Showing posts with label Myths. Show all posts
Showing posts with label Myths. Show all posts

August 26, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 6)

Nampak gayanya masih banyak mitos yang menerewang di pelusuk-pelusuk kampung pedalaman, meskipun broadband dan 3G sudah wujud sejak akhir-akhir ini. Kali ni mitos apa pula ya?


17 - Omega-3 dalam Ikan Sungai (bela)

Tersurat: Mak Ngah Gelap baru sahaja pulang dari Pahang, membawa pulang banyak ikan patin lalu dimasaknya masak lemak tempoyak ikan patin. Berikut adalah perbualan di antara beliau dengan anak menakan kesayangannya, Senah Da Legend.

"Ni Senah, Mak Ngah masak ikan patin, banyak ni, makan noo"

"Ini ikan sungai ka ikan bela Mak Ngah?"

"Bela kot.. mughah (murah) semacam ja. Sekoq (seekor) dua kupang lima duit (25 sen)"

"Mak aih.. mughah sangat tu, takkan la.."

"Betui la Senah.. tu yang aku bawak balik 5 plastik tu, hang jangan tak makan noo"

"Isk.. kalau hak bela, tak mau la makan. Lemak tinggi, kalori tinggi"

"Apa dia? Naik Loghii?? (lori)"

"Tak, K.A.L.O.R.I. Nak teghang (terang) pun payah, che's tak beghapa pandai. Mak Ngah pi la baca kat internet, kat Susu Sejat dot kom"

"Amboi amboi hang Senah. Tak abeh abeh Susu Sejat dot kom hang. Dia tu sapa? Dia ingat dia baguih? Ni, Mak Ngah dot kom nak habak mai, Ikan patin ni baguih. Lemak ikan patin ni baguih. Pasai apa? Pasai dia kaya dengan Omega-3"

"Mana Mak Ngah tahu pasai Omega-3?"

"Mak Ngah baca kat Reader's Digest la! Depa cakap, lemak ikan ni baguih, kaya dengan Omega-3, baguih untuk jantung, dijamin sihat.. hang tengok ni.. tengok ni.. slurpp.. slurppp (sambil menghirup lemak yang terdapat pada perut ikan patin tersebut dengan lahapnya)"


Tersirat: Asid lemak omega 3 telah terbukti secara klinikal penting untuk kemandirian tubuh (fungsi utama membrane sel), di samping mencegah kita daripada penyakit-penyakit kronik seperti stroke, sakit jantung dan diabetes. Walaubagaimanapun, sejak zaman nabi Adam lagi tubuh badan kita tidak dapat menghasilkan omega 3. Maka dengan itu, hanya terdapat satu cara sahaja kita boleh mendapatkan omega 3, iaitu melalui diet.

Mungkin Mak Ngah Gelap lupa akan satu perkara. Memang Ikan mengandungi asid lemak omega-3 yang wujud dalam 2 bentuk berbeza: Eicosapentaenoic acid (EPA) dan Docosahexaenoic acid (DHA). Namun, kandungan asid lemak ini hanya wujud dalam kuantiti yang tinggi dalam ikan yang hidup di habitat laut dalam atau sungai dalam.

Secara teorinya, semakin jauh/semakin dalam habitat satu-satu ikan, maka semakin tinggi kandungan asid lemak omega-3 yang dimiliki. Rasionalnya terletak pada andaian bahawa habitat laut/sungai dalam ini jauh daripada sinaran matahari, dan ini bermaksud suhu persekitaran juga adalah jauh lebih sejuk berbanding suhu persekitaran di sekitar permukaan laut/sungai. Maka ikan laut/sungai dalam ini memerlukan lemak yang banyak menyelaputi mereka agar suhu dalaman tubuh dapat dikekalkan.

Dan mengapa pula hampir kesemua lemak yang wujud dalam ikan ini adalah lemak tak tepu (unsaturated fats), dan bukannya lemak tepu seperti yang wujud dalam lembu atau ayam? Jawapannya, lemak tepu mudah membeku, walaupun pada suhu bilik (perhatikan sahaja lemak yang terapung dalam sup tulang beberapa jam selepas dipanaskan), sedangkan sifat sebaliknya ada pada lemak tak tepu.

Lemak tak tepu agak susah untuk membeku, lebih cair dan ciri-ciri ini membuatkan ia sesuai untuk dijadikan sebagai membran sel (bahagian hydrophobic sesebuah membran). Sudah semestinya adaptasi ini harus ada pada ikan beriklim sejuk, dimana lemak yang menyelaputinya haruslah daripada jenis yang sukar membeku, dan oleh yang demikian, kita dapat memastikan hampir 100% lemak yang ada dalam ikan laut/sungai dalam adalah lemak tidak tepu, yang majoritinya dari kelas asid lemak Omega-3.

Selain itu, diet ikan itu sendiri juga yang akan menentukan jika mereka mengandungi kandungan omega-3 yang tinggi atau tidak. Seperti yang kita sedia maklum, tubuh badan kita tidak dapat menghasilkan asid lemak omega-3, begitu juga dengan organisma-organisma bertulang yang lain, dan ini termasuklah ikan.

Hakikatnya, omega-3 hanya dapat dihasilkan oleh hidupan berasaskan tumbuhan, seperti sumber kekacang, algae dan phytoplankton. Kebanyakkan algae dan phytoplankton pula tinggal di kawasan yang terdapat sedikit sahaja matahari, atau bahasa mudahnya, laut/sungai dalam. Ikan laut/sungai dalam mendapat omega-3 daripada algae dan phytoplankton, yang merupakan makanan utama dalam diet ikan-ikan berkenaan.

Hanya ikan yang habitatnya di laut/sungai dalam sahaja yang mengandungi kandungan asid lemak Omega-3 yang tinggi. Semakin dalam/sejuk habitat ikan tersebut, maka semakin tinggi kandungan Omega-3 yang dimiliki.

Setelah Susu Sejat menghuraikan kesemua fakta-fakta di atas, rasa-rasanya ikan patin yang dibela, seperti yang dibeli oleh Mak Ngah tadi tu mengandungi tinggi kandungan Omega-3 atau tidak? Memandangkan ikan dibela di sekitar permukaan sungai, sudah tentulah jawapannya TIDAK!

Meskipun omega-3 bagus untuk kesihatan, kalori tetap kalori. Makan secara berlebihan sesuatu yang berkalori tinggi akan cenderung menghasilkan kalori surplus, sekaligus mengakibatkan kegemukan.


Selepas 2 minggu, hanya kira-kira beberapa hari lagi nak Raya...

Mak Ngah Gelap: Oh my goat! oh my goat!

Senah: Awat (kenapa) Mak Ngah?? Awat dok teghiak lagu tu sekali?

Mak Ngah Gelap: Baju ghaya (raya) aku dah tak muat!!!!


*******
Setelah hampir 2 bulan tidak mengarang entri berkaitan "Mitos Zaman Moden", ruangan ini akhirnya kembali menemui para pembaca SS. Untuk episod-episod sebelum ini, boleh rujuk pada capaian berikut (lebih ragam di antara Mak Ngah Gelap dan Senah di "Bahagian 5"):

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 1)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 2)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 3)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 4)
Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 5)

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

August 2, 2010

Kalori Tersembunyi: Fakta atau Auta?

1 - Sup

Kepercayaan dulu-dulu: Makanan berasaskan sup ini bagus untuk kesihatan, malah mampu menurunkan berat badan. Alah, nama pun sup, apalah yang ada dalam sesebuah sup?

Fakta: Bukan semua sup mengandungi rendah kalori. Sup berasaskan binatang empat kaki (sup daging, sup kambing, sup ekor) mengandungi kalori yang tinggi daripada lemak tepu binatang. Kalori daripada lemak tepu ini tidak menyihatkan, meskipun kamu berniat untuk menaikkan berat badan.


2 - Burger

Kepercayaan dulu-dulu: Jangan makan nasi, kerana nasi menggemukkan. Beralihlah kepada benda lain untuk makan malam, seperti burger ke. Tak pe, jangan risau, asalkan bukan nasi, awak tak gemuk punya!

Fakta: Tak nak sentuh jauh-jauh, cukuplah fokus kepada daging burger itu sahaja, ok? Sekeping daging burger (lembu) jenama Ramly mengandungi kalori bersih sebanyak 189kcal. Kebanyakan kalori tersembunyi daripada daging burger ini datang daripada lemak tepu (lemak sapi), iaitu kira-kira sebanyak 14g untuk sekeping patty. Kebiasaannya daging burger ini digoreng menggunakan mentega/planta (mentega yang murah juga mengandungi lemak tepu), sekiranya dibeli di luar. Itu belum dicampur dengan mayonis, sos, keju, dan bun burger tu lagi, yang sesetengahnya juga dimasak dan disapu mentega.



3 - Yong Tau Foo

Kepercayaan dulu-dulu: (Sekali lagi) Asalkan awak tak makan nasi untuk makan malam, awak boleh kurus punya. Makan sesuatu yang rebus-rebus seperti Yong Tau Foo ke, dah cukup...

Fakta: Kalori tersembunyi Yong Tau Foo terletak pada kuahnya; tinggi kandungan gula, dan juga mengandungi minyak (namun ini bergantung kepada resepi yang digunakan si penjual). Bayangkan anda menuang sebotol sos cili keatas sehidangan tauhu rebus, rasa-rasanya berani tak nak menghirup kuah Yong Tau Foo tu? Aku pernah lihat ada individu yang menghirup kuah Yong Tau Foo apabila tauhu-tauhu dan bebola yang lain sudah habis (ini kes Yong Tau Foo kuah banjir).


4 - Twisties (Snek ringan)

Kepercayaan dulu-dulu: Berapa la sangat, setakat satu pek besar Twisties. Dah la tak mengenyangkan, makan sambil tonton TV, sedar-sedar dah habis. Benda kecil je tu. Tak perlu risaulah kawan!

Fakta: Sebungkus pek besar Twisties mengandungi kira-kira 490kcal (suku daripada jumlah kalori purata yang kita perlukan dalam sehari). Dan siapa sangka, separuh daripada nilai kalori tersebut berasal daripada lemak! Oh ya, perumpamaan mudah, disebabkan satu pek besar Twisties mengandungi kira-kira 20g lemak, jumlah tersebut sebenarnya bersamaan dengan kira-kira 2 sudu besar minyak masak. Maka secara teorinya menghabiskan sebungkus besar pek Twisties adalah bersamaan dengan menghirup 2 sudu besar minyak masak. Tak percaya? Terpulanglah.


5 - Capati

Kepercayaan dulu-dulu: Kalau nak sihat ketika makan di kedai mamak, silalah makan capati, kerana capati ni kurang berminyak. Jangan makan roti canai, kerana roti canai banyak minyak. Tak percaya? Tengoklah yang kilau-kilau pada permukaan roti canai tu.

Fakta: Mesti ramai yang tak tahu. Tapi capati sebenarnya adalah 'pembohongan' paling berjaya oleh pemilik kedai mamak kepada mereka yang meluahkan kata-kata di atas. Ya, capati sememangnya mengandungi kalori tersembunyi. Sesetengah capati menggunakan minyak sapi (lemak tepu) disamping mentega, dan di situlah terletaknya kalori tersembunyi yang ramai mungkin tidak mengetahuinya. Untuk pengetahuan semua, sekeping capati (100g) mengandungi jumlah kalori yang hampir sama sahaja dengan sekeping roti canai (100g), iaitu 300kcal.


Nota Kaki: Pendedahan ini tidak bermaksud makanan-makanan di atas tidak boleh dinikmati langsung. Tujuan penulisan ini hanyalah sekadar untuk menyedarkan kita bersama akan 'helah' yang terdapat dalam makanan-makanan yang popular di negara kita, agar kita lebih berwaspada dalam memilih makanan, dan juga menentukan berapa banyak dan berapa kerap makanan tersebut harus diambil.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

June 14, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 5)

Lagi berkenaan gaya pemakanan dan diet..

14 - Makan Malam

Tersurat: "Senah!! Awat la hang pi makan malam? Hang kata nak diet? Hang tau tak, makan selepas pukoi (pukul) 9 malam ni tak elok.. ni.. ni.. lemak-lemak celah ketiak, lengan, peghut (perut).. betui la hang ni ketegaq (degil), payah sungguh nak dengaq (dengar) kata.." celoteh Mak Ngah Gelap kepada anak buahnya.

Tersirat: Tiada kajian yang menunjukkan makan lewat malam boleh menyebabkan kegemukan, melainkan jika pengambilan kalori oleh individu tersebut melebihi dari apa yang sepatutnya. Sepanjang proses saya menurunkan berat badan, saya tak pernah mengabaikan makan malam ataupun supper. Malah, saya masih boleh turun berat sehingga 2 hingga 4kg sebulan walaupun saya mengamalkan supper sebelum tidur (saya berani bersumpah dengan kenyataan saya ini, berani kerana benar). Ingatlah, gemuk atau kurus, semuanya kerana KALORI, dan bukannya kerana waktu pengambilan makan atau sebagainya. Sila delete mitos ini dalam kamus pemikiran anda, ok?


15 - Lagi berkenaan Atkins diet

Tersurat: "Senaahhhh!!!! Oh my goat, oh my goat.. (pandai Mak Ngah speaking English?) Hang ni betoi (betul) la tak dengaq kata.. kalaulah hang anak aku, dah lama aku tibai (pukul) hang sungguh-sungguh. Hang kata Atkins Diet ni tak baguih, sapa cakap, sapa?? Susu Sejat? Yang hang pi percaya mamat kat Susu Sejat tu pasai apa.. dia apa tau? Dia bukan Doktor, dia bukan Nutritionist, ntah mamat tak ketahuan mana la hang percaya ni.. Atkins Diet ni baguih hang tau dak? Anak menakan (anak saudara) Mak Long Pia hang tu, dari besaq (besar) macam gajah sarkis teghuih (terus) jadi kiut (comel) macam Diana Amir. Tu la hang, ada internet tak mau search.." Mak Ngah Gelap berceloteh lagi kepada anak buahnya.

Tersirat: Garangnya Mak Ngah, sampai dengan Susu Sejat di'hentam'nya teruk-teruk. Ni mesti sebab Mitos Zaman Moden ke-13 yang saya karang 3 minggu lalu kan? Apa yang Mak Ngah cakap tu benar, memang saya bukan seorang Doktor ataupun seorang Nutritionist. Tapi saya masih orang Sains Mak Ngah, saya ada asas bidang Biologi yang kukuh. Dan saya juga rajin buat bacaan dan kajian saya sendiri. Mak Ngah jangan marah-marah dulu yea, dengar dulu apa yang saya nak cerita.

Atkins diet bukanlah perancangan makanan yang seimbang dan sihat. Saya ada terdengar, pengamal Atkins-diet ni boleh makan apa sahaja, tiada batasan kalori, asalkan tidak mengambil karbohidrat melebihi 20g sehari dalam diet mereka, sebagai contoh ayam goreng, telur rebus atau berbagai jenis lagi produk yang 'low carb'. Malah si pengamal juga mesti rajin membaca label maklumat pemakanan, namun hanya fokus kepada jumlah kandungan karbohidrat sahaja, dan bukannya nilai kalori.

Tanpa karbohidrat, dan hanya bersandarkan protein dan lemak semata-mata, kita mungkin akan makan terlalu banyak lemak dan kolestrol, dan kita kan dah tahu kesan jangka masa panjang lemak dan kolestrol ni. Tambahan, makanan berkarbohidrat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan gandum penuh ni mengandungi tinggi serabut (fibre), yang berfungsi untuk melancarkan proses membuang air besar. Selain itu, antara kesan-kesan lain Atkins diet ialah nauseous, lemah, dan keletihan tubuh badan, dek kerana kekurangan pelbagai jenis Vitamin yang selalunya terdapat di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Makan kurang 130g karbohidrat sehari, untuk jangka masa panjang, boleh membawa kepada penghasilan ketones (lemak separa pakai/cerna) didalam darah, sekali gus membawa kepada proses ketosis, yang boleh membawa kepada penghasilan uric acid yang tinggi oleh badan. Bahaya sangat ke Uric acid ni? Kalau Mak Ngah nak tahu, itulah antara penyebab penyakit-penyakit seperti gout (sakit sendi) dan batu karang. Untuk mengetahui SEBAB MUDAH mengapa Atkins diet berhasil dalam menurunkan berat badan dalam jangka masa yang singkat, sila rujuk entri ini.


16 - Low-calorie diet

Tersurat: "Ni Senah, hang baca ni.. baca! Depa (mereka) dok kata kira-kira Kalori ni baguih.. sapa cakap baguih? Tengok apa sughat habaq (surat khabar) ni tulih (tulis), 'Low calorie can cause gallstones development in Kidney'. Kan aku dah habaq, mamat tu bukan doktor.. Susu Sejat konon." siapa lagi kalau bukan Mak Ngah Gelap.

Tersirat: Eh, Mak Ngah baca surat khabar NST? Sama la kita yea Mak Ngah, saya pun baca NST. Tapi apa yang Mak Ngah rujuk tadi tu ialah "Very Low Calorie Diet" (VLCD). Orang yang mengamalkan VLCD ni tak semuanya mengira kalori seperti yang saya ajar, sesetengah tu mungkin secara 'tidak sedar' mengambil jumlah kalori yang terlalu rendah dalam sehari.

Buat mereka yang kurang pasti apa itu Gallstones, dalam bahasa melayu mudahnya, penyakit Batu Karang. Memang benar, terdapat satu kajian yang mengesahkan pengamal VLCD ni mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit Batu Karang. Tetapi sebelum membuat andaian lebih jauh, mari kita huraikan dulu apa itu VLCD.

Mereka yang mengamalkan VLCD ni cuma mengambil 800kcal atau kurang daripada nilai tu dalam sehari. Saya tak pernah ajar semua tu Mak Ngah. Yang saya ajar selama ini ialah, turun berat badan secara perlahan tetapi konsisten. Kalaulah DCR kita 2000kcal sekali pun, kalau ditolak 600kcal, masih lagi pada tahap yang selamat (1400kcal). Selagi jumlah kalori yang diambil dalam sehari tidak kurang dari nilai BMR, dan jumlah air yang diambil dalam sehari mencukupi, insyaAllah, semuanya akan berjalan lancar.


Mak Ngah Gelap: Saipul, oo Saipul.. hang nampak Senah tak? Dah lama mak tak nampak dia..
Saiful: Kak Senah masuk hospital mak, dengaq cerita, gastrik..
Mak Ngah Gelap: Gastrik?? Oh my GOAT!!

"Hey! Who took my leftover pizza??"


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

May 24, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 4)

Dan 'mitos zaman moden' itu terus diperkatakan di kalangan rakyat jelata, dan seluruh umat manusia di pelosok dunia. Antara mitos-mitos itu, termasuklah juga hal yang berkaitan 'diet'...


11 - Diet

Tersurat
: "Eh, Milah, sikit je ko makan? Diet ke???" Di mana-mana negara, seperti Malaysia, Singapura, US, Australia, dan UK sekali pun, 'Diet' membawa maksud 'jaga makan untuk turun berat badan'. Tak percaya? Tanya la your housemate.

Tersirat: Maksud UTAMA diet adalah cara seseorang itu memilih pengambilan makanan. Makan secara sihat (mengikut contoh piramid makanan) adalah salah satu contoh diet yang sihat. Makan nasi lemak setiap pagi juga merupakan salah satu diet. Dan makan Double Cheese Burger di McDonald setiap hari juga merupakan salah satu bentuk diet (diet yang tidak menyihatkan).



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

May 14, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 3)

"Isk.. banyak betul 'mitos zaman moden' dalam kepala atuk ni, sampai tak tahu nak mulakan yang mana satu, isk, isk, isk.."

"Apa susah atuk.. atuk mulakan saja dengan Bismillah.."


8 - Lemak dan Otot

Tersurat: Ramai yang anggap kalau kita turun berat badan sebanyak 2kg, maksudnya kita hilang lemak sebanyak 2kg. Dan Kalau kita naik berat 2kg, maksudnya kita dah tambah lemak pada badan kita sebanyak 2kg juga.

Tersirat: Hakikatnya, kita akan naik kedua-dua lemak dan otot apabila naik berat, dan akan hilang kedua-duanya bila turun berat. Yang membezakan nisbah keduanya adalah diet, senaman dan gaya hidup.

Ahli bina badan akan naik lebih otot berbanding lemak ketika menaikkan berat badan (faktor diet dan senaman), dan apabila kejohanan semakin dekat, mereka akan 'cut' kembali pegambilan kalori harian mereka supaya lemak dapat dibuang dan otot itu akan sedaya-upaya dikekalkan supaya lebih menonjol (hakikatnya otot itu juga akan hilang sedikit). Sebanyak mana lemak dan otot yang 'dibuang' ketika cutting ni juga ditentukan oleh diet dan senaman. Proses ini berterusan, seperti sebuah proses penapisan (filtration) sehinggalah mereka mendapat tubuh yang dikehendaki.

Satu lagi contoh mudah, ketika berat aku 110kg, aku mampu melakukan 15 reps & 3 set 'bicep curl' dengan 12kg dumbbell. Dalam berat aku yang 72kg sekarang, aku hanya dapat melakukan 10 reps dan 3 set dengan dumbbell yang sama - Kekuatan (strength) dah turun, kerana aku kehilangan otot yang banyak ketika proses menurunkan berat badan tempoh hari.




Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

May 7, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 2)

Hari tu dah cerita 'mitos zaman moden' (klik sini untuk baca) yang lebih berkisar pasal makanan, sekarang ni aku nak cerita pula 'mitos zaman moden' yang lebih menjurus kepada aktiviti fizikal.. haa, mau dengar? Mari, atuk nak cerita...

5 - Wanita dan Weight Training (Work-out)

Tersurat: "Eeee! tak mau la I angkat besi-besi ni! Nanti tak pasal-pasal badan I yang ramping ni jadi ketol-ketol macam Arnold Susah-nak-eja! Lagipun angkat-angkat besi ni senaman orang laki, kenapa perempuan yang nak kena angkat pulak!" Kata Bedah Ronggeng kepada En. Salman Khopps.

Tersirat: Wah, wah wah.. semangat betul si Bedah ni nak jaga pinggang dia yang ramping tu. Nak jadi Mariah Kari ke Bedah? Kelebihan weight training ni ialah ia menguatkan otot dan tulang (belakang). Angkat besi (dumbell) dan nanti akan jadi seperti Arnold? Mitos je semua tu Bedah, apatah lagi untuk orang perempuan. Untuk jadi bulky macam Arnold tu bukan setakat perlukan senaman keras, tapi perlukan apa yang kita panggil sebagai Steroid Hormone.

Testosterone (Steroid Hormone) ada (abundant) pada orang lelaki. Perempuan pun ada Testosterone, tapi tak setinggi orang laki-laki. Tambahan, nak jadi macam Arnold juga kena ikut High Protein Diet (1-1.5g protein per pound berat badan dalam diet seharian). Tapi orang cakap steroid tu dadah? Jadi dalam badan kita ni ada dadah la? Tidak, steroid ni akan jadi dadah kalau kita ambil berlebihan (extra injection). Steroid yang ada dalam badan kita ni dah cukup untuk kita membesar dan mengekalkan kemandirian tubuh.

Zasss! Hahahaha..


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

May 5, 2010

Yang Tersurat dan yang Tersirat (Bahagian 1)

"Buy 1 get 1 for free.. very low fat, low fat very much!"

Dalam dunia ni banyak betul mitos yang pelik-pelik. Mak (dan nenek di Sarawak) pernah berpesan masa aku kecil supaya jangan menunding jari tepat ke arah pelangi, kalau tak nanti jari telunjuk tu jadi buruk. Bila aku datang semenanjung, cikgu kat sekolah rendah pula ajar, kalau nak tunjuk kepada orang, jangan tunjuk dengan jari telunjuk, tapi tunjuk dengan hujung ibu jari.

Apa-apa pun, dunia pemakanan pun tak terkecuali dengan mitosnya. Mungkin ada di antara kalian dah tahu, dan mungkin juga ada yang masih belum mendengarnya. Ini yang aku namakan 'mitos zaman moden'.

1 - Minuman Yogurt Rendah Lemak
Tersurat: Boleh minum banyak-banyak ni. Kandungan lemak dia sangat rendah, kadang-kadang sehingga 0% Fat pun ada. Sihat punya lah!
Tersirat: Namun sungguh kaya dengan kandungan gula. Awas, pengambilan gula yang berlebihan juga boleh mengakibatkan kegemukan.



Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails