November 28, 2010

Gym di Taman? (Bahagian 1)

Bersenam di taman? Ada orang berpendapat gym adalah lokasi terbaik untuk bersenam secara konsisten. Tidak dapat dinafikan pendapat itu sangat benar memandangkan fasiliti-fasiliti di gym memang mencukupi, dari aspek kelengkapan seperti mesin-mesin (weight training dan kardio), kemudahan tempat persalinan, hinggalah kepada aspek teknikal seperti personal training dan physiotherapy.

Tetapi apa yang membuatkan tidak ramai yang mampu berkunjung ke gym adalah disebabkan yuran pendaftarannya yang mahal, tidak termasuk khidmat nasihat daripada personal trainer atau jurulatih lagi. Itulah sebabnya industri fitness dilabel sebagai "multi-million business".

Buat mereka yang kurang mampu untuk ke gym, usah khuatir. Anda tidak perlu bersusah payah mengeluarkan hampir 20% gaji anda semata-mata untuk yuran bulanan di gym (berdasarkan standard gaji kakitangan awam paling rendah), kerana jika anda bernasib baik, disekeliling anda juga terdapat gym paling asas yang selayaknya dihargai - "ia lebih baik daripada tiada".

Untuk entri kali ini, aku menggunakan Taman Pudu Ulu yang terletak berhampiran dengan Taman Shamelin dan kawasan Pandan Jaya sebagai contoh.

Tengok apa yang ditegur di sini? Dilarang beromen di taman atau aksi anda akan dirakamkan masuk Youtube.


Senaman "Weight Training" (tahap kesukaran kanak-kanak)

Walaupun alat-alat yang terdapat di sini tidaklah sekompleks dan selengkap mesin-mesin weight training yang terdapat di gym, tetapi konsep dan fungsi setiap alat di sini adalah lebih kurang sama dengan yang terdapat di gym, cuma bezanya di sini ialah, ia menggunakan bodyweight (berat badan) atau takal biasa sebagai beban. Ini membuatkan beban mesin ini sangat ringan dan mudah dikendalikan. Sekiranya anda ingin mendidik anak-anak kecil anda supaya 'biasa' dengan mesin-mesin di gym, maka di sinilah tempat yang tepat untuk itu.

Nama alat: Taiji Wheel
Modus operandi: Pegang pemegang yang berbentuk bulat pada salah satu cakera, dan putarkan. Satu pusingan membawa maksud 1 kali ulangan, lakukan sebanyak 10-15 kali (satu set), untuk 3 hingga 5 set.
Target otot: Tangan secara keseluruhan
Komen SS: Senaman ini merupakan analogi kepada aktiviti mereka yang membuat kek dengan kaedah klasik - pukul adunan kek dengan tangan sampai tangan menjadi lenguh.

Nama alat: Arm Lifter
Modus operandi: Letakkan kedua-dua belah tangan pada pemegang yang sepatutnya, dan tariklah ke atas dan kebawah (tangan kiri, dan tangan kanan) bergilir-gilir.
Target otot: Tangan secara keseluruhan, deltoid (bahu)
Komen SS: Aku pun tak tahu apalah motif alat ini, sekali imbas macam gaya 'bawa kereta' pun ada.

Nama alat: Multi Leg
Modus operandi: Baring meniarap, sambil tangan memegang pemegang, dan kaki (keting) anda masuk di antara celah yang sepatutnya. Dengan menggunkan tumit dan bahagian belakang keting, bengkokkan kaki ke atas. Untuk pergerakan essentrik (saat ketika otot memanjang), lakukan secara perlahan-lahan supaya kesan beban dapat dirasai.
Target otot: Calf (keting)
Komen SS: Juga boleh lakukan sit up menggunakan alat ini. Baru nampak seorang awek buat pagi tadi. Kreatif!

Nama alat: Slimming Turn
Modus operandi: Berdiri (kedua-dua belah kaki) pada salah satu bulatan kecil yang berwarna merah, sambil tangan anda memegang besi pemegang (berwarna biru). Pusingkan badan anda ke kiri dan ke kanan, dan lakukan secara perlahan-lahan.
Target otot: Oblique (sisi abdomen)
Komen SS: Sangat sesuai buat cik kak-cik kak yang ingin tone-up sisi abdomen supaya kekal slim walaupun umur dah lanjut. Mesti selepas ni ramai orang perempuan yang cari mesin ni kan?

Nama alat: Elliptical Trainer
Modus operandi: Berdiri pada pedal yang sepatutnya, sambil tangan memegang pemegang. Gerakkan kaki secara membulat dengan menolakkan pemegang ke depan dan ke belakang (kiri dan kanan) secara bergilir-gilir.
Target otot: Kardio, melibatkan pergerakan otot seluruh badan.
Komen SS: Mesin kardio seperti ni ada di gym, cuma versi yang ni adalah lebih 'ringan' dan kurang membebankan.

Nama alat: Sky Walker
Modus operandi: Berdiri pada pedal, dan goyangkan kaki ke depan dan belakang secara bergilir.
Target otot: Quadriceps dan Hamstring (paha hadapan dan belakang).
Komen SS: Teringat watak "Luke Skywalker" dalam cerita Star Wars.

Nama alat: Double Stretcher
Modus operandi: Sambil duduk, letakkan kedua-dua belah kaki anda pada pedal, dan tolak badan anda ke atas (dalam erti kata lain meluruskan kaki anda).
Target otot: Quadriceps dan Hamstring (paha hadapan dan belakang)
Komen SS: Untuk meningkatkan beban, boleh menggunakan sebelah kaki sahaja (berbanding 2 kaki) untuk menolak badan anda ke atas (bergilir-gilir antara kaki kiri dan kaki kanan).

Nama alat: Air Bike
Modus operandi: Sambil duduk, letakkan kedua-dua belah kaki anda pada pedal, dan tolak ke bawah, kemudian kembali ke atas. Lakukan ini berulang-uang kali secara perlahan-lahan.
Target otot: Kaki secara keseluruhan
Komen SS: Tak sempat cuba sebab mesin ni dah rosak.

Nama alat: Quadruple Healing Machine
Modus operandi:
1) Duduk, letakkan kaki pada pedal kaki dan pegang pedal kanan, kemudian lakukan pergerakan seolah-olah 'berbasikal' sama ada secara serentak atau berasingan (kaki dan tangan).
2) Baring/sandar pada tangga yang berbentuk lengkung sambil tangan memegang pemegang di bahagian atas, kemudian angkat kaki anda ke atas laju-laju menggunakan momentum dari paha, kemudian lepaskan ke bawah secara perlahan-lahan.
Target otot:
1) Kardio yang fokus pada otot lengan dan kaki.
2) Lower abs (perut bahagian bawah berdekatan pinggang).
Komen SS: Aku suka fungsinya yang kedua, nampak lebih mencabar.

Untuk setiap senaman-senaman diatas, lakukan dalam 10 hingga 15 kali untuk satu set, dan cuba lakukan sekurang-kurangnya 3 set.

Bersambung..


Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

November 25, 2010

Potato spring dan budaya "pak ikut"

"Bagaikan sepasang absorber kereta yang dilumuri minyak pelincir, itulah apa yang aku faham mengenai 'Potato Spring'.." - Susu Sejat

Pernahkah anda melihat potato spring di pasar-pasar malam, atau di kaki-kaki lima berdekatan rumah anda? Ketika cuti Aidiladha yang lalu, aku berkesempatan pulang ke Taiping untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga. Pada suatu ketika, aku mengajak adik-adik aku berkunjung ke pasar malam Changkat Jering untuk mencari sesuatu yang boleh dijadikan sajian makan malam.

Aku berasa aneh apabila melihat terdapat banyak gerai yang menjual selingkaran kentang yang digoreng membentuk seakan-akan sebuah absorber kereta atau motosikal. Maka aku bertanya kepada adik-adik aku akan makanan yang seolah-olah berasal dari 'outer space' tu.

"Dik, apa mende tu?" aku bertanya.

"Itu lah 'Potato Spring'. Dia macam kentang rasanya (padahal memang kentang pun)," balas salah seorang adik aku.

"Sedap ke?"

"Sedap, aku dengan akak selalu beli. Hang try la rasa"

"Berminyak.."

Oleh kerana aku belum pernah merasa makanan ini, aku pun cubalah beli secucuk. Terdapat beberapa saiz, jika yang kecil harganya dalam RM1, dan yang besar sedikit berharga RM2. Aku ambil yang RM2.

Sudah menjadi lumrah, sebelum aku menjamah sesuatu makanan, aku akan memicit terlebih dahulu makanan tersebut untuk mengenal pasti tahap "minyak yang diserap" oleh makanan tersebut setelah digoreng. Ternyata sangkaan aku tepat, terlalu banyak minyak yang diserap oleh potato spring!


Apa tu Potato spring?

Potato spring merupakan kentang yang telah dipotong melingkar dengan mesin khas, lalu di cucuk dengan sebatang lidi yang tebal ditengahnya (membentuk seakan-akan spring absorber). Potato spring akan digoreng sehingga garing, dan diletakkan mayonis dan sos cili di atasnya sebelum dijual kepada pembeli.

Pada masa kini terdapat pelbagai syarikat tempatan yang menghasilkan pakej-pakej potato spring ini, dan kesemuanya tumbuh seakan-akan kulat selepas hujan. Setiap syarikat juga berlumba-lumba untuk mempromosikan pakej potato spring masing-masing yang hadir dalam pelbagai perisa. Ada yang B.B.Q, Cheese, Tom yam, dan banyak lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan pakej potato spring ini? Teruskan bacaan anda.


Potato spring bakal menjadi makanan tradisi kita 100 tahun lagi

Apabila terdapat banyak syarikat yang wujud untuk satu-satu kumpulan produk, maka itu akan disusuli pula dengan kewujudan 'orang tengah' yang menghubungkannya di antara pengguna dan pengeluar, iaitu peniaga/pembekal. Itulah sebabnya aku dapat melihat sekurang-kurangnya 4 gerai yang menjual potato spring HANYA dalam sebuah pasar malam, seperti yang aku ceritakan awal-awal tadi.

Kemudian persoalan kedua mula timbul, kenapa begitu banyak syarikat yang menawarkan pakej potato spring ini (menawarkan peluang perniagaan kepada peniaga/pembekal tadi)? Jawapannya terletak pada permintaan pasaran. Atau dalam bahasa mudahnya "Rakyat Malaysia Suka/Mula Menyukai Makan Potato Spring".

Mungkin sesetengah pihak berpendapat gelombang potato spring yang tiba-tiba meningkat naik ini hanyalah bermusim. Mungkin selepas ini masyarakat akan berasa jemu dan jelak melantak snek yang sama berulang kali. Namun aku berasa sebaliknya. Mengapa aku berkata demikian?

Ambil contoh beberapa lagi makanan ringan yang sudah bertapak di Malaysia. Kentang goreng, nugget, dan bebebola ikan/ketam yang suatu ketika dahulu muncul secara tiba-tiba, dan popularitinya mula mendapat tempat di hati masyarakat sehinggalah ke hari ini. Maka potato spring juga akan mengikuti jejak langkah yang sama. Mungkin kesan kewujudannya yang mendadak itu akan berkurangan saban hari, namun percayalah, potato spring tidak akan pupus di Malaysia selagi rakyat suka menikmatinya.


Bila seorang nak jual potato spring, semua pun nak jual

Aku juga tidak berapa suka dengan sikap masyarakat kita, terutamanya Melayu, yang suka "mengikut" dalam segala hal. Seorang nak jual produk ini, semua pun nak jual produk yang sama. Seorang nak jual pil kurus, yang tu pun nak jual pil kurus (nama sahaja tukar, formula mungkin lebih kurang sama). Seorang nak jual nasi lemak, nah, tak sampai 100 meter seorang lagi tengah menjual nasi lemak. Apa kes ni? Alasannya, pengguna suka, ada market. Nak wujudkan banyak pilihan buat pengguna? Untung kepada si pengguna, bukan kepada si penjual. Si penjual yang tak dapat bersaing akan mengalami kerugian.

Bukan aku tak menggalakkan orang melayu berniaga, tetapi nak berniaga biarlah berstrategi. Jika dalam satu pasar malam terdapat sampai 4-5 orang menjual potato spring, aku jamin separuh daripada penjual tu tak akan kekal lama di tapak pasar malam yang sama. Gulung tikar lah jawabnya pak cik Me'on!

Situasi yang sama juga merujuk kepada mereka yang menjual pil/produk untuk menguruskan badan. Kalau dalam satu page (facebook) pun semua berlumba-lumba menumpang jual produk yang lebih kurang sama, maka anda (sekelompok peniaga produk) akan kelihatan "menjengkelkan". Mereka (pembeli berpotensi) akan hanya ada 2 impresi sahaja terhadap produk anda, sama ada dibeli atau dicaci. Tak percaya? Anda boleh lihat sendiri, masuklah mana-mana page facebook yang bertemakan "Aku nak kurus", "Aku nak slim", "Kecantikan", dan berbagai lagi.

Manusia ni tak suka benda yang menjengkelkan, apatah lagi jika anda memegang status sebagai peniaga. Contoh paling mudah, jika anda masuk ke supermarket dan secara tiba-tiba terdapat 3-4 orang promoter produk yang berbeza bersaing mengelilingi anda secara gopoh dan gelabah, anda pasti tidak akan berasa selesa bukan? Bukan diri anda sebagai penjual sahaja yang mendapat bad impression sebagai peniaga "gelabah", tetapi produk anda sendiri mendapat tempias yang sama.

Lagi satu ciri-ciri peniaga yang menjengkelkan ialah, 'suka cakap besar'. Jangan sesekali terlalu yakin yang hasil kerja anda akan mendapat kejayaan yang tak masuk dek akal (box office RM40 juta, contohnya lah kan), meskipun niat anda untuk menghasilkan persekitaran dan minda yang positif. Jangan sesekali buat macam tu. Kerana apa? Kerana manusia tidak suka perkara yang menjengkelkan!

P/S: Nak berniaga, kena pandai cari peluang, kena pandai cari Nic yang sesuai, tak perlu ikut jejak orang, sebaliknya, biarlah orang yang mengikut jejak kita. Be a pioneer, not an imitator. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan. Potato spring? Jangan diambil selalu, merasa untuk pertama kali boleh. Kuasa terletak di tangan anda sebagai pengguna. Fikir-fikirkanlah.

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Related Posts with Thumbnails