November 7, 2010

Sehari di Fitness First

Beberapa minggu yang sudah, aku berkesempatan mengunjungi sebuah gym yang agak terkenal di Malaysia, iaitu Fitness First (FF). Popular? Kenapa aku berkata begitu? Kerana Fitness First ni merupakan penaja utama untuk program realiti yang sedang hangat-hangat di kaca televisyen Astro menerusi saluran Diva Universal (Asia) iaitu The Biggest Loser Asia.

Mesti semua terpinga-pinga bagaimana mamat yang kurang berduit seperti aku ni boleh tersesat masuk ke dalam gym tersebut. Rahsianya terletak pada Visitor pass yang dimiliki oleh kawan aku yang seorang ni, saudari Noraziah Embran. Ceritanya begini, Aziah ni sedang dalam fasa untuk menurunkan berat badan. Sikap mengambil air manis sejak menuntut di Universiti Malaya dahulu menyebabkan berat badannya bertambah bagai dipam-pam gas Nitrogen bertekanan tinggi.

Dua minggu sebelum mengenali Susu Sejat, dia sudah pun mendaftar di Fitness First dan dibekalkan dengan 2 Visitor pass, yakni pas yang membenarkannya membawa mana-mana 2 individu yang dia suka masuk ke FF secara percuma. Walaubagaimanapun, usahanya selama 2 minggu tersebut agak kurang berhasil (aku menjadi saksi episod "tiada pengurangan" berat badannya ketika menimbang berat badan di penimbang awam cap 20 sen The Curve, Damansara). Maka dengan itu, aku diminta untuk mengajar dia asas-asas berkenaan kiraan kalori, dan juga asas-asas berkenaan weight training.

Berbakikan Visitor pass yang hanya tinggal satu ketika itu, maka aku menghabiskan masa seharian di FF mengajar dia dari "A hingga Z" asas-asas senaman untuk weight loss, dan juga teknik pengurusan pengambilan kalori dalam sehari. Agak sayang juga kerana dia sudah pun menggunakan satu lagi Visitor pass kepada kawan yang seorang lagi, kan bagus kalau kedua-duanya pun diberikan kepada aku, boleh aku gunakan Visitor pass yang kedua tu untuk mencuba lagi mesin-mesin weight training dengan berat yang tak mungkin mampu dicapai dumbell aku di rumah, kan? (ayat tamak)


Fitness First: Apa yang ada di dalam?

Dari luar The Curve Damansara, aku lihat FF ni agak besar dan gah promosinya. Poster sebesar-besar alam. Untuk pengetahuan semua, inilah kali pertama aku menjejakkan kaki aku ke gym sejak pulang dari US kira-kira setahun setengah yang lalu. Lama memang lama, alasan mengapa aku tidak memilih gym sebagai tempat untuk bersenam ialah kerana yurannya yang mahal, terutamanya untuk insan yang kurang berduit seperti aku.

Selesai mendaftar dan meninggalkan kad pengenalan di kaunter pendaftaran, aku mengekori Aziah ke tingkat 2 kerana di sanalah terletaknya bilik persalinan (locker room). Kedengaran bunyi yang agak hingar dan sedikit bersemangat dari bilik studio yang berdekatan, dan menurut Aziah sesi senaman aerobik secara berkumpulan (Group Exercise) sedang dijalankan. Dia menambah lagi yang setiap ahli berdaftar FF dibenarkan untuk mengikuti sesi Group Exercise ini sebanyak mana yang mereka suka (Aziah pilih 2 kali seminggu).

Studio di mana sesi Group Exercise dijalankan

Kami berpecah dipersimpangan, dan akan berjumpa kembali selepas selesai menukar pakaian masing-masing. Etika berpakaian di gym untuk tujuan bersenam harus menepati syarat-syarat ini:

1 - Mestilah berbaju (tak boleh tak berbaju sesuka hati selain ketika di locker room, meskipun anda memiliki "six-pack")
2 - Mestilah memakai seluar yang sesuai (jangan pakai seluar seperti nak berjalan lenggang-lenggang kangkung bersama kekasih di KLCC)
3 - Berkasut (tak boleh pakai selipar Crocs mahupun selipar silang, selipar Jepun jauh sekali)
4 - Harus membawa tuala sepanjang masa untuk tujuan mengesat peluh (selalunya dibekalkan oleh pihak gym)

Apa yang ada di bilik persalinan tu? Mungkin gambar-gambar berikut mampu menjelaskan segala-galanya.

Ruang persalinan

Loker kayu lambang kemewahan

Kiri: Ruangan untuk grooming. Jangan tak tahu, pengering rambut juga disediakan.
Kanan: Sinki paip air yang menampakkan ciri-ciri mewah, seolah-olah berada di hotel.

Kiri: Ruangan mandi
Kanan: Setiap ruangan mandi disediakan shampu rambut dan sabun mandi, maka tak perlu bersusah payah memberatkan beg anda dengan membawa shampu atau sabun dari rumah.

Kiri: Bilik Sauna
Kanan: Bilik Steam


Sesi senaman bermula

Kami berkumpul di tingkat bawah kerana di situlah terletaknya ruang mesin-mesin kardio. Sesi bermula dengan beberapa senaman regangan dari kepala hingga ke kaki, sebelum dilanjutkan dengan sesi memanaskan badan (light jog) di treadmill untuk tempoh 5 ke 7 minit. Kemudian, kami terus ke tingkat 2, yakni ke ruangan untuk weight training (di mana terletaknya free weights seperti dumbell dan barbell).

Sambil berkardio, sambil tonton TV

Menurut Aziah, dia segan sebenarnya untuk ke ruangan ini kerana kebiasaannya hanya lelaki sahaja yang akan bermain dengan dumbell dan barbell ni - masalah ini mungkin dihadapi oleh kaum hawa yang lain, dan aku fikir dengan budaya kita sekarang itu adalah sesuatu yang normal.

Aku mengajar Aziah beberapa senaman asas menggunakan free weights seperti incline bench press, lateral/front raise, bicep curls, tricep extension, squat, dumbell deadlift, dan lunges. Mesti ramai yang tak faham istilah-istilah yang aku sebutkan tadi kan? Cuba cari di Google atau Youtube untuk mengetahui maksud senaman-senaman tersebut. Aku juga menekankan agar senaman-senaman tersebut haruslah dilakukan dalam form yang betul agar senaman yang berkualiti dapat diperolehi. Cuba teka berapa berat dumbell yang dia gunakan sepanjang sesi tersebut?

Sebetulnya sesi senaman untuk fat loss harus diteruskan dengan kardio di treadmill atau cycling machine untuk tempoh 20 ke 30 minit, namun memandangkan ini merupakan sekadar sesi mengajar, maka sesi seterusnya diteruskan dengan perbincangan berkenaan diet dan teknik menguruskan kalori dengan betul. Agak-agaknya nak berbincang di mana tu? Nak tahu, sila teruskan membaca.

Ruangan Weight Training

Pastikan anda membersihkan dahulu mana-mana alat sebelum menggunakannya, juga selepas menggunakannya. Sekali lagi, ini etika di gym.


Ruang Santai

Tak perlu berjalan-jalan jauh untuk mencari tempat berehat atau 'melepak seketika' kerana FF juga menyediakan ruangan untuk berehat di tingkat bawah premisnya. Ini merupakan sesuatu yang bagus. Namun, hanya satu sahaja yang aku ingin luahkan dan komen - ruangan ini menyediakan minuman 100 Plus, Coffee dan Tea kepada para pengunjungnya.

Pada pendapat aku, ini langsung tidak membantu mereka yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan kerana ini bukan contoh minuman pengembali tenaga selepas bersenam yang bagus - tiada sumber protein dan hanya gula semata-mata. Mereka seharusnya menyediakan minuman yang lebih berkualiti namun tak semestinya harus menyediakan minuman whey protein bersama glukosa, cukuplah dengan susu segar atau susu rendah lemak. Susu juga kaya dengan nutrien-nutrien (Karbohidrat, Lemak, protein pada nisbah yang bersesuaian) yang diperlukan badan selepas keletihan bersenam.

Agak-agaknya kenapa mereka tidak menyediakan minuman seperti susu, sebaliknya hanya minuman yang manis-manis belaka? Jawapannya terletak pada faktor keuntungan (1kg gula jauh lebih murah berbanding 1L susu) dan juga faktor psikologi manusia yang gemarkan minuman manis-manis. Tanpa ilmu di dada yang mencukupi, mungkin ramai yang tidak menyedari akan hal ini.

Kiri: Ruangan air soda
Kanan: Ruangan minuman panas seperti kopi dan teh

Ruangan untuk bersantai dan berehat seketika yang cukup selesa. Surat khabar juga dibekalkan di sini untuk bacaan para pelanggan.

Komputer berserta akses internet juga disediakan. Bolehlah melayari Facebook ketika berehat ya?


Pendapat SS berkenaan yang lain

Selain daripada isu berkenaan 100 Plus tadi, aku rasa pemilihan loker yang diperbuat daripada kayu oleh pihak FF di The Curve ini juga bukanlah suatu langkah yang bijak kerana loker sebegini tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Bayangkan kali pertama aku membuka salah satu pintu loker, bau pertama yang aku hidu adalah bau peluh yang berbaur-baur hancing. Maka terpaksalah aku mencari loker-loker lain yang kurang berbau. Loker yang terdapat di sekolah berasrama yang diperbuat daripada besi adalah jauh lebih baik sistem pengudaraannya daripada yang terdapat di FF ini, meskipun yang di FF ini tampak lebih mewah.

Selain daripada isu-isu tersebut, aku rasa perkhidmatan yang ditawarkan FF ini setimpal dengan harga yuran yang diminta. Mesin-mesin kardio seperti treadmill dan cycling machine sememangnya lebih dari mencukupi. Yuran bulanan yang dibayar juga meliputi perkhidmatan kelas aerobik, Yoga, Sauna, Bilik Steam, dan beberapa perkhidmatan yang lain.

Keselesaan di FF memang yang terbaiklah di Malaysia yang aku jumpa setakat ini, juga pekerja-pekerja mereka, bak kata Aziah, sememangnya mesra alam. Prinsip Customers are always right memang diterapkan dalam setiap aspek layanan dan aku betul-betul tabik dengan prinsip tersebut, terutama apabila ia melibatkan sesuatu hal yang professional. Kesimpulannya, jika anda mampu untuk mengunjungi gym sebegini, apa salahnya? Tepuk seluar, tanyalah dompet.

Personal Trainer: Aziah, who's that guy with you just now? Is he your new trainer? I saw him teaching you with that free weights.
Aziah: Nah, he's not my trainer. He's a BLOGGER.

Sebelum aku menyiarkan entri ni, aku telah minta izin dari dia untuk meletakkan sekeping gambar dia di sini. Dia pesan supaya aku letakkan gambar dia yang paling comel. Aku jadi rambang mata, tak tahu nak letak gambar yang mana satu, sebab semua gambar pun comel-comel belaka. Ya, dia memang comel. Maka aku letakkan 2 gambar ni, senang, tak perlu serabut-serabutkan kepala lagi.


Semoga misinya untuk mendapat berat badan ideal tercapai..


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

November 4, 2010

Diari SS: Siri Joy Belajar Berenang (Minggu 2)

Sambungan Siri Joy Belajar Berenang (Minggu 1)

Nak beli baju renang.. nak beli baju renang

Misi untuk mencari baju renang pun bermula. Pada awalnya aku bercadang untuk membeli pakaian renang aku di Jaya Jusco. Namun agak mengecewakan apabila aku mendapati harganya sangat mahal. Seluar renang sahaja, untuk jenama Schwarzenbach berharga lebih kurang RM60. Itu belum termasuk pakaian untuk upper body, goggle, dan swimming cap lagi. Agak-agaknya, kalau aku beli kesemua kelengkapan renang ini di Jaya Jusco mahu mencecah sekurang-kurangnya RM200; sedangkan aku ini baru nak belajar, berbaloikah membelanjakan wang sebanyak itu?

Aku meminta pandangan coach Mas dan ini cadangan beliau

"kalau nak beli seluar tight ok, kat Giant pun ada jual. jenama Garson. tu tak sampai RM30 rasanye. baju swim dia pon sama, jenama Lingo. good quality, kekadang lagi lama tahan dari baju arena sume tu. nanti try cari"



Baju renang (Lingo) = RM19.90
Seluar 'tight' (Garson) = RM29.90
Goggle (First Choice) = RM19.99
Swimming Cap = Tak beli (ingat nak 'pow' cikgu Shida punya jer, hehe)

TOTAL = RM70

Status Misi: BERJAYA!


Cabaran Minggu kedua

Tarikh: Sabtu, 23 Oktober 2010.
Masa: 1.30pm - 2.30pm
Lokasi: No.2 Lorong 4/48F, 46050 PJ

Minggu ni aku datang lambat sikit sebab terlajak tidur, penat dek kerana workout intensiti tinggi yang dilakukan sehari sebelum tu. Jika minggu lepas aku hanya dijemput oleh coach Mas seorang, kali ini aku dijemput pula oleh satu team coaches Aquadolf - kebetulan hari tersebut mereka menikmati makanan 'brunch' bersama-sama. Bayangkan, seorang lelaki, 3 perempuan dalam satu kereta. Ye la kan, aku ni jenis pemalu dan segan sikit, mesti ramai yang tak tahu tu.

Sampai sahaja di medan latihan, seperti juga minggu sudah, aku diberi masa 5 minit untuk menyalin pakaian. Disebabkan aku ni ala-ala "sengal-sengal ubi", tambahan ini juga kali pertama aku mengenakan lycra pant ke atas tubuhku (seluar tight), maka terlebih dahulu aku sudah membuat persediaan yakni membuat beberapa bacaan berkenaan lycra pant. Ini termasuklah mencari jawapan, perlukah kita memakai spender sebelum mengenakan lycra pant ni.

(klik untuk besarkan)

"Best la swimming cap cikgu Shida ni.. minggu depan nak "pow" lagi la, hehe"
(Underwear pakai atau tidak? Shh.. jangan sesekali ditanya soalan itu)

Seperti biasa juga, sesi latihan dimulakan dengan amalan blow bubble. Anggaplah blow bubble ini seperti pemanas badan sebelum berenang.


Kemudian, sesi imbas kembali pembelajaran minggu lepas pula dilakukan - mengawal buoyancy (apungan) ketika berada di permukaan air. Latihan asas ini diulang untuk beberapa set. Adalah penting untuk meluncur dengan lembut dan memastikan air berada dalam keadaan sehabis tenang agar momentum luncuran kita tidak diganggu oleh daya luaran daripada air yang beralun (turbulance).

Coach Mas yang begitu serius memerhatikan postur kaki si Abang Susu.. (ceh, nak ber "abang" lah pulak)

Berikut adalah cara-cara untuk melakukan luncuran yang aku nyatakan sebentar tadi:


1) Pastikan lutut membongkok sedikit, tangan (biceps) rapat ke telinga, seperti nak menari ballet. Tangan kiri pula menyentuh tangan kanan. Ini postur permulaan anda.

2) Sambil membongkok, dengan menggunakan otot keting, injakkan satu daya tujah ke depan namun dengan lemah gemalai untuk mengelakkan air daripada beralun.

Pastikan anda relaks dan bertenang, muka menghadap dasar kolam, dan biarkan diri anda disokong sepenuhnya oleh daya tujah air. Tenang macam mana tu? Tenang sampai orang ingat "Eh, ada mayat terapung la!" (ada rupa macam mayat terapung tak dalam gambar tu?)


Berikut adalah gejala-gejala biasa yang dialami jika seseorang tersebut baru pertama kali berenang (atau belajar berenang):

1 - Tertelan air - ini akan berlaku kalau mulut anda berasa gatal untuk bercakap (kerja nak bercakap jer) ketika melakukan blow bubble.
2 - Air memasuki hidung sampai terasa ke otak - juga berlaku jika hidung berasa gatal untuk "menarik nafas" ketika sedang berenang/meluncur.
3 - Cenderung untuk sendawa - entah berapa kali aku bersendawa ketika berlatih pun aku kurang pasti (banyak sangat) walaupun aku belajar berenang hanya untuk 1 jam. Mungkin ini disebabkan oleh badan kita yang berada pada 2 tekanan udara yang berbeza pada masa yang berselang-seli (bawah permukaan air bertekanan sedikit tinggi berbanding atas permukaan air)
4 - Rasa nak meludah atau buang air dari hidung

Aku juga didedahkan dengan teknik "kuak katak". Menurut coach Mas, kebiasaannya beliau akan mengajar teknik ini terlebih dahulu kepada kanak-kanak atau wanita memandangkan ini merupakan teknik asas ketika berenang, juga yang paling asas untuk human survivor.

Walaubagaimanapun ini berbeza dengan kes lelaki kerani fisiologi kaki lelaki yang lebih tumpat isipadu ototnya berbanding wanita. Oleh yang demikian, aku didedahkan terlebih dahulu dengan konsep "luncur" dan goyang kaki menggunakan otot paha, ke atas dan ke bawah berselang selikan kiri dan kanan, seperti mana kaki itik berfungsi ketika berenang.

Bagi aku teknik "kuak katak" ni susah sedikit kerana ia melibatkan pergerakan yang lebih daripada 2 koordinasi. Bagaimana tu? Ini akan aku ceritakan pada bahagian yang seterusnya.

Bersambung...

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails