (jika makan nasi lemak)
2) Makan tengahari atau makan malam (jika makan sambal tumis ayam, ikan, telur, dan sebagainya)

Dan itu membawa kepada kira-kira 250kcal hingga 500kcal secara purata dalam sehari. Apabila digenapkan selama seminggu, ia akan membawa kepada 1750kcal hingga 3500kcal, dan itu sudah cukup untuk menghasilkan satu pound lemak!


Susu Sejat ada penyelesaian untuk masalah ini?

1 - Jika anda seorang yang kuat pendirian, seelok-eloknya berhenti terus dari mengambil sambal tumis. Ubah cara pemakanan kepada cara nenek moyang kita yang tidak terlalu bergantung kepada makanan pedas, dan makan hanya makanan yang direbus atau ulam-ulaman (Ye la, zaman dahulu mana ada minyak, proses pengekstrakan minyak masih belum ditemui). Namun, berapa ramaikah yang sanggup berbuat sedemikian? Susu Sejat berpegang kepada sebuah tag-line iaitu "sampai bila kita harus mengharamkan makanan tradisi kita", dan mungkin ada sesetengah pihak yang tidak boleh menerima cara yang pertama ini.

2 - Jika anda seorang suri rumah tangga, kurangkan penggunaan minyak dan gula ketika memasak. Gantikan dengan minyak zaitun untuk lebih sihat, berbanding minyak sayuran dan minyak kelapa sawit. Sekiranya anda atau suami/anak anda seorang yang tidak boleh menerima perubahan secara mendadak, sila kurangkan penggunaan minyak dan gula dalam masakan anda secara berperingkat-peringkat. Sebagai contoh, minggu ini, anda mungkin menggunakan 7 sudu besar minyak masak dan 5 sudu besar gula. Untuk minggu seterusnya, ubah (modify) sedikit resipi yang asal dengan 6 sudu besar minyak masak dan 4 sudu besar gula, dan begitulah juga untuk minggu yang seterusnya, kurangkan sedikit demi sedikit.

3 - Jika membeli nasi lemak di luar, sila pilih sambal tumis yang lebih cair dan bukannnya pekat. Sudah menjadi kebiasaan peniaga nasi lemak akan menyediakan berbagai jenis lauk dan sambal untuk dipilih oleh para pelanggan.

4 - Sekiranya anda seorang peniaga makanan, kurangkan penggunaan minyak dan gula dalam masakan anda. Bukan sahaja boleh berjimat dan mengurangkan kos, secara tidak langsung anda juga membantu membawa rakyat Malaysia ke arah gaya hidup yang lebih sihat berbanding sekarang. Kata nak tengok skuad bola sepak Malaysia masuk ke Piala Dunia? Mulakannya dari makanan (Susu Sejat yang cakap).

5 - Sekirannya sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sambal tumis yang pekat ini, selemah-lemah iman, kurangkan pengambilannya dari satu sudu besar, kepada setengah sudu besar untuk setiap hidangan. Jika membeli nasi lemak di luar, pesan kepada penjual itu agar mengasingkan kuah/sambal, atau letakkan 'seciput' di tepi dan bukannya dibanjirkan terus di atas permukaan nasi.

Mak aihh.. ni sambal ke minyak?


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

July 5, 2010

Terjah Obesiti #1: Susu Pekat Manis

Mulai hari ini, aku nak memperkenalkan sebuah segmen baru dalam Susu Sejat, yang dikenali sebagai 'Terjah Obesiti'. Apa tu? Melalui segmen ini, Susu Sejat akan membongkar satu persatu makanan/produk di Malaysia yang menjadi punca kepada kegemukan rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Memanglah kegemukan itu disebabkan amalan pengambilan lebih kalori daripada yang sepatutnya, di samping gaya hidup yang kurang berkualiti (membawa kepada penurunan kadar metabolisma), namun mesti ramai juga yang nak tahu kan, dalam banyak-banyak makanan/produk di Malaysia, yang mana satukah penyebab kegemukan yang paling ketara.

Untuk episod pertama ini, apa kata kita mulakan dengan sejenis 'penyedap' masakan/minuman yang tidak asing lagi, iaitu susu sejat susu pekat manis. Errr.. Pernah dengar?


Apa itu susu pekat manis?

Kalau ada yang tak tahu apa itu susu pekat manis, bagi aku memang tak layak dipanggil Malaysian. Ini merupakan 'penambah baik rasa' yang kita kenal sejak zaman kita-dah-mula-boleh-minum-Milo lagi (lebih kurang umur 2 tahun). Setelah umur kita meningkat sedikit, ibu mula membenarkan kita minum kopi dan teh, yang juga disedapkan dengan kehadiran susu pekat manis. Masuk alam remaja, dah pandai pula melepak di restoran mamak (mapley), dan memang tak sah kalau tak pesan teh tarik. Oh, teh tarik pun pakai susu pekat ye En. Susu?


Mengapa susu pekat manis dikatakan punca obesiti?

Perhatikan info pemakanan susu pekat manis F&N di bawah.

Tercatat bahawa satu sajian susu pekat manis ini adalah bersamaan dengan 20g (2 sudu teh) dan mengandungi 69kcal. Bayangkan, secara purata, setiap rakyat Malaysia membancuh minuman panas (Milo atau kopi) sebanyak 3 kali sehari, iaitu ketika awal pagi, minum petang, dan sebelum tidur (cicah dengan biskut segi empat). Dan katakan, setiap bancuhan juga melibatkan 2 sudu teh, bererti dalam sehari mungkin mengambil sekurang-kurangnya 6 sudu teh susu pekat manis.

69kcal x 3 = 207kcal (sehari)

Sekiranya diamalkan setiap hari, dalam setahun...

207kcal x 365 = 75555kcal

Dan apabila ditukarkan ke kilogram,

75555kcal/ 7700 = 9.8kg!!!

9.8kg, itulah berat lemak yang mungkin bertambah dalam diri anda dalam setahun, jika anda mengamalkan gaya hidup yang 'lemah' dan kurang aktif. Itu baru setahun, katakan jikalau kita dah amalkan pengambilan susu pekat manis ni sejak 10 tahun yang lalu...

9.8kg x 10 = 90.8kg

90.8kg?!! Itulah angka yang mungkin anda dapat jika anda sentiasa mengambil lebih kalori daripada yang sepatutnya, terutamanya daripada susu pekat manis (namun besar kemungkinan ini tidak mungkin berlaku kerana terdapat juga hari/tempoh di mana pengambilan kalori kita lebih rendah daripada yang sepatutnya, terutama melalui senaman ataupun puasa. Namun angka ini cuma teori atas kertas berdasarkan kiraan matematik. Hakikatnya, ini yang akan berlaku jika anda langsung tidak bersenam, ambil lebih kalori daripada yang sepatutnya, setiap hari, dalam tempoh 10 tahun).


Susu Sejat ada penyelesaian untuk masalah ini?

1 - Jika anda seorang yang kuat pendirian, seelok-eloknya berhenti terus dari mengambil susu pekat manis. Anda mungkin akan kehilangan berat sebanyak 9.8kg selama setahun jika mengamalkannya. Mulakan tabiat minum minuman secara 'O' seperti Kopi O, Milo O, Teh O (kurang manis, atau 'kosong').

2 - Jika No.1 adalah membebankan bagi anda, gantikan 2 sudu teh susu pekat manis tadi dengan 2 sudu teh sumber tenusu yang lebih berkualiti seperti susu rendah lemak, atau susu skim.

3 - Jika No.1 dan No.2 juga membebankan bagi anda, selemah-lemah iman, kurangkan pengambilan susu pekat manis, iaitu hadkan pengambilannya hanya ketika sebelah pagi, hanya 1 sudu teh sehari.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails