October 12, 2010

Persediaan bersenam: Kit (Bahagian 1)

Aku pernah mendengar seseorang mengeluh di facebook (dalam sebuah page). Bunyi keluhan beliau lebih kurang begini:

"Nak kurus pun susah, kena pakai duit.. Kalau pakai produk kena pakai duit, nak masuk gym pun mahu kena beratus jugak sebulan. Sama je dua-dua, semua pun kena pakai duit! Lebih baik stay macam ni, lagi bagus.. ada aku kesah aku gemuk?"

Bagi aku, ini ayat orang yang cetek berfikir dan cepat berputus asa. Orang begini, kalau kita campak dalam pulau ceruk dunia, pasti tak boleh hidup. Survival skill dia kosong. Maaf kalau ungkapan aku ini sedikit kasar, tapi itulah pandangan aku.

Bersenam itu tak semestinya harus dilakukan di gym. Senaman juga boleh dilakukan di rumah atau di taman rekreasi yang berdekatan. Suatu ketika dahulu, aku pernah meninjau beberapa buah gym di Taiping dan KL, mahal memang mahal. Tapi mahalnya bersebab, kerana untuk memastikan semua peralatan di gym ini yang majoritinya mempunyai nilai mantainance tinggi sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk dipakai.

Seingat aku, di Taiping sahaja perlu bayar sekurang-kurangnya RM100 untuk keahlian tahunan, dan perlu bayar lagi beberapa yuran tambahan. Mahal, memang mahal. Aku perhatikan apa yang ada di gym tersebut hanyalah 3 bench, berserta satu set dumbell (disusun dalam rak) berserta satu set barbell. Tiada thredmill, stairmaster, static bike, atau isolation machine untuk workout bahagian-bahagian badan tertentu. Lalu aku fikir, tidaklah berbaloi jika aku membelanjakan RM100 semata-mata untuk menggunakan servis gym yang tak seberapa seperti ini. Di KL juga, majoriti yuran keahlian tahunan gym berharga ratusan ringgit.

Lalu aku bercadang untuk melabur sedikit wang untuk membeli peralatan senaman, dan pelaburan ini berasas kerana ia boleh diguna pakai bukan sahaja untuk setahun, tapi mungkin juga bertahun-tahun lamanya. Oleh yang demikian, jom lihat dulu apakah kelengkapan asas bersenam si Susu Sejat ni.


A - Pemberat Lengan/Kaki (1kg setiap satu)
B - Tali 'skipping'
C - Push up bar
D - Dumbell 10kg
E - Dumbell 5kg (X2)
F - Kasut

Bagaimana pula dengan kos belian untuk peralatan senaman ini? Berikut adalah komentar aku.

A - Yang ni aku beli dengan harga RM13 di Tesco, dan memang hadir dalam sepasang. Harga untuk pemberat ini adalah mengikut berat pemberat tersebut (semakin berat maka semakin mahallah harganya) dan kualiti material yang digunakan. Harga pemberat Lengan/Kaki paling mahal di Tesco ialah RM35, yang mana setiap satu berat pemberat adalah kira-kira 2.5kg.

B - Aku sebenarnya tidak berapa pandai untuk 'skipping', tapi aku simpan juga satu set tali skipping ni untuk kegunaan di masa akan datang. Harganya? Kalau beli di pasar malam atau kedai runcit, RM3 pun dah boleh dapat.

C - Mungkin tak ramai yang tahu, melakukan 'push up' (tekan tubi) dengan cara melekapkan tapak tangan pada lantai adalah merupakan cara yang tak berapa digalakkan, kerana cara ini akan memberikan impak/stress kepada pergelangan tangan (pergelangan tangan kita bengkok kalau guna cara ini, dan ini amat merbahaya sebenarnya). Cara yang paling selamat ialah dengan cara tidak membiarkan pergelangan tangan membengkok - kena lurus, dan ini dapat dicapai menerusi 'knuckle push up' (push up ala-ala tentera, dengan melekapkan buku lima pada lantai, tapi ini akan menyakitkan tulang-temulang jari), atau menggunakan 'push up bar' ini (yang ini paling selamat dan tidak menyakitkan). Harganya pula dalam RM10 sahaja jika dibeli di Tesco.

Dengan 'push up bar' posisi seperti 'knuckle push up' boleh dicapai tanpa perlu menyakitkan buku lima anda.

D - Dumbell ini boleh diubahsuai beratnya dengan cara menambah/membuang piring pemberatnya. Harganya? Apa yang membuatkan dumbell jenis ini mahal ialah kebolehan untuk mengubahsuai beratnya. Dan tahukah juga anda bahawa komponen paling mahal dalam dumbell ini bukanlah terletak pada piring pemberatnya, tetapi pada batangnya (hampir RM50, hanya untuk batangnya sahaja!). Dumbell ini juga aku beli di Tesco, berharga dalam RM85 untuk satu set.

E - Komponen luaran dumbell ini diperbuat daripada vinyl, dan kelebihannya ialah ia tidak mudah berkarat seperti dumbell yang aku ceritakan di ruangan "D". Keburukannya? Beratnya tidak boleh diubahsuai. Yang ini harganya dalam RM35 untuk satu set (2 dumbell, 5kg setiap satu).

F - Kasut ni perkara subjektif. Tapi kasut aku yang satu ini merupakan kasut paling mahal yang pernah aku beli dalam hidup aku - jenama Asics. Harganya di antara RM300-400 juga. Kenapa mesti yang mahal? Kerana aku percaya yang kasut untuk berjogging mestilah selesa dipakai dan tahan lasak, terutamanya kalau hari-hari ditekan dengan berat badan aku yang pada ketika itu 100kg. Dan kasut ini telah menjadi saksi kepada proses penurunan berat badan oleh tuannya..


Berbalik pada persoalan utama, perlukah kita ke gym untuk bersenam? Jawapannya, itu terpulang kepada kemampuan masing-masing. Jika anda mampu, anda boleh menjadikan amalan ke gym sebagai salah satu gaya hidup yang sihat. Namun jika anda tidak berapa mampu, maka anda boleh mencuba cara yang aku praktikkan ini, iaitu dengan melaburkan sedikit wang (dalam RM500) untuk membeli kelengkapan bersenam yang basic ini yang mungkin boleh dipakai untuk bertahun-tahun lamanya. Selamat mencuba!

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

October 6, 2010

10 cara mudah untuk menjadi lebih bertenaga dan 0% lesu (Bahagian 2)

Entri ini merupakan entri sambungan 10 cara mudah untuk menjadi lebih bertenaga dan 0% lesu (Bahagian 1).

6 - Ambil sebiji pil multivitamin setiap hari
Kebanyakan pil multivitamin mengandungi komponen B-vitamins (atau B-complex). Komponen B-vitamins ini penting dalam meningkatkan metabolisma sel dalam menggunakan karbohidrat sebagai sumber tenaga (meningkatkan lagi kadar pembebasan tenaga).


7 - Rajin-rajinlah berjalan
Jika anda merasakan kejatuhan tenaga dan menghampiri lesu ketika di rumah mahupun di pejabat, berhentilah daripada tugas yang anda lakukan buat sementara waktu dan berjalanlah seketika. Berjalan-jalan selama 10 minit mampu meningkatkan kembali tenaga anda (memastikan darah kembali beredar dan mengangkut oksigen keserata sel-sel tubuh dengan lebih teratur) dan kecergasan dalam diri anda akan berkekalan sehingga 2 jam yang seterusnya.

8 - Bersenam
Selain daripada meningkatkan pengeluaran tenaga dan metabolisma, tahukah anda bahawa senaman juga merupakan anti-depressant yang berkesan dalam menangani stress? Ya, anda tidak perlukan coklat untuk menangani stress sebenarnya, kerana badan juga akan merembeskan serotonin (anti-depressant) menerusi senaman. Seimbangkan di antara senaman berasaskan kardio dan senaman berasaskan kekuatan. Selain lebih menyihatkan, anda juga akan berasa lebih ceria dan gembira selepas bersenam. Coklat? Tak perlu dah.

9 - Konstruk plan/perancangan
Bekerja sehari suntuk memang memenatkan, tambahan kerja-kerja yang bertimbun di pejabat mampu membuatkan anda stress (stress adalah amat sinonim dengan kelesuan). Maka dengan itu rancanglah sesuatu yang menghiburkan yang boleh dilakukan ketika pulang dari kerja atau ketika hujung minggu. Jadikanlah ia sebagai masa gembira anda. Sebagai contoh, aku jadikan blogging ini sebagai aktiviti yang menghiburkan untuk melepaskan tekanan selepas bekerja disamping menyampaikan sesuatu yang aku tahu berkenaan dieting, kesihatan dan gaya hidup.


10 - Power nap
Tahukah anda bahawa tidur sebentar ketika penat bekerja mampu mengembalikan tenaga yang diperlukan untuk menghabiskan saki baki kerja untuk hari tersebut? Ini kerana keletihan menghadap komputer sepanjang hari bukan sahaja memberi kesan kepada mata, tetapi juga kepada otak. Dengan power nap, anda sebenarnya merehatkan mata anda buat seketika disamping memastikan bekalan oksigen sampai ke otak. Waktu power nap yang sesuai adalah ketika selepas makan (waktu tengahari), dan dilakukan dalam tempoh tidak lebih dari 30 minit.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails