November 30, 2010

Gym di Taman? (Bahagian 2)

[sambungan kepada entri Gym di Taman? (Bahagian 1)]

Jikalau gym bersifat lebih professional dan menjadi fokus kepada individu-individu yang berkerjaya (sibuk dan hanya bersenam selepas waktu bekerja/sebelah malam) dan juga atlit-atlit yang menjalani latihan fizikal, taman pula bersifat lebih santai dan mempunyai elemen kekeluargaan.

Setiap taman pasti mempunyai bahagian untuk kanak-kanak beriadah, dan Taman Pudu Ulu tidak terkecuali untuk itu. Ini merupakan langkah awal dalam memupuk kanak-kanak supaya aktif bersenam (mereka lebih memahaminya sebagai "bermain").

Jikalau di gym terdapat ruangan untuk berkardio seperti mesin thredmill dan stationary bike, di taman juga terdapat "ruangan untuk kardio"; tidak lain dan tidak bukan laluan pejalan kaki seperti ini. Kardio yang boleh dilakukan di sini merangkumi kardio yang paling mudah seperti berjalan kaki, hinggalah kardio yang melibatkan 'mesin' seperti berbasikal.

Jikalau di gym terdapat seksyen untuk pelanggan menjalani terapi minda dan fizikal seperti jacuzzi dan sauna, taman juga mempunyai seksyen yang lebih kurang sama. Itulah dia "Laluan Reflexology".

Asas kepada kesihatan tubuh badan secara total terletak pada tapak kaki seseorang, tetapi asas kepada kebahagian seseorang terletak pada tapak kaki ibu mereka (syurga kan di bawah tapak kaki ibu?).

Jikalau di gym terdapat water fountain (pili) untuk digunakan mereka yang kehausan tatkala bersenam, taman seperti Taman Pudu Ulu ini juga mempunyai alat yang sama. Mungkin soal kebersihannya (hygiene) diragui namun itu bergantung kepada pihak berwajib yang menjaganya.

Jikalau di gym terdapat ruangan untuk berbogel menyalin pakaian dan berak membuang air, di taman juga ada... (berapa kali kau nak ulang ayat ni daaa?)

Itulah sahaja yang dapat aku kupas berkenaan taman rekreasi di bandar-bandar besar seperti Taman Pudu Ulu ini. Buat pengetahuan semua, taman ini baru sahaja berusia kira-kira 5 tahun. Ya, memang masih setahun jagung usianya, maka itu sebabnya kebanyakkan alat-alat di sini masih kelihatan "boleh dipakai" meskipun sudah terdapat 2-3 alat yang sudah mengalami kerosakan.

Kerosakan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana jika diambil kira faktor kualiti alat-alat tersebut, ia sepatutnya mampu bertahan sehingga 10 tahun lamanya jika dijaga dan diguna dengan cermat. Orang awam harus menggunakan kemudahan-kemudahan ini dengan cermat, manakala menghargainya harus menjadi tanggungjawab semua.

Dalam masa yang sama, pihak majlis perbandaran haruslah memantau agar alat-alat ini mampu digunakan setiap masa. Tidak guna jika kerajaan berkempen supaya rakyat bersenam dan mengeluarkan statistik obesiti yang berbagai, tetapi tidak memberikan perkhidmatan yang sewajarnya. Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil kemudahan di Taman Pudu Ulu akan menjadi seperti...

Dah tak ada rupa macam alat kan? Mungkinkah ini palang selari dimana ia mampu digunakan untuk senaman bodyweight seperti leg raise atau inverted row? Gambar di atas merupakan salah satu contoh kemudahan bersenam yang sudah sekian lama terbiar di Taman Tasik Taiping dan tidak diambil peduli oleh Majlis Perbandaran Taiping. Tiada langsung inisiatif daripada Majlis Perbandaran untuk memperbaikinya dan aku sebagai rakyat dan warga Taiping berasa malu dengan hal ini. Semoga isu yang dibangkitkan ini dapat membuka mata semua pihak, terutamanya mereka yang selama ini melaungkan slogan "bekerja untuk rakyat".

Suka entri ini? Share dengan rakan-rakan..

1 comments:

Unknown said...

taman kat rumah aku takda hape pon benda camni.. untuk budak2 ada la.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails