August 25, 2010
Gelombang "Bufet Ramadhan"
Ia dikenali sebagai "Ramadhan Buffet", "Ramadhan Promotion" atau "Special Ramadhan". Iklannya terpampang di sana sini, di setiap pelosok kota. Kehadirannya umpama sebuah gelombang tsunami yang tercetus hanya untuk 30 hari, tidak lebih dan tidak kurang.
Pasti ramai yang sudah menyedari akan situasi ini. Lihat sahajalah di mana-mana. Seakan menjadi sebuah trend, begitu banyak restoran dan hotel berlumba-lumba menawarkan perkhidmatan buffet kepada umat Islam khas untuk berbuka puasa dari serendah RM18, sehinggalah hampir mencecah RM100 (seorang) mahalnya, bergantung pada nama restoran atau hotel yang menawarkannya.
Oportunis-oportunis ini menggunakan peluang yang ada untuk menganggu gugat dan menggoyah nafsu makan umat Islam agar membelanjakan sesuatu lebih daripada biasa tatkala umat Islam berpuasa dan berada dalam keadaan lapar. Semua ini bersandarkan pada satu faktor: bisnes dan keuntungan.
Makan secara luar biasa
Mereka yang menghadiri majlis berbuka puasa sebegini akan tertarik dengan makanan yang mempunyai rupa dan aroma yang menyelerakan, dan faktor-faktor ini, didorong pula dengan rasa lapar, akan menggalakkan seseorang individu itu untuk mengambil lebih makanan daripada yang sepatutnya. Malah pasti ramai juga berpendapat (termasuk aku sendiri) makanan yang ada haruslah dicuba dan diambil sebanyak yang mungkin agar setimpal dengan wang yang telah dibayar. Apabila situasi ini berlaku, anda akan lebih cenderung untuk makan sesuka hati tanpa mengambil kira prinsip penting pemakanan: Kalori dan nisbah protein:karbohidrat:lemak.
Pembaziran makanan
Sekiranya makanan diambil dengan banyak, namun berjaya dihabiskan, itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah ialah, makanan diambil dalam kuantiti yang banyak, namun tidak berjaya dihabiskan, dan akhirnya makanan yang berlebihan itu dibuang begitu sahaja. Ini bakal mencetuskan pembaziran, dan pembaziran adalah HARAM di sisi Islam disamping bercanggah dengan prinsip Ramadhan itu sendiri.
Pembaziran wang
Hidangan buffet memberikan anda kebebasan untuk memilih sebanyak mana jenis makanan sesuka hati, setimpal dengan bayarannya yang mahal. Walaubagaimanapun bayaran yang mahal itu masih belum mampu membeli ruangan ekstra buat perut anda; sebanyak manapun wang yang anda belanjakan, saiz perut anda tetap sama. Dalam bahasa mudah, anda tidak memerlukan wang sebanyak RM80 untuk membuatkan anda kenyang!
Cukup sekadar membeli sehidangan nasi di Bazaar Ramadhan dan beberapa jenis kuih (campur) yang nilainya mungkin tidak sampai RM20. Ingatlah, bukan jenis dan kuantiti yang menjadi ukuran di sini, tetapi kualiti makanan yang dipilih itu sendiri. Asalkan anda faham apa itu makanan berprotein, apa itu karbohidrat, dan berapa nisbah yang diperlukan, anda akan bersa kenyang juga, disamping mendapat kesemua zat yang diperlukan untuk kekal cergas ketika berpuasa.
Status Halal sesebuah Restoran/Hotel
Matlamat menghalalkan cara. Hanya kerana faktor keuntungan, begitu banyak hotel dan restoran (tanpa sijil halal JAKIM dan dimiliki oleh orang bukan Islam) yang menggunakan istilah "Ramadhan" dalam mempromosikan iklan mereka. Maka hotel dan restoran yang sebelum ini diragui akan status halalnya terus "dipandang halal", hanya kerana wujudnya istilah "Ramadhan" dalam iklan mereka. Sesungguhnya SS sama sekali mengecam sekeras-kerasnya hotel/restoran yang mengambil kesempatan keatas kemuliaan istilah "Ramadhan" ini dalam menipu umat Islam.
Fakta: Hasil tinjauan rambang JAKIM, 70% daripada 34 hotel yang menawarkan "Buffet Ramadhan" di Lembah Kelang didapati tidak mempunyai sijil halal yang sah.
Walaupun SS tidak berapa setuju dengan konsep "Buffet Ramadhan" atas faktor-faktor seperti yang dibincangkan di atas, terdapat beberapa pengecualian yang pada hemat Susu Sejat boleh dijadikan alasan kukuh untuk menghadiri "Buffet Ramadhan", antara lain:
1 - Atas faktor kerja (di mana anda tiada pilihan lain)
2 - Pelawaan dibelanja/ditaja oleh individu lain (takkan hendak menolak rezeki bukan?)
3 - Ulangtahun yang penting dalam hidup anda (kerana anda meraikan sesuatu yang istimewa, dan niat anda sememangnya untuk menggembirakan orang yang tersayang)
Untuk ketiga-tiga situasi ini, pastikan anda makan secara berhemah, yakni makanlah sebagai seorang yang waras akal fikirannya.
Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Joy, semaraknya promotion & buffet ramadhan ni seiring dengan kehendak & kemahuan ramai sbb kalau kurang demand maka kurang supply so 'kita' as a collective whole yg perlu berubah. lets reflect and return to the true spirit of ramadhan.
betul tu aunty, setuju 200%.. mungkin kita, as a whole kena 'pulaukan' promosi2 sebegini.. I mean, tader la nak pulaukan sepenuhnya, nnti org cakap ekstrim pulak.. if nak merasa buffet juga, set kan limit, like visiting it only once dalam sekali Ramadhan ke.. tak perlu sampai berkali-kali. Nanti diorang makin galak :P
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.